ShareThis

Thursday, April 26, 2012

Ahli PSM desak Somyot dibebaskan !

Bebaskan Somyot dan SEMUA tahanan politik di Thailand
Protes dan penyerahan Memorandum kepada Kedutaan Negara Thai di Malaysia

26 April 2012, Kuala Lumpur

Hari ini, satu rombongan yang terdiri daripada anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan wakil kumpulan NGO telah mengadakan satu protes di hadapan Kedutaan Negara Thai di Kuala Lumpur, demi menyatakan sokongan mereka kepada Somyot Pruksakasemsuk, seorang aktivis kesatuan sekerja Thai yang telah ditahan atas tuduhan lèse-majesté selama hampir satu tahun. Mereka yang hadir juga menuntut supaya semua tahanan politik di Negara Thai dibebaskan untuk memperdalamkan proses demokrasi di negara tersebut.

Satu memorandum telah diserahkan kepada wakil Kedutaan Negara Thai. Songsak Saichewa, Timbalan Ketua Kedutaan (Minister and Deputy Head of Mission), telah keluar menerima memorandum daripada pihak PSM dan kumpulan masyarakat Malaysia. Songsak menyatakan bahawa beliau akan menyampaikan mesej masyarakat Malaysia kepada pihak Kerajaan Thailand. PSM telah menegaskan bahawa undang-undang lèse-majesté yang sering digunakan ke atas aktivis social merupakan batu penghalang utama kepada demokrasi di Thailand.

Antara yang hadir pada hari ini adalah S. Arutchelvan (Setiausaha Agung PSM), Lee Siew Hwa (wakil Malaysia Support Group for Democracy in Thailand), Irene Xavier (wakil Persatuan Sahabat Wanita), wakil Suaram, PRM dan sebagainya.

Tuntutan yang dibawa dalam memorandum tersebut adalah:
-          Gugurkan semua tuduhan ke atas Somyot Pruksakasemsuk dan bebaskan beliau tanpa syarat;
-          Gugurkan semua tuduhan yang berdasarkan undang-undang lèse-majesté ke atas mana-mana aktivis politik, wartawan dan individu;
-          Berikan pengampunan kepada semua yang disabit kesalahan dan dihukum penjara di bawah tuduhan lèse-majesté;
-          Mansuhkan Fasal 112 (lèse-majesté) dalam Kanun Keseksaan Negara Thai, demi mengembalikan kebebasan bersuara di Negara Thai.

Somyot merupakan seorang aktivis pekerja dan pro-demokrasi yang lama berkecimpung dalam gerakan pekerja di Thailand. Beliau telah menyumbang dalam pembinaan gerakan kesatuan sekerja demokratik di Thailand. Beliau telah menjadi pengarang untuk sebuah majalah yang membantah rampasan kuasa tentera sejak tahun 2007.

Somyot telah ditahan pada 30 April 2011 oleh pihak keselamatan negara Thai dengan tuduhan bahawa terdapat dua artikel dalam majalah yang dikarangnya telah dianggap mempunyai unsur-unsur menghina Raja Thai. Permohonan untuk ikat jamin di mahkamah telah dinafikan banyak kali. Perbicaraan sedang berlanhgsung di Bangkok sekarang. Somyot berkemungkinan akan dijatuhkan hukuman selama 30 tahun.

Somyot hanya salah seorang daripada ramai mangsa yang ditindas di bawah undang-undang lèse-majesté yang zalim. Fasal berkaitan lèse-majesté  telah terkandung dalam undang-undang jenayah Negara Thai sejak tahun 1908. Undang-undang zalim ini telah digunakan secara sistematik ke atas aktivis politik dan pembangkang, khususnya sejak tahun 2006, di mana ramai aktivis pro-demokrasi telah didakwa dan dijatuhkan hukuman penjara di bawah undang-undang ini. Salah seorang mangsa yang dijatuhkan hukuman penjara adalah Surachai Danwattananusorn, seorang aktivis pro-demokrasi yang berusia 71 tahun, telah dihukum penjara selama 15 tahun pada bulan Februari yang lalu, atas sebab satu ucapan yang disampaikan olehnya pada tahun 2010.
Berjalan menuju ke Kedutaan Thailand

Chon Kai - Biro Internationale PSM menerangkan isu

Hantar memorandum kepada Songsak Saichewa, Timbalan Ketua Kedutaan

Songsak Saichewa berkata Thailand sedang berubah lebih pro demokrasi?

Lee Siew Hwa seorang aktivis yang gigh berjuang pembebasan Somyot

Di hadapan Pintu Kedutaan Thailand

Bebaskan Somyot !

No comments: