ShareThis

Sunday, October 3, 2010

22-9-2010 Kini masa untuk popularkan akta zalim EO





Banyak yang telah diperkatakan mengenai ISA - iaitu satu akta yang membenarkan penahanan tanpa bicara tetapi tidak banyak yang pernah dikatakan tentang dua lagi akta yang juga membenarkan penahanan tanpa bicara iaitu Akta Darurat Pencegahan jenayah (POPO) dan Akta Dadah Merbahaya -Kuasa Khas 1985. Bagi setiap seorang yang ditahan dibawah ISA hari ini, ada lebihkurang 10 orang ditahan dibawah EO dan DDA.

Sehubungan dengan itu, saya bersama Pesuruhjaya SUHAKAM Sdr. Sani, Bekas Pesuruhjaya Dato Siva Subramaniam dan Penyelaras SUARAM E.Nalini melancarkan road-show terhadap EO & DDA.

Dibawah adalah kenyataan penuh SUARAM:

Kenyataan Akhbar: 22 September 2010

Roadshow Kesedaran Mansuhkan EO dan DDA: Mansuhkan Undang-undang Penahanan Tanpa Bicara


Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) bersama-sama dengan bekas tahanan, keluarga mangsa tahanan, aktivis Hak Asasi dan para penguam ingin mengumumkan bahawa satu kempen kesedaran akan dianjurkan berkenaan Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) atau lebih dikenali sebagai EO (Emergency Ordinance- Public Order and Prevention of Crime) dan Akta Dadah Berbahaya 1985- Dangerous Drugs Act (DDA).

SUARAM dikenali umum sebagai sebuah organisasi Hak Asasi yang berkait rapat dengan kempen Mansuhkan ISA/Akta Keselamatan Dalam Negeri sejak 20 tahun yang lepas. Kempen Mansuhkan ISA adalah satu kempen yang amat berjaya dan kini rakyat kenal ISA sebagai undang-undang yang zalim dan mencabul hak asasi manusia. Kini, SUARAM ingin memperkembangkan kempen yang lebih menyeluruh tentang undang-undang tanpa bicara di Malaysia termasuk EO dan DDA.


EO dan ISA: Pencabulan Hak Asasi yang Sama!

Undang-undang ini telah diluluskan oleh Yang Dipertuan Agong apabila baginda mengisytiharkan darurat pada Mei 1969. Ini dilakukan untuk mempertahankan ketenteraman awam dan mencegah kekerasan serta jenayah semasa darurat. Undang-undang ini dikuatkuasakan pada 16hb Mei 1969, berikutan insiden rusuhan yang berlaku pada 13hb Mei 1969 di Malaysia.

Malangnya, undang-undang ini masih berkuatkuasa walaupun darurat telah tamat. Malah, undang-undang darurat ini giat digunakan oleh pihak berkuasa walaupun darurat sudah lama tamat. Ini kerana orang yang ditahan di bawah EO biasanya merupakan mereka yang didakwa sebagai samseng (gangsters) dan disyaki terlibat dalam kumpulan kegiatan rahsia (underground groups) oleh pihak polis. Di samping itu, EO juga dikenakan atas mereka yang terlibat dalam kegiatan jenayah lain yang pihak polis tidak mempunyai bukti mencukupi dan kukuh untuk mengemukakan tuduhan. Oleh kerana tahanan-tahanan EO bukan tahanan politik seperti tahanan ISA, mangsa-mangsa EO biasanya dilupai ataupun tidak mendapat perhatian yang sama seperti mangsa-mangsa ISA.

Sehingga kini lebih daripada 1000 orang ditahan tanpa bicara di bawah EO di Kem Pertahanan Simpang Renggam dan dibeberapa kem pertahanan yang lain. Bilangan ini belum lagi mengambil kira tahanan EO yang ditahan dalam tempoh 60 hari. Ini menunjukkan bahawa bilangan tahanan EO adalah lebih kurang 10 kali ganda bilangan tahanan ISA.

Proses penahanan EO dan juga DDA adalah sama seperti ISA,tetapi lebih banyak pencabulan hak asasi berlaku semasa seseorang itu ditahan dibawah kedua-dua akta tersebut.

Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 DDA

Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 [Dangerous Drugs (Special Preventive Measures) Act], atau lebih dikenali sebagai DDA, telah dirangka dengan alasan yang sama diberikan semasa ISA dirangkakan, iaitu seseorang itu perlu ditahan demi kepentingan awam.

Sungguhpun bantahan dikemukakan oleh banyak pihak, DDA telah diluluskan oleh Parlimen pada 30 Mei 1985 di bawah Artikel 149 (1) (f) Perlembagaan Persekutuan. Artikel 149 yang memberikan kuasa kepada Parlimen untuk merangka undang-undang yang membenarkan seseorang itu ditahan tanpa bicara untuk tempoh yang panjang walaupun kaedah ini didapati bercanggah dengan hak asasi manusia sepertimana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Proses penahanan EO dan DDA adalah sama tetapi cuma alasan penahanan adalah berbeza.

Pendirian SUARAM

EO dan DDA bercanggah dengan prinsip hak asasi yant ternyata dalam Deklarasi Antarabangsa Hak Asasi Manusia, seperti yang tercatat dalam Artikel Fasal 3, Fasal 7 , Fasal 9, Fasal 10, Fasal 11(1), Fasal 11(2) dan Fasal 13(1).

Di bawah Fasal 5 Perlembagaan Malaysia, jaminan diberi bahawa seseorang itu tidak boleh ditangkap dengan sewenang-wenangnya dan ditahan tanpa bicara. Sebaliknya, Fasal 149 bercanggah dengan Fasal 5 dengan membenarkan Parlimen membuat undang-undang yang melanggar kebebasan asas ini.

Aksi SUARAM

Maka dengan ini, SUARAM dan Jawatankuasa MansuhEO/DDA ingin memaklumkan bahawa, kami akan memulakan roadshow kesedaran pertama pada 25 dan 26hb September di Johor sebagai tempat signifikan kerana terdapat pusat pemulihan seperti Simpang Renggam dan Pemulihan Akhlak Muar. Selepas itu, roadshow ini akan diteruskan di Penang, Selangor dan negeri lain. Program roadshow ini akan merangkumi bukan sahaja edaran risalah dalam 3 bahasa utama di Malaysia dan juga forum dan perbincangan bersama masyarakat.

Kempen kesedaran ini akan berterusan dan SUARAM dengan kerjasama wakil-wakil peguam, Aktivis dan Mangsa EO dan DDA akan meneruskan inisiatif ini untuk menyedarkan kerajaan dan rakyat bahawa EO dan DDA adalah undang-undang tahan tanpa bicara dan ianya bercanggah dengan prinsip Hak Asasi dan ianya zalim seperti ISA.

Disediakan Oleh,

SUARAM bersama dengan Jawatankuasa Mansuhkan EO/DDA

No comments: