ShareThis

Friday, April 25, 2008

EXCO Dr. Xavier Melawat Ladang di Semenyih

Pada 15 April 2008, Jawatankuasa Ladang Jawatankuasa Perumahan Ladang-Ladang Semenyih telah mengadakan satu perjumpaan dengan Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan Dan Kerajaan Prihatin Negeri Selangor Dr. Xavier. Bekas pekerja dari 5 buah ladang iaitu Ladang Semenyih, Ladang Bangi, Ladang Denudin, Ladang Abaco dan Ladang Glengowrie telah mengutarakan masalah perumahan mereka.


Hasil perjumpaan tersebut, Dr. Xavier telah dijemput untuk melawat ladang-ladang ini supaya beliau dapat melihat sendiri keadaan di ladang dan berjumpa dengan penduduk di situ.
Jadi pada hari ini Dr. Xavier telah melawat 3 buah ladang: Ladang Semenyih, Ladang Abaco dan Ladang Glengowrie. Turut hadir pada hari ini adalah Sdr. Arul dan ahli-ahli PSM Cawangan Semenyih. Rombongan ini juga disertai oleh Jabatan Buruh, Pejabat Tanah Daerah dan Jabatan Infrastruktur dan Pembangunan.

Wednesday, April 23, 2008

Pilihanraya Di DUN Semenyih: Satu Pengalaman, Satu Pengajaran


Pada PRU Ke-12 yang lepas, banyak parti dan calon telah berkempen untuk memancing undi dari rakyat. Namun, calon dari PSM mempunyai cara tersendiri untuk membuat kempen. Kami yang berkempen di Semenyih, terutamanya Sdr. Arutchelvan, calon yang bertanding berpendapat bahawa adalah penting untuk kita memperkasakan rakyat semasa kempen dan tidak membuat janji-janji manis semata-mata untuk meraih undi. Peluang ini juga kami juga untuk menunjukkan contoh seorang calon sosialis berkempen.

Walaupun kami kalah dengan majoriti undi sebanyak 1140, rasanya adalah tidak salah kalau kami berkongsi sedikit pengalaman kempen pilihanraya di Semenyih.

1.Pemilihan Kawasan Bertanding
Semua calon PSM hanya boleh bertanding di kawasan ia telah membuat kerja akar umbi sekurang-kurang lima tahun. Jadi Semenyih bukanlah kawasan baru bagi kami.

2.Kerja-kerja awalan Pilihanraya
Kami telah memulakan kerja-kerja awalan sejak penghujung tahun 2007 lagi. Apabila pilihanraya diumumkan, dan pada masa ramai calon mencari bilik gerakan kami sudah pun mempunyai bilik gerakan yang lengkap dengan kemudahan yang disumbang oleh masyarakat setempat. Perkara ini juga disebabkan kerana Semenyih memang tempat kami membuat kerja akar-umbi.

3.Sukarelawan
Semua orang yang membantu kami secara aktif adalah sukarelawan. Bilik gerakan kami sentiasa dipenuhi oleh orang yang telah menghulurkan tangan mereka tanpa mengharapkan wang. Namun, kami juga menghadapi masalah orang yang datang meminta peruntukan dan wang, kerana mereka telah biasa dengan budaya ini. Tetapi, kami telah pastikan budaya ini tidak harus diteruskan. Kami ada cara kami untuk menghargai sukarelawan kami. Lebih kurang 150 orang sukarelawan telah membantu kempen di Semenyih.

4.Pakaian Calon
Ramai yang mempersoalkan cara Sdr. Arul berpakaian. Ia juga mendapat perhatian media pada hari penamaan calon. Sdr. Arul seperti biasa hanya berpakaian t-shirt dan track-bottom dengan seliparnya. Ada yang meminta beliau menukar cara berpakaian hanya semasa pilihanraya. Tetapi bagi Sdr. Arul, beliau tidak mahu menipu pengundinya, semata-mata meraih undi. Mungkin penampilannya tidak menggambarkan kewibawaan beliau, tetapi bagi mereka yang berinteraksi dengannya, mendengar ceramahnya pasti akan menukar fikiran mereka. Cara pakaian simple ini menjadi trademark bagi Arul.

5.Pengisytiharan Harta
Mungkin kini selepas pilihanraya ramai yang menyebut tentang perisytiharan harta. Namun di Semenyih, Sdr. Arul (begitu dengan calon PSM yang lain), telah mengisytiharkan harta mereka sebelum pilihanraya lagi.
Di Semenyih papan tanda yang pengisytiharan harta Sdr. Arul dinaikkan untuk tatapan orang ramai.

6.Akur Janji
Kami tidak memberi janji-janji manis kepada para pengundi. Sebaliknya, kami memberikan komitmen untuk sama-sama menyelesaikan masalah rakyat sekiranya menang. Oleh itu, Sdr. Arul telah membuat akur janji secara hitam putih kepada penduduk sebagai bukti komitmen beliau. Ramai yang terpegun melihat calon PSM ini berani menurunkan tandantangannya. Malah, akur janji itu sendiri mengatakan rakyat Semenyih boleh menyaman calon mereka sekiranya tidak mengotakan janji beliau.

7.Isu Perkauman
Satu perkara yang menjadi ‘pantang’ bagi calon PSM adalah
menyentuh isu perkauman. Sdr. Arul tidak sekali pun menyentuh isu perkauman atau menjadi opportunist untuk meraih undi. Berlatarbelakangan kebangkitan HINDRAF dan sebagai seorang berbangsa India, Sdr. Arul tidak pernah mengeksplotasi isu ini demi kepentingan peribadinya dan juga tidak cuba menjadi hero kaum India. Sebaliknya, kami terus meletakkan perjuangan kelas sebagai isu utama dan landas perjuangan.

Dan ada banyak lagi perkara yang telah kami tonjolkan sebagai calon sosialis dan yang banyak juga telah kami belajar. Mungkin ada yang tertanya-tanya, jika betul apa yang disebutkan ia atas mengapa PSM kalah di Semenyih? Memang sukar menjawab soalan ini….memang ia juga menimbulkan rasa frustration terutamanya di kalangan mereka yang berkempen secara aktif di Semenyih. Lebih-lebih lagi Sdr. Arul yang memang terkenal dengan kerja akar-umbinya dan penglibatannya dalam perjuangan masyarakat sehingga ke peringkat nasional. Ramai aktivis lain menang …mengapa Arul kalah?

Kami tidak mempunyai jawapan yang tepat tapi apa kami boleh cuba menjawab…..Pertama DUN Semenyih merupakan kawasan luar bandar yang separuh UPUnya adalah kampung tradisi Melayu. Kami gagal meraih undi di sini. Bukan kami saja, keputusan menunjukkan calon PAS juga menghadapi masalah yang sama.

Kedua…kami mendapat tentangan hebat dari PKR di peringkat tempatan yang menganggap kami telah ‘mencuri’ kerusi mereka. Walaupun perkara ini telah dibincang dan diselesaikan secara baik di peringkat atasan kedua-dua parti, di Semenyih perkara ini memang menjadi satu cabaran kepada kami dan pastinya menyebabkan kami kehilangan undi.

Walauapapun, semua ini menjadi ikhtibar kepada kami. Kini, kami meneruskan perjuangan. Pusat Perkhidmatan PSM Semenyih telah beroperasi. Kadang-kadang kami keliru sama ada kami betul-betul kalah, kerana begitu ramai orang yang mengunjungi pusat perkihmatan dan ramai juga yang mencari Sdr. Arul untuk menyelesaikan masalah mereka. Bagi kami…perjuangan berterusan….

Sunday, April 20, 2008

Projek Kontroversi Kitar Semula Sampah (RDF)

Hari ini satu pertemuan telah diatur oleh Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr. Che Rosli supaya pihak Syarikat RDF ini memberi penjelasan kepada penduduk di sekitar Jalan Kacau, Semenyih. Turut hadir adalah Sdr. Arutchelvan, bekas calon PSM DUN Semenyih yang diundang oleh penduduk untuk membantu dalam perjuangan mereka. Walaupun penjelasan diberikan oleh pihak Syarikat, penduduk tidak berpuas hati dengan projek tersebut. Lebih mengecewakan mereka adalah wakil MPKj, Alam Flora dan ADUN BN yang terlibat dalam projek ini tidak hadir sama.

Pusat Perkhidmatan PSM Semenyih Dibanjiri Aduan!

Semasa kempen pilihanraya yang lalu Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang bertanding di DUN Semenyih telah berjanji kepada rakyat Semenyih bahawa menang kalah ia akan tetap membuka Pusat Perkhidmatannya untuk terus bersama dalam perjuangan rakyat. Jadi walaupun kalah, janji tersebut telah dikotakan. PSM telah membuka cawangannya di Semenyih dan juga telah memulakan operasi pusat perkhidmatan seminggu selepas pilihanraya.

Pusat Perkhidmatan Cawangan Semenyih yang dibuka tiga kali seminggu dikendalikan oleh lebih kurang 30 orang ahli yang aktif. Sehingga kini pusat perkhidmatan ini telah menerima lebih kurang 150 aduan daripada orang ramai. Sehingga kini juga PSM Semenyih telah menubuhkan dua jawatankuasa penduduk yang baru iaitu di Kg. Bahru dan di Kg. Broga selain lima jawatankuasa penduduk ladang yang sedia ada sebelum ini.

Aduan yang diterima terdiri daripada kes-kes kebajikan, pekerja, MPKj, tanah, malapetaka seperti banjir dan hakisan, kemudahan awam, pelupusan sampah, rumah dilelong, perumahan dan sebagainya. Dalam aduan ini satu melibatkan projek kitar semula sampah (RDF) yang kontroversial di Jalan Kacau, Semenyih. Walaupun projek ini sudah bermula ia mendapat tentangan penduduk kampung di sekitar kilang tersebut.

Perjuangan Diteruskan!

Keputusan Pilihanraya ke-12:

Kehangatan pilihanraya sudah pun berakhir, sudah lebih sebulan Barisan Nasional telah memenang di kawasan DUN Semenyih. Namun ramai yang merungut batang hidung Johan belum nampak lagi.








Imbas Kembali...
Keputusan Pilihanraya ke-12 seperti berikut:

P.101-HULU LANGAT N.24 - SEMENYIH
JUMLAH PEMILIH : 28,203
JOHAN BIN ABD AZIZ BN : 11,588
ARUTCHELVAN A/L SUBRAMANIAMS PKR (PSM) : 10,448

Satu kemenangan tipis bagi BN tetapi kejayaan yang besar bagi PSM! Kerja- kerja akar umbi yang dilakukan PSM bertahun- tahun lamanya jelas membuktikan bahawa Semenyih sebenarnya tidak jauh lagi untuk ditawan oleh PSM! Rekod perjuangan kami jelas menunjukkan PSM sentiasa bersama rakyat tidak kira di Semenyih dan tempat- tempat lain dalam perjuangan rakyat tertindas menuntut hak mereka.

Seperti yang kita janji, menang atau kalah, perjuangan tetap diteruskan!

Kuasa Di Tangan Anda! Semenyih Menuntut Perubahan!

PSM Semenyih Melangkah ke Blog!

Salam Perjuangan,

Parti Sosialis Malaysia DUN Semenyih membuat langkah pertama ke laman blog hari ini.

Internet tidak mampu diakses oleh golongan pekerja dan rakyat biasa yang miskin namun boleh menceritakan dan menyuarakan penindasan dan kesusahan mereka kepada dunia luar!

Blog PSM Semenyih akan berkongsi perjuangan masyarakat Semenyih bersama PSM dalam menuntut hak mereka.

PSM DUN Semenyih mengharapkan perkongsian pendapat dan pandangan dari semua!