ShareThis

Thursday, April 18, 2013

Bekas BN Didahulukan, Sosialis Diketepikan


Bekas BN Didahulukan, Sosialis Diketepikan

By Lim Hong Siang on 17 April, 2013 7:46 pm in CategoriesKontemporari / no comments
 
Minggu lalu, seorang anak muda yang melanjutkan pengajian di luar negeri, masih ragu-ragu sama ada untuk balik mengundi atau tidak lantaran kesempitan wang.  Akhirnya rakan sekelasnya mengadakan kutipan derma untuk menampung kos pengangkutannya.  Dengan gembiranya anak muda ini mengumumkan, “Saya boleh balik mengundi!”
Kisah ini dikongsi oleh seorang juruhebah radio dalam rancangannya.  Sebaik sahaja kisah ini ke ruang udara, juruhebah tersebut menerima satu panggilan telefon;  “Saya Encik Tay.  Umur saya 60 lebih dah.  Saya tidak mempunyai anak.  Saya sudi menaja tiket penerbangan ulang-alik anak muda itu.  Bolehkah anda berikan nombor akaunnya?”
9898
Memang terharu apabila kisah sedemikian sampai ke telinga kita menjelang hari pengundian.  Padahal, banyak lagi kisah yang menyentuh hati.  Semakin banyak kisah sedemikian tersebar di laman sosial, semakin memilukan kita semua.  Buat pertama kali kita menyaksikan semangat patriotik yang memuncak di kalangan anak muda, yang sudah meninggalkan Malaysia untuk mencari rezeki di luar negeri.  Rupa-rupanya, hati mereka tetap terpaut di bumi ini.  Mereka masih menaruh harapan agar PRU 13 menjadi titik penentu yang bakal membawa perubahan pada masa depan.
 
“Inklusif” yang menolak aktivis?
Apa pun slogannya, sama ada “Ubah”, “Tukar” atau “Reformasi”, perjuangan ini menuntut perubahan status quo, membebaskan negara dari korupsi, kronisme dan nepotisme.  Mustahil perjuangan ini berjaya tanpa kebangkitan kuasa rakyat, yang mengatasi segala ketakutan dan ugutan yang dipaksakan penguasa terhadap mereka.
Kita sedar hakikat bahawa perjuangan ini memerlukan orang yang berbeza (bakat dan kebolehannya) pada peringkat yang berbeza.  Reformis tulen yang memahami erti perjuangan tidak melenting mahupun kecil hati seandainya dirinya diketepikan untuk kepentingan awam yang lebih besar maknanya.  Maka mereka sanggup berhempas-pulas demi parti kerana menaruh kepercayaan dan harapan terhadap pimpinannya.
Namun demikian, reformis akan tetap berpegang kepada matlamat perjuangan sebermulanya.  Sesungguhnya ia dilahirkan dari retakan kuasa pemerintah, tetapi pergelutan kuasa ini telah mendedahkan masalah pokok yang berakar umbi dalam sistem politik kita, dari struktur ekonomi, sistem kehakiman, institusi polis, media dan sebagainya – sehingga ia meledakkan kuasa rakyat untuk bangkit menuntut perubahan.
Apa yang memilukan adalah kepercayaan aktivis dan sokongan pengundi diambil kesempatan untuk percaturan politik sendiri.  Alasan yang diberikan sentiasa mengajak kita untuk “melihat dalam kerangka yang lebih besar”, sedangkan apa yang berlaku adalah dirinya sedang mengintai kerusinya dalam parti dan kerajaan.  Sisa parti pemerintah dikitar-semula ke dalam perjuangan ini atas alasan “supaya semua terangkum” (inklusif namanya), tetapi aktivis yang berjuang lebih awal dari zaman Reformasi ditolak kerana “logonya yang menakutkan”.
Mungkin sesetengah pimpinan PKR membawa baka “mudah lupa”.  Jadi kita tegaskan di sini bahawa kita lawan UMNO kerana keangkuhannya untuk memonopoli kuasa, kerana sifat perkaumannya dan politikingnya demi kepentingan diri.  Sejak tahun 1998 kita lawan dengan slogan “Reformasi”, bukan “Semangat 46″; kita lawan dengan parti “KeADILan”, bukan “UMNO Baru”.
 
Atas alasan apa?
Siapa-siapa akan keberatan untuk membangkitkan perkara ini tatkala kita bersiap sedia ke medan perang PRU13.  Namun siapa-siapa yang menyokong perjuangan Reformasi tidak akan sanggup melihat perjuangan ini berakhir dengan sikap keangkuhan pemimpinnya terhadap reformis lain, atau cantas-mencantas semata-mata untuk menyingkirkan “orang lain”, dan menggantikan dengan “orang sendiri”.
Saya jangka ramai reformis dan aktivis terkilan apabila rundingan antara PKR dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM) menemui jalan buntu.  PKR mengambil sikap keras untuk tidak memberi laluan kepada S.Arutchelvan (lebih dikenali sebagai Arul) di DUN Semenyih.  Saya tidak pasti apakah alasannya, tetapi saya pasti apapun alasannya, adalah lawak yang pedih.
Apabila kita membicarakan “inklusif”, maka Reformasi tidak dimonopoli PKR (Parti Keadilan Rakyatyang mahu dikenali sebagai singkatannya KeADILan), mahu pun Pakatan Rakyat. PKR muncul di celah-celah parti politik lama, di siku kiri dan kanan dalam PRU (pilihan raya umum) oleh DAP (Parti Tindakan Demokratik)  dan PAS (Parti Islam se-Malaysia) kerana tidak memiliki kawasan “tradisional”.  Jikalau perjuangannya untuk meraih perbezaan, apakah sikap pula PKR terhadap parti politik baru seperti PSM (Parti Sosialis Malaysia)?
Apakah kayu ukur yang harus kita gariskan untuk menentukan calon yang bertanding?  Kalau syaratnya bersih dan telus, jangan mana-mana calon dalam PKR mahu bersaing dengan PSM.  Jika syaratnya berkhidmat di masyarakat akar umbi kawasan yang ditanding, baik PKR menutup mulutnya.  Seandainya sebut nama “prinsip” dan “istiqamah”, saya gagal bayangkan siapa yang bermuka tebal untuk mendakwa dirinya mendahului calon PSM.
Jikalau calon seperti Arul juga dinafikan kelayakannya untuk bertanding sebagai calon DUN, benar saya tidak terkata apa-apa.
 
Orang India berhaluan kiri?
Akhirnya kita terdengar khabar bahawa Arul dinafikan kerana bukan calon Melayu.  Saya tidak mahu mempercayai khabar ini, kerana seandainya ia benar, maka sudah tentu ada pengkhianat di dalam PKR.  Kita pernah pertahankan Khalid Ibrahim daripada tuntutan “calon India” di Ijok, alasannya membawa isu DEB dalam PRK (pilihan raya kecil) Ijok lebih bermakna daripada warna kulit.  Kita pertahankan manifesto Pakatan Rakyat daripada pertikaian HINDRAF, kerana dasar negara adalah untuk SEMUA.  Apakah pemimpin PKR menganggap penyokongnya begitu bangang bagai pencacai UMNO untuk pertahankan keputusan menafikan Arul semata-mata kerana warna kulitnya?
Sudahlah.  Kita faham perjuangan Arul dan PSM selama ini.  Selepas surutnya gelombang Reformasi, susuk badan Arul-lah yang menyokong perjuangan di jalan raya.  Protes harga minyak dan tol naik, pertembungan antara peneroka bandar (yang diberi nama penduduk setinggan) dengan pihak berkuasa tempatan – Arul tetap berada di situ kalau bukan dalam lokap.
Usah ungkit soal kiri dan kanan.  Anwar Ibrahim pernah secara berseloroh mensyaratkan calon PKR untuk menelaah “Memoir Perjuangan Politik Syed Husin Ali” jikalau mahu menyarung jersi PKR ke dalam PRU.  Istilah kunci perjuangan kiri adalah “rakyat”.  Slogan kerajaan negeri Selangor Pakatan Rakyat adalah “Merakyatkan Ekonomi”, malah Menteri Besarnya Khalid Ibrahim pernah secara terbuka mengakui, “Minda korporat, tapi rakyat di hati”.
Jangan terlalu munafik untuk berpura-pura membangkitkan kebimbangan terhadap “logo genggaman tangan kiri” dan wajah “Che Guevara” pada T-shirt.  Che Guevara adalah ikon dalam “trend” pakaian, idola kepada anak muda di setiap pelusuk dunia.  Perjuangan ini hanya ditunjangi dengan semangat untuk merombak sistem masyarakat yang tidak adil – di mana ” yang kaya semakin kaya, yang miskin semakin miskin”.
Akhir kata, ia bagai satu tamparan sengit apabila bekas UMNO, MCA, MIC dan lain-lain disambut dengan meriah ketika mereka menyertai Pakatan Rakyat.  Namun aktivis yang berjuang untuk memobilisasi akar umbi, berprinsip dan beridealisme selama puluhan tahun – ditolak kerana logo dan warna kulit.
Ya, benar.  Kita semua ABU (akronim untuk pertubuhan Asalkan Bukan Umno).  Kita semua mendahagakan perubahan kerajaan persekutuan dalam PRU 13.  Namun kita juga mahu memastikan bahawa perubahan yang diperjuangkan itu, sebati jiwanya dengan semangat ketika “Reformasi” dilaungkan buat kali pertama pada tahun 1998 di bumi Malaysia.

1 comment:

ABP said...

Apakah kayu ukur yang harus kita gariskan untuk menentukan calon yang bertanding?
Penulis sepatutnya melontarkan persoalan apakah kriteria yang penting untuk menjadi 'winnable candidate'?

Syaratnya berkhidmat di masyarakat akar umbi kawasan yang ditanding.
5 tahun PSM di Semenyih? Lebih 10 tahun PKR dan PAS di Semenyih! Maka jika PSN sendiri mensyarakatkan calon-calonnya supaya wajib berkhidmat pada masyarakat akar umbi di tempat bertanding termasuk di Semenyih ini, maka PSM tidak menepati syarat asasnya sendiri di Semenyih.

Bahawa Arul dinafikan kerana bukan calon Melayu.
Saya sebagai pengundi di Semenyih bersetuju pernyataan ini. Tetapi bukan berbau perkauman. PSM 'wajib' realistik terhadap situasi politik semasa di Semenyih.
Untuk berhadapan dengan calon Melayu BN di Semenyih ini, Pakatan Rakyat mempunyai potensi besar untuk menang jika calon lawan kepada BN ini juga adalah seorang Melayu. Ini berasaskan fakta petugas Pakatan Rakyat yang berkampung sekian lama di kampung trasidi Melayu di Beranang, zon hitam bagi PSM yang tidak pernah masuk ke sini. PSM berulang kali mengatakan mereka banyak buat kerja di Semenyih, tetapi khususnya di pusat bandar Semenyih sahaja, bukan di keseluruhan DUN!
Perkara ini yang Arul dan PSM telah sorokkan daripada pengetahuan kita semua. Saudara boleh datang ke sini, lihat betapa hebat Arul dan PSM di Semenyih ini dengan bendera dan kempennya, tetapi hanya untuk radius lebih kurang 4km dari pusat bandar Semenyih sahaja. Dan seperkara lagi, orang Melayu Islam dididik untuk menerima Islam sepenuhnya merangkumi aqidah dan syariatnya yang terpelihara, ideologi sosiolis sangat jelas bertentangan dengan Islam. Jika ada Melayu Islam yang menyokong dan mendokong sosiolis, maka kesnya lebih kurang Melayu ISlam dalam UMNO-BN
yang menolak hakikat sebenar. Sebab ini saya yakin sampai bila-bila pun PAS tidak akan beri PSM bertanding menggunakan loga PAS.

Sekian pandangan saya.