ShareThis

Monday, January 3, 2011

3 Januari PEKERJA LADANG KELAPASAWIT BANJIRI MAHKAMAH







Hari ini, Kesatuan Pekerja Ladang (NUPW) mengambil tindakan luarbiasa apabila lebih 200 pekerja ladang membanjiri lobi mahkamah untuk menyokong tindakan Kesatuan mereka , mefailkan kes di Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur terhadap keputusan Mahkamah Perindustrian yang rata-rata berat sebelah kepada pihak majikan mengenai isu penghakiman gaji pekerja kilang kelapasawit dan pemotong buah kelapasawit.

Pemimpin-pemimpin dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML/JERIT) turut hadir untuk memberi sokongan atas tindakan Kesatuan Sekerja ini.

Pekerja memegang beberapa sepanduk dan dengan nada marah mencaci keputusan mahkamah Perindustrian. Ada juga rintihan untuk memanggil mogok.

Setiausaha Nasional Kesatuan G.Sankaran semasa ucapan kepada pekerja memberitahu bahawa keputusan Mahkamah hanya menguntungkan pihak majikan. Ia langsung tidak membela hak dan kebajikan pekerja ladang dan pekerja kilang kelapasawit yang menjadi tulang belakang kepada negara lebih 53 tahun. Walaupun pada tiga tahun yang lepas harga kelapa sawit hanya RM1500 setan, tetapi pekerja telah diberi kenaikan gaji 10%. Tetapi hari ini harga kelapasawit di pasaran sangat tinggi iaitu lebih RM3000 setan tetapi pekerja hanya diberi 8% kenaikan gaji. Keputusan ini amat tidak adil dan satu penindasan terhadap pekerja ladang.

Saudara Arutchelvan, Setiausaha Agung PSM pula berkata bahawa keputusan mahkamah perindustrian ini lebih baik dibuang sahaja dalam tong sampah memandangkan ia mirip ditulis oleh Tuan ladang. Sdr. Arul meminta pekerja lading berjuang untuk membawa perubahan dan tidak meletakkan harapan kepada mahkamah.

Dr. Jeyakumar, Ahli Parlimen PSM Sungai Siput pula memberitahu, syarikat perladangan perlu menaikkan gaji perkerja berdasarkan harga pasaran kelapa sawit hari yang sangat tinggi. Banyak syarikat hanya membayar pekerja RM2000 walaupun setan kelapa sawit hari ini RM3000 lebih. Beliau turut memberitahu kita tidak boleh berdiam diri dan hanya menunggu keputusan mahkamah sahaja. Semua pekerja ladang perlu bersatu membuat sesuatu supaya hak pekerja dapat dibela.

Sedang kepimpinan NUPW naik untuk memfail kertas rayuan, rata-rata masyarakat pekerja ladang antara yang termiskin di Negara merunggut akan masa depan mereka. Tahun baru dimulakan dengan gaji yang rendah dan tidak setimpal dengan usaha mereka. Namun tindakan Kesatuan untuk turun ke Mahkamah untuk meluahkan bantahan adalah sesuatu yang perlu dipuji. Masa depan kaum pekerja tidak terletak dalam sedekah yang diberikan oleh majikan atau mahkamah yang pro-majikan. Ia terletak kepada perjuangan kaum pekerja.

Bawani KS.

No comments: