ShareThis

Wednesday, May 11, 2011

5 Mei - Difitnah dan penahanan tidak sah : IGP mesti minta maaf !







Catatan Abdul Rahim Sabri (dialograkyat.com)

Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan hari ini menghantar memorandum kepada Tan Sri Ismail Omar menuntut Ketua Polis Negara itu memohon maaf secara terbuka.

Ini kerana dakwanya, pihak polis melakukan kesilapan berhubung penahanannya pada Hari Pekerja 1 Mei lalu.

Hal itu berlaku susulan beliau ditahan semula pada hari tersebut kerana didakwa terlibat dalam satu kesalahan kecurian di bawah seksyen 380 Kanun Acara Jenayah yang dikatakan berlaku di Alor Star pada 1995 - 16 tahun lalu.

Susulan itu beliau diarahkan memberi keterangan berhubung perkara tersebut di ibu pejabat polis daerah Kota Setar pada 7 Mei ini.

Dalam memorandumnya hari ini, Arutchelvan mendakwa pegawai penyiasat yang dikenali Inspektor Shamsul menghubunginya dan memaklumkan bahawa beliau tidak perlu hadir ke IPD itu kerana terdapat kesilapan merekodkan nombor kad pengenalan lama beliau.

"Pada hal orang sebenarnya adalah seorang beretnik Melayu dengan nombor kad pengenalan yang sama tanpa huruf A dalam kad pengenalan.

"Inspektor Shamsul meminta maaf atas kesilapan ini yang dilakukan oleh orang lain yang menurutnya adalah kesilapan manusia," memorandum itu dipetik.

Menurut memorandum itu lagi, pegawai polis tersebut juga berjanji akan mengeluarkan nama aktivis pekerja itu daripada senarai orang yang dikehendaki atau "wanted list".

Memorandum yang disediakan oleh Jawatankuasa 1 Mei mendakwa penahanan Arutchelvan untuk menyabitkan beliau dengan kes kecurian "amat tidak masuk akal dan merupakan satu tindakan fitnah dan berniat jahat".

"Beliau juga pernah ditahan puluhan kali dalam kes-kes kepentingan rakyat marhaen dan isu-isu hak asasi manusia. Justeru, bagaimana sepanjang 16 tahun dari 1995 dan 2011, beliau tidak dapat dikesan polis," memorandum itu dipetik.

Sebelum itu bercakap kepada pemberita, Arutchelvan berkata beliau turut menghantar surat kepada Ketua Polis Daerah Kota Setar meminta supaya surat jaminannya dibatalkan. Tuntutan itu juga terkandung dalam memorandum tersebut.

"Saya minta mereka memberi surat secara hitam putih... (Ini kerana) ia tidak ada kena mengena dengan saya.

"Bagi saya ini adalah (perkara yang) merosakkan nama saya. Ini menjejaskan nama saya," katanya yang juga anggota Majlis Perbandaran Kajang dan aktivis Suaram.

Salinan surat itu juga turut dihantar kepada Ismail, ketua polis daerah Dang Wangi serta Majlis Peguam Negara.

Selepas sidang media itu, Arutchelvan menyerahkan memorandum berhubung kes kecurian yang dikaitkan dengannya itu kepada seorang pegawai polis dari bahagian perhubungan awam Bukit Aman untuk dimajukan kepada Ismail.

Kira-kira 20 aktivis PSM termasuk ahli parlimen Sungai Siput Dr D Jeyakumar dan tiga peguam - Datuk S Ambiga, N Surendran dan Fadiah Nadwa Fikri - hadir memberi sokongan kepada Arutchelvan.

MEMORANDUM SEPENUHNYA ADALAH SEPERTI DIBAWAH :

MEMORANDUM
KEPADA
KETUA POLIS NEGARA(IGP)
TAN SRI ISMAIL OMAR

BERKENAAN ADUAN TERHADAP KES FITNAH “KECURIAN” YANG DILEMPARKAN KE ATAS SETIAUSAHA AGUNG PARTI SOSIALIS MALAYSIA S.ARUTCHELVAN

DISEDIAKAN OLEH
JAWATANKUASA MEI SATU 2011
5HB MEI 2011


Kami, Jawatankuasa Mei 1 dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) ingin membuat aduan terhadap PDRM kerana Fitnah yang dilemparkan terhadap Saudara S.Arutchelvan iaitu Setiasusaha Agung Parti Sosialis Malaysia dan juga Ahli Majlis MPKJ.
Beliau telah dituduh dan difitnah oleh pihak Polis pada 1hb. Mei bahawa beliau terlibat dalam satu kesalahan kecurian dibawah seksyen 380 –Kanun Acara Jenayah. Seksyen 380.KK [mencuri dalam rumah, bangunan dsb.] adalah satu kesalahan dimana Barang siapa melakukan kesalahan mencuri dalam mana-mana bangunan, khemah, atau perahuan, iaitu bangunan, khemah atau perahuan yang digunakan sebagai tempat kediaman manusia, atau untuk simpanan harta benda.

Latarbelakang

Pada 1hb. Hb Mei 2011, Saudara S.Arutchelvan – Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan juga Ahli Majlis MPKJ telah ditahan bersama dengan 20 orang individu lain berkaitan dengan kes perhimpunan Aman Hari Pekerja Antarabangsa.
Namun semasa polis hendak membebaskan kesemua tahanan, peguam yang membela beliau telah mengatakan bahawa polis tidak dapat membebaskan Arutchelvan kerana kononnya beliau disabitkan dengan satu kes kecurian yang berlaku di Alor Setar, Kedah pada tahun 1995 iaitu 16 tahun yang lalu. Walaupun beliau bersama dengan rakan-rakannya telah menafikan sekeras-kerasnya tetapi polis tidak mahu menerima alasan dikemukakan.
Pada awalnya mereka hendak mereman Saudara S.Arutchelvan sehingga polis IPD Alor Setar mengambilnya atau sehingga mereka memberi kebenaran untuk dilepaskan dengan jamin polis.

Atas desakan lebih seratus orang yang berhimpun di luar Balai membantah penahanan berterusan dan keengganan OKT lain yang ditahan untuk keluar dari kawasan Balai sehingga Saudara S.Arutchelvan dibebaskan maka akhirnya polis telah membuat tangkapan semula di Balai Stadium- IPD Dang Wangi dan kemudian satu rakaman kenyataan telah diambil oleh Inspector Mohd Noor dan beliau kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.

Polis juga hanya memberi jamin polis apabila mendapat jaminan dari seorang Ahli Parlimen dan beliau kemudiannya telah dibebaskan ikat jamin polis pada 1hb. Mei dimana beliau kemudian diminta menghadirkan diri di IPD Alor Setar pada jam 9pagi pada Sabtu, 7hb. Mei 2011.

Mengapa penahanan ini berunsur jahat(mala-fide) dan tidak masuk akal

1. Saudara S.Arutchelvan adalah seorang Setiausaha Agung sebuah parti politik sah di negara ini dan juga Ahli Majlis MPKJ. Selain itu, beliau juga telah memegang beberapa jawatan penting dalam SUARAM dan beberapa organisasi lain. Oleh yang demikian untuk menyabitkan beliau dalam satu kes kecurian amat tidak masuk akal dan merupakan satu tindakan fitnah dan berniat jahat.

2. Beliau juga pernah ditahan puluhan kali dalam kes-kes kepentingan rakyat Marhaen dan isu-isu hak asasi manusia. Justeru itu, bagaimana pada 16 tahun dari 1995 dan 2011, beliau tidak dapat dikesan polis. Adakah kerana polis begitu leka membuat kerja atau tuduhan ini saja-saja dicipta untuk memburukkan imej beliau.

3. Tindakan polis mahu menahan beliau berterusan pada 1hb. mei juga memberi gambaran bahawa beliau mungkin akan melarikan diri. Ini adalah satu penghinaan kepada imej beliau memandangkan beliau sering berurusan dengan pihak polis dan pihak polis memang mengetahuinya. Apakah niat sebenar polis mahu melemparkan tuduhan sebegini – iaitu satu kes kecurian.

4. Adakah tindakan fitnah curi ini dilemparkan kepadanya memandangkan beliau telah menjadi jurucakap Program Mei 1 dimana segala urusan dengan pihak Bukit Aman dan IPD Dang Wangi dilakukan atas nama beliau sebagai jurucakap. Adakah ini tindakan polis mendendam beliau.

Polis kini mendakwa membuat satu kesilapan

1. Pada 3hb dan hari ini 4hb. Mei, Saudara S.Arutchelvan telah menghubungi Insp Mohd Noor dari IPD Dang Wangi. Insp Mohd Noor dari IPD Dang Wangi memberitahu ada satu kesilapan dan meminta Saudara S.Arutchelvan menghubungi terus dengan Pegawai penyiasat IO di IPD Kota Setar bernama Inspector Shamsul (Nombor telepon 017-9099989).

2. Insp Shamsul kemudian menghubungi Saudara S.Arutchelvan melalui telepon pada jam 11.30pagi. Beliau memberitahu bahawa S.Arutchelvan tidak perlu datang ke IPD pada 7hb. Mei 2011 kerana ada kesilapan dimana nombor IC lama beliau (A 0762824) di key-in padahal orang sebenarnya adalah seorang beretnik Melayu dengan nombor IC yang sama tanpa huruf A dalam IC. Insp Shamsul meminta maaf atas kesilapan ini yang dilakukan oleh orang lain yang menurutnya adalah kesilapan manusia. Insp Shamsul juga berjanji akan mengeluarkan nama Arutchelvan dari “wanted list”.

Namun demikian, disebabkan Insp Shamsul hanya membuat kenyataan ini secara lisan dan melalui telepon, Sdr. S.Arutchelvan telah menghantar satu surat kepada IPD Alor Setar dan juga salinan kepada Bukit Aman. (dilampirkan).
Kami dengan ini menuntut Ketua Polis Negara

1. Membatalkan notis jamin polis yang menghendaki Sdr S.Arutchelvan hadir pada 7hb. Mei 2011
2. Menyiasat kes ini dan meminta maaf secara terbuka atas kesilapan yang dilakukan oleh pihak polis.
3. Memastikan polis bersikap lebih profesional, beretika semasa menjalankan tugas dan terutamana apabila membuat tangkapan. Ini adalah kerana kebebasan tidak boleh digadai kerana kecuaian pihak polis.


Pihak kami meminta pihak PDRM memberi satu penjelasan yang adil dan memastikan polis bertindak seperti mana etika dan slogan polis dalam 4P.


Oleh,

Jawatankuasa Mei 1, 2011

No comments: