ShareThis
Saturday, August 21, 2010
14-15 Ogos - Bantahan 24 jam bawah khemah di Pekan Dengkil
Setelah 12 tahun membincangkan isu mereka di dapur, hari ini, dua ratus penghuni flat dan bekas pekerja ladang turun berkhemah di tepi jalanraya di Pekan Dengkil untuk memprotes isu perumahan mereka yang tak selesai selesai. Mereka menuntut rumah ganti selamat dan selesa. Pada awalnya polis memberi 15 minit untuk bersurai. Para penduduk bersedia bermalam di khemah ataupun di lockup. Polis akhirnya membernarkan protes 24 jam ini berterusan.
PROTES 24 JAM PENDUDUK TAMAN PERMATA, DENGKIL KERAJAAN SELANGOR JANJI BERI TANAH
Friday, 20 August 2010
14 & 15 Ogos 2010 : 12 tahun yang lalu, pada tahun 1998, seramai 400 keluarga telah dipindahkan dari Ladang Prang Besar, Sedgeley, Galloway dan Madingley. Mereka ini diusir keluar dari ladang mereka kerana tanah itu diambil oleh kerajaan Malaysia untuk membina Putrajaya.
Masyarakat ladang ini disumbat dalam Flats Taman Permata yang dibina secara tergesa-gesa diatas kawasan paya. Akibatnya, hidup masyarakat ini merana malah taraf hidup mereka telah turun. Sejak mereka pindah ke flats ini, banyak masalah yang dihadapinya, terutama struktur flats yang tidak stabil dan juga paip gas yang berhampiran. Bukan itu sahaja, sistem paip dan sistem kumbahan yang tidak sempurna, serta retakan di flats menyebabkan flats ini tidak sesuai dan selamat untuk diduduki.
Banyak memorandum dan surat telah dihantar kepada kerajaan pusat dan kerajaan negeri dalam masa 12 tahun ini, akan tetapi sehingga kini tiada maklumbalas yang positif. Maka demi untuk mengutarakan isu keadaan flats Taman Permata ini, lebih 150 wakil penduduk flats ini telah berkhemah di jalan utama Dengkil selama 24 jam supaya orang luar dan juga kerajaan melihat isu mereka.
Protes berkhemah ini bermula pada pukul 4petang pada 14 Ogos 2010 dengan ucapan dari wakil Jawatankuasa Penduduk Flats Taman Permata. Sejurus selepas ucapan wakil penduduk , pihak polis telah datang ke kawasan itu dan suruh para penduduk bersurai dalam masa 15 minit. Wakil dari pihak jawatankuasa serta komrad –komrad dari Parti Sosialis Malaysia telah cuba berbincang dengan pihak polis dan memberi kepastian bahawa ketenteraman awam tidak akan dikacau. Ini adalah isu penduduk yang hidup dalam keadaan yang tidak selamat. Selepas beberapa pusingan perbincangan, pihak polis pun tidak menghalang program ini tetapi berada di seberang jalan untuk memantau keadaan.
Pada pukul 5 petang satu sidang akhbar diadakan oleh para penduduk untuk menjelaskan tujuan Protes 24 jam ini. Isu mereka sangat simple, rumah kami tidak selamat, kami hidup merana, maka kami tidak mahu tinggal di sini dan menuntut rumah ganti. Isu utama mereka ialah, masyarakat Flats ini adalah bekas pekerja ladang yang telah lebih 3 generasi berusaha untuk pembangunan negara dengan gaji yang kurang. Kalau kerajaan ada duit untuk membina Putrajaya atas tanah ladang yang mereka menghuni selama 3 generasi kenapa tiada duit untuk membina rumah yang sesuai dan selamat untuk pekerja ladang yang kerja disitu?
Setelah sidang akhbar tamat, team memasak telah mula masak dan team anak muda pula mula membuat banner isu dan tuntutan mereka untuk naikkan di khemah dan di pekan Dengkil.
Pada masa yang sama rakan –rakan seperjuangan dari Ladang Bukit Jalil, Ldang Kamiri, Sg Siput, Bekas pekerja Ladang Brooklands, Bekeas Pekerja Ladang Sungai Tinggi, wakil Kampung Sg. Nipah, Sekretariat JERIT, cawangan PSM dari Semenyih, Kajang, Jelapang, Kota Damansara, Seremban dan Sungai Siput hadir untuk memberi sokongan solidariti untuk penduduk.
Pada lebih kurang pukul 7 malam, ceramah dimulakan dengan wakil ladang Bukit Jalil , diikuti dengan wakil Ladang Kamiri dan juga wakil dari cawangan PSM Jelapang, dalam ucapan Saras ( PSM Jelapang) beliau telah menekankan bahawa isu rakyat susah tidak kira kaum atau bahasa. Semua orang ada masalah kerana masalah ini ialah isu klas iaiatu kelas memerintah menekan klas miskin. Penceramah lain dalam program ini ialah Saudara Ramalingam ( LAdang Sg Rinching, PSM Semenyih), Saudara Ganesan ( Ladang Braemer), Saudari Letchimi ( PSM Kajang) dan Saudara Sivarajan ( bekas penyelaras Ladang Brooklands) dan Saudara Nasir Hashim ( ADUN Kota Damansara dan Pengerusi PSM) yang mengatakan bahawa rakyat harus berjuang apabila ditindas supaya pihak berkuasa mendengar masalah mereka. Beliau menekankan bahawa dalam segala perjuangan untuk hak, PSM akan bersama rakyat. Protes hari pertama diakhiri dengan ucapan Saudari Parames E dari JERIT yang telah menekankan bahawa protes hari ini adalah permulaan untuk perjuangan yang panjang dan sekiranya kita hendak perjuangan ini untuk menang , masyarakat harus bersatu dalam perjuangan.
Protes hari kedua bermula dengan perasaan gembira kerana 4 suratkhabar ada mengeluarkan berita mengenai Protes 24 jam ini. Keadaan ini menjadi lebih baik apabila YB Iskandar, Exco Perumahan Kerajaan Negeri Selangor telah datang melawat para penduduk pada pukul 8.50pagi. Beliau telah mendengar keluhan penduduk dan menerima memorandum. Beliau telah berjanji untuk mengkaji memorandum dan mengambil tindakan yang sewajarnya. Selepas itu beliau bersama jawatankuasa penduduk telah ke Flats untuk mengetahui isu –isu masyarakat disana dengan lebih dekat lagi. Pada masa yang sama 2 team telah ke Pasar Pagi Dengkil dan Pasar Pagi Salak Tinggi untuk mengedarkan risalah mengenai perjuangan mereka.
Pada pukul 10 pagi, wakil Menteri Besar Selangor , Exco Kerajaan Negeri Selangor dan Pengerusi Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan Dan Kerajaan Prihatin YB Dr. Xavier Jayakumar telah hadir ke khemah untuk memberi sokongan perjuangan penduduk dan mengenali dengan dekat isu Flats Taman Permata. Wakil penduduk, Ramadass dan Shanti telah menerangkan isu yang dihadapi mereka di flats Taman Permata. Selepas itu Yb DR Xavier telah memberi ucapan. Dalam ucapan beliau , YB Dr Xavier telah mengatakan keadaan bekas pekerja 4 ladang ini adalah akibat manipulasi kerajaan BN dan MIC pada masa itu. Putrajaya Holdings telah menipu penduduk dengan rumah yang taraf rendah. Yb Xavier telah mengatakan memang betul, flats ini tidak boleh dihuni lagi dan ia mengancam nyawa penduduk. Janji beliau ialah, Kerajaan Selangor akan memberi tanah untuk perumahan baru. Akan tetapi Putrajaya Holdings yang sepatutnya bina rumah baru. Beliau mengatakan bahawa beliau dan kerajaan Selangor akan bersama penduduk Taman Permata dalam perjuangan perumahan mereka. Beliau juga telah mencadangkan bahawa perjuangan penduduk Taman Permata ini harus dibawa ke Putrajaya. Setelah ucapan beliau, para penduduk telah menyerahkan memorandum dan YB Dr Xavier telah ke Flats Taman Permata untuk memeriksanya sendiri. Satu siding akhbar juga telah diadakan.
Setelah lawatan Yb Dr Xavier ini, satu pertandingan melukis yang bertemakan “ Rumah Kami” untuk kanak-kanak telah dijalankan untuk kanak-kanak .Protes diakhiri dengan perarakan dan pacakan papan tanda tuntutan oleh para penduduk di hadapan Blok 3 Taman Permata.
Protes 24 jam ini telah memberi semangat baru kepada penduduk Flats Taman Permata dalam perjuangan untuk perumahan yang selamat dan sesuai. Pada akhir protes penduduk telah membuat keputusan bahwa sekiranya tiada perkembangan positif dalam tuntutan mereka maka pada jangka masa panjang khemah ini akan menjadi tempat tinggal mereka yang tetap.
Hak Perumahan Selamat dan Selesa untuk Semua. Hidup Rakyat.
Dipetik dari jerit.org
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment