Bekas BN Didahulukan, Sosialis Diketepikan
Minggu lalu, seorang anak muda
yang melanjutkan pengajian di luar negeri, masih ragu-ragu sama ada
untuk balik mengundi atau tidak lantaran kesempitan wang. Akhirnya
rakan sekelasnya mengadakan kutipan derma untuk menampung kos
pengangkutannya. Dengan gembiranya anak muda ini mengumumkan, “Saya
boleh balik mengundi!”
Kisah ini dikongsi oleh
seorang juruhebah radio dalam rancangannya. Sebaik sahaja kisah ini ke
ruang udara, juruhebah tersebut menerima satu panggilan telefon; “Saya
Encik Tay. Umur saya 60 lebih dah. Saya tidak mempunyai anak. Saya
sudi menaja tiket penerbangan ulang-alik anak muda itu. Bolehkah anda
berikan nombor akaunnya?”
Memang terharu apabila kisah
sedemikian sampai ke telinga kita menjelang hari pengundian. Padahal,
banyak lagi kisah yang menyentuh hati. Semakin banyak kisah sedemikian
tersebar di laman sosial, semakin memilukan kita semua. Buat pertama
kali kita menyaksikan semangat patriotik yang memuncak di kalangan anak
muda, yang sudah meninggalkan Malaysia untuk mencari rezeki di luar
negeri. Rupa-rupanya, hati mereka tetap terpaut di bumi ini. Mereka
masih menaruh harapan agar PRU 13 menjadi titik penentu yang bakal
membawa perubahan pada masa depan.
“Inklusif” yang menolak aktivis?
Apa pun slogannya, sama ada “Ubah”, “Tukar” atau “Reformasi”, perjuangan ini menuntut perubahan status quo,
membebaskan negara dari korupsi, kronisme dan nepotisme. Mustahil
perjuangan ini berjaya tanpa kebangkitan kuasa rakyat, yang mengatasi
segala ketakutan dan ugutan yang dipaksakan penguasa terhadap mereka.
Kita sedar hakikat bahawa
perjuangan ini memerlukan orang yang berbeza (bakat dan kebolehannya)
pada peringkat yang berbeza. Reformis tulen yang memahami erti
perjuangan tidak melenting mahupun kecil hati seandainya dirinya
diketepikan untuk kepentingan awam yang lebih besar maknanya. Maka
mereka sanggup berhempas-pulas demi parti kerana menaruh kepercayaan dan
harapan terhadap pimpinannya.
Namun demikian, reformis akan
tetap berpegang kepada matlamat perjuangan sebermulanya. Sesungguhnya
ia
dilahirkan dari retakan kuasa pemerintah, tetapi pergelutan kuasa ini
telah mendedahkan masalah pokok yang berakar umbi dalam sistem politik
kita, dari struktur ekonomi, sistem kehakiman, institusi polis, media
dan sebagainya – sehingga ia meledakkan kuasa rakyat untuk bangkit
menuntut perubahan.
Apa yang memilukan adalah
kepercayaan aktivis dan sokongan pengundi diambil kesempatan untuk
percaturan politik sendiri. Alasan yang diberikan sentiasa mengajak
kita untuk “melihat dalam kerangka yang lebih besar”, sedangkan apa yang
berlaku adalah dirinya sedang mengintai kerusinya dalam parti dan
kerajaan. Sisa parti pemerintah dikitar-semula ke dalam perjuangan ini
atas alasan “supaya semua terangkum” (inklusif namanya), tetapi aktivis
yang berjuang lebih awal dari zaman Reformasi ditolak kerana “logonya
yang menakutkan”.
Mungkin sesetengah pimpinan
PKR
membawa baka “mudah lupa”. Jadi kita tegaskan di sini bahawa kita
lawan UMNO kerana keangkuhannya untuk memonopoli kuasa, kerana sifat
perkaumannya dan politikingnya demi kepentingan diri. Sejak tahun 1998
kita lawan dengan slogan “Reformasi”, bukan “Semangat 46″; kita lawan
dengan parti “KeADILan”, bukan “UMNO Baru”.
Atas alasan apa?
Siapa-siapa
akan keberatan untuk membangkitkan perkara ini tatkala kita bersiap
sedia ke medan perang PRU13. Namun siapa-siapa yang menyokong
perjuangan Reformasi tidak akan sanggup melihat perjuangan ini berakhir
dengan sikap keangkuhan pemimpinnya terhadap reformis lain, atau
cantas-mencantas semata-mata untuk menyingkirkan “orang lain”, dan
menggantikan dengan “orang sendiri”.
Saya jangka ramai reformis
dan aktivis terkilan apabila rundingan antara PKR dengan Parti Sosialis
Malaysia (PSM) menemui jalan buntu. PKR mengambil sikap keras untuk
tidak memberi laluan kepada S.Arutchelvan (lebih dikenali sebagai Arul)
di DUN Semenyih. Saya tidak pasti apakah alasannya, tetapi saya pasti
apapun alasannya, adalah lawak yang pedih.
Apabila kita membicarakan
“inklusif”, maka Reformasi tidak dimonopoli PKR (Parti Keadilan
Rakyatyang mahu dikenali sebagai singkatannya KeADILan), mahu pun
Pakatan Rakyat. PKR muncul di celah-celah parti politik lama, di siku
kiri dan kanan dalam PRU (pilihan raya umum) oleh DAP (Parti Tindakan
Demokratik) dan PAS (Parti Islam se-Malaysia) kerana tidak memiliki
kawasan “tradisional”. Jikalau perjuangannya untuk meraih perbezaan,
apakah sikap pula PKR terhadap parti politik baru seperti PSM (Parti
Sosialis Malaysia)?
Apakah
kayu ukur yang harus kita gariskan untuk menentukan calon yang
bertanding? Kalau syaratnya bersih dan telus, jangan mana-mana calon
dalam PKR mahu bersaing dengan PSM. Jika syaratnya berkhidmat di
masyarakat akar umbi kawasan yang ditanding, baik PKR menutup mulutnya.
Seandainya sebut nama “prinsip” dan “istiqamah”, saya gagal bayangkan
siapa yang bermuka tebal untuk mendakwa dirinya mendahului calon PSM.
Jikalau calon seperti Arul juga dinafikan kelayakannya untuk bertanding sebagai calon DUN, benar saya tidak terkata apa-apa.
Orang India berhaluan kiri?
Akhirnya
kita terdengar khabar bahawa Arul dinafikan kerana bukan calon Melayu.
Saya tidak mahu mempercayai khabar ini, kerana seandainya ia benar,
maka sudah tentu ada pengkhianat di dalam PKR.
Kita pernah pertahankan Khalid Ibrahim daripada tuntutan “calon India”
di Ijok, alasannya membawa isu DEB dalam PRK (pilihan raya kecil) Ijok
lebih bermakna daripada warna kulit. Kita pertahankan manifesto Pakatan
Rakyat daripada pertikaian HINDRAF, kerana dasar negara adalah untuk
SEMUA. Apakah pemimpin PKR menganggap penyokongnya begitu bangang bagai
pencacai UMNO untuk pertahankan keputusan menafikan Arul semata-mata
kerana warna kulitnya?
Sudahlah. Kita faham
perjuangan Arul dan PSM selama ini. Selepas surutnya gelombang
Reformasi, susuk badan Arul-lah yang menyokong perjuangan di jalan
raya. Protes harga minyak dan tol naik, pertembungan antara peneroka
bandar (yang diberi nama penduduk setinggan) dengan pihak berkuasa
tempatan – Arul tetap berada di situ kalau bukan dalam lokap.
Usah ungkit soal kiri dan
kanan. Anwar Ibrahim
pernah secara berseloroh mensyaratkan calon PKR untuk menelaah “Memoir
Perjuangan Politik Syed Husin Ali” jikalau mahu menyarung jersi PKR ke
dalam PRU. Istilah kunci perjuangan kiri adalah “rakyat”. Slogan
kerajaan negeri Selangor Pakatan Rakyat adalah “Merakyatkan Ekonomi”,
malah Menteri Besarnya Khalid Ibrahim pernah secara terbuka mengakui,
“Minda korporat, tapi rakyat di hati”.
Jangan terlalu munafik untuk
berpura-pura membangkitkan kebimbangan terhadap “logo genggaman tangan
kiri” dan wajah “Che Guevara” pada T-shirt. Che Guevara adalah ikon
dalam “trend” pakaian, idola kepada anak muda di setiap pelusuk dunia.
Perjuangan ini hanya ditunjangi dengan semangat untuk merombak sistem
masyarakat yang tidak adil – di mana ” yang kaya semakin kaya, yang
miskin semakin miskin”.
Akhir kata, ia bagai satu
tamparan sengit
apabila bekas UMNO, MCA, MIC dan lain-lain disambut dengan meriah
ketika mereka menyertai Pakatan Rakyat. Namun aktivis yang berjuang
untuk memobilisasi akar umbi, berprinsip dan beridealisme selama puluhan
tahun – ditolak kerana logo dan warna kulit.
Ya, benar. Kita semua ABU
(akronim untuk pertubuhan Asalkan Bukan Umno). Kita semua mendahagakan
perubahan kerajaan persekutuan dalam PRU 13. Namun kita juga mahu
memastikan bahawa perubahan yang diperjuangkan itu, sebati jiwanya
dengan semangat ketika “Reformasi” dilaungkan buat kali pertama pada
tahun 1998 di bumi Malaysia.
1 comment:
Apakah kayu ukur yang harus kita gariskan untuk menentukan calon yang bertanding?
Penulis sepatutnya melontarkan persoalan apakah kriteria yang penting untuk menjadi 'winnable candidate'?
Syaratnya berkhidmat di masyarakat akar umbi kawasan yang ditanding.
5 tahun PSM di Semenyih? Lebih 10 tahun PKR dan PAS di Semenyih! Maka jika PSN sendiri mensyarakatkan calon-calonnya supaya wajib berkhidmat pada masyarakat akar umbi di tempat bertanding termasuk di Semenyih ini, maka PSM tidak menepati syarat asasnya sendiri di Semenyih.
Bahawa Arul dinafikan kerana bukan calon Melayu.
Saya sebagai pengundi di Semenyih bersetuju pernyataan ini. Tetapi bukan berbau perkauman. PSM 'wajib' realistik terhadap situasi politik semasa di Semenyih.
Untuk berhadapan dengan calon Melayu BN di Semenyih ini, Pakatan Rakyat mempunyai potensi besar untuk menang jika calon lawan kepada BN ini juga adalah seorang Melayu. Ini berasaskan fakta petugas Pakatan Rakyat yang berkampung sekian lama di kampung trasidi Melayu di Beranang, zon hitam bagi PSM yang tidak pernah masuk ke sini. PSM berulang kali mengatakan mereka banyak buat kerja di Semenyih, tetapi khususnya di pusat bandar Semenyih sahaja, bukan di keseluruhan DUN!
Perkara ini yang Arul dan PSM telah sorokkan daripada pengetahuan kita semua. Saudara boleh datang ke sini, lihat betapa hebat Arul dan PSM di Semenyih ini dengan bendera dan kempennya, tetapi hanya untuk radius lebih kurang 4km dari pusat bandar Semenyih sahaja. Dan seperkara lagi, orang Melayu Islam dididik untuk menerima Islam sepenuhnya merangkumi aqidah dan syariatnya yang terpelihara, ideologi sosiolis sangat jelas bertentangan dengan Islam. Jika ada Melayu Islam yang menyokong dan mendokong sosiolis, maka kesnya lebih kurang Melayu ISlam dalam UMNO-BN
yang menolak hakikat sebenar. Sebab ini saya yakin sampai bila-bila pun PAS tidak akan beri PSM bertanding menggunakan loga PAS.
Sekian pandangan saya.
Post a Comment