ShareThis

Saturday, January 8, 2011

Jejantas diperlukan di Semenyih - Utusan Malaysia


Jejantas diperlukan di Semenyih

SEMENYIH 7 Jan. – Kira-kira 50 penduduk sekitar pekan Semenyih mengadakan bantahan aman mendesak kerajaan agar meluluskan cadangan menyediakan sebuah jejantas di hadapan masjid dan sekolah di kawasan tersebut.

Bantahan tersebut telah diadakan di hadapan Masjid Raja Muda Musa di sini selepas solat Jumaat dan berlangsung tanpa sebarang kekacauan.

Bantahan itu dianjurkan secara bersama oleh tiga Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Semenyih.

Pengerusi MPP Zon 18, Semenyih, S. Arutchelvan berkata, penduduk mendesak agar kerajaan segera meluluskan cadangan membina jejantas di situ.

Katanya, setelah sekian lama memperjuangkan perkara ini, baru-baru ini Ahli Parlimen Hulu Langat, Che Rosli Che Mat sudah pun mendapatkan peruntukan untuk menyediakan sebuah jejantas di situ.

Ujarnya, peruntukan itu telah disalurkan oleh sebuah badan swasta supaya sebuah jejantas dibina untuk kepentingan orang ramai, terutama para pelajar sekolah di kawasan itu.

“Duit semuanya sudah ada, cuma menantikan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) meluluskan sahaja cadangan pembinaan itu.

“Namun apa yang menyedihkan sehingga kini pihaknya masih tidak mendapat sebarang jawapan daripada Menteri Kerja Raya,” katanya.

Tambahnya, sewajarnya, di sesebuah pekan terutamanya yang terdapat sekolah di kawasan tersebut mempunyai jejantas.

Namun di pekan Semenyih, katanya, kemudahan tersebut dilihat masih belum wujud walaupun ia sangat-sangat diperlukan berikutan peningkatan mendadak jumlah penduduk dan kenderaan.

Katanya lagi, dengan kewujudan beberapa sekolah di situ, antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Semenyih, Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Kampung Baru dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semenyih, tiada sebab lagi untuk tiada kemudahan itu.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di kawasan itu mendapati ketiadaan jejantas di kawasan itu mengundang risiko kepada murid-murid untuk menyeberangi Jalan Semenyih.

Mereka dilihat terpaksa menyabung nyawa sejak sekian lama apabila ingin menyeberangi jalan tersebut untuk ke sekolah.

Kenderaan yang melalui jalan tersebut juga dipandu laju tanpa menghiraukan keselamatan pelajar dan orang ramai.

Jika bernasib baik semasa menyeberangi jalan itu, murid-murid ini mungkin selamat namun jika berlaku keadaan sebaliknya, risiko kehilangan nyawa pasti berlaku.

Selain itu tinjauan juga mendapati ramai murid melintas secara bersendirian tanpa pengawasan orang dewasa.

Bagaimanapun, ramai juga ibu bapa yang mengambil anak-anak mereka, tentunya kerana bimbangkan keselamatan anak mereka itu.

Dipetik dari Utusan Malaysia

No comments: