ShareThis

Wednesday, March 3, 2010

1 Mac - Bantahan di Hospital Serdang










MEMORANDUM
KEPADA MENTERI KESIHATAN

Melalui Pengarah Hospital Serdang

1hb Mac 2010

BATALKAN SKIM “FULL PAYING PATIENT”


Kami, ahli dan penyokong Gabungan Membantah Penswastaan Perkhidmatan Kesihatan (GMPPK), amat tidak senang hati dengan cadangan kerajaan untuk mengamalkan skim “Full Paying Patient” (FFP) ataupun skim Pesakit Membayar Penuh, di Hospital Serdang .

Kesan-Kesan Negatif daripada Skim FPP Di Hospital Selayang
Kami telah mendengar daripada kakitangan dan juga pesakit di Hospital Selayang (di mana skim FFP ini telah dilancarkan pada Ogos 2007) bahawa skim FPP ini telah melahirkan beberapa kesan buruk, antaranya

- Adanya sebahagian daripada pakar yang menumpukan terlalu banyak masa dan tenaga merawat pesakit swasta sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap pesakit biasa yang tidak bayar penuh. Adanya pakar yang memperolehi pendapatan yang melebihi gaji biasanya melalui penglibatan mereka dalam skim FFP.

- Beberapa doktor pakar yang tidak mahu menyertai skim ini terasa tidak puas kerana mereka terpaksa menanggung kerja-kerja yang diabai oleh pakar yang menglibatkan diri dalam skim FFP. Ini membawa kepada kemerosotan semangat berkerja di kalangan doktor.

- Bimbingan untuk doktor siswazah dan doktor yang sedang berlatih telah merosot kerana doktor pakar tidak ada masa untuk mengajar doktor-doktor yang sedang berlatih.

- Kemahiran seseorang pakar ditumpukan pada pesakit yang boleh membayar dan bukan pada pesakit yang ada penyakit yang lebih sukar dirawat. Pakar muda terpaksa menjalankan pembedahan yang lebih besar manakala pakar yang lebih pengalaman melakukan pembedahan-pembedahan yang kecil untuk pesakit yang boleh membayar.


Pendekatan Kerajaan yang Mengecewakan
Apabila skim FPP ini diumumkan pada tahun 2007, ramai pihak termasuk GMPPK telah membantah dan mengesyorkan jalan yang jauh lebih munasabah adalah untuk mewujudkan skim gaji yang lebih baik untuk kakitangan kesihatan. Pada takat itu Ketua Pengarah Kesihatan dan Menteri Kesihatan berkata bahawa skim FPP akan dimulakan sebagai suatu skim perintis yang akan dikaji penuh selepas 6 bulan.

Apabila disoal di Parlimen dalam bulan Disember 2008 mengapa kerajaan masih belum mengumumkan keputusan evaluasi skim FPP ini, Menteri Kesihatan Dato Liow Tiong Lai telah berjawab bahawa kajian tersebut akan dijalankan selepas itu, dan beliau berjanji membentang keputusan kajian tersebut di Parlimen nanti.

Tetapi tanpa membentang sebarang kajian, Kementerian Kesihatan telah mengumumkan bahawa skim FPP akan diluaskan kepada 4 buah hospital lagi termasuk Hospital Serdang.

Dalam jawapan bertulis bertarikh 3hb Disember 2009, Menteri Kesihatan telah memberitahu bahawa oleh kerana pakar dan pesakit yang ambil bahagian dalam skim FPP puas hati, Kementerian Kesihatan telah memutuskan bahawa skim FPP adalah suatu skim yang baik dan harus diluaskan kepada semua hospital kerajaan yang mempunyai pakar.

Pendekatan seperti dicerminkan dalam perkara-perkara di atas jelas menunjukkan bahawa kerajaan amat tidak serius terhadap tanggungjawab murni menjaga dan memupuk kualiti rawatan untuk pesakit biasa yang bergantung pada hospital-hospital awam.

Punca Utama Kemerosotan Kualiti Rawatan Di Hospital Kerajaan

Seperti harus diketahui oleh Yang Berhormat Menteri, lebih daripada 70% daripada pesakit yang dimasukkan ke hospital untuk rawatan “in-patient” berada di hospital kerajaan. Tetapi hanya 25% daripada pakar di Malaysia masih berada di Hospital Kerajaan. Oleh kerana ini, tiada bimbingan dan kawalan yang mencukupi di hospital-hospital kerajaan. Doktor yang masih sedang latih terpaksa menangani ramai kes tanpa pengalaman dan bantuan doktor yang lebih matang dan berpengalaman. Inilah punca utama untuk kemerosotan kualiti rawatan di hospital-hospital kerajaan.

Kami di GMPPK tiada sebarang halangan sekiranya kerajaan mahu meningkatkan pendapatan doktor-doktor kerajaan tetapi apa yang dibantah oleh kami kaedah abru tidak seharusnya menjejaskan lagi kualiti rawatan yang dinikmati oleh pesakit-pesakit biasa yang kebanyakannya daripada golongan pendapatan rendah.

Penghijrahan doktor pakar dari Institut Jantung Negara adalah jauh kurang daripada ketirisan daripada Hospital Kerajaan. Skim gaji di IJN harus dikaji dan jadikan template atau contoh untuk suatu skim gaji yang baru untuk kakitangan kesihatan kerajaan.

Syor GMPPK kepada Kerajaan
Dengan segala hormatnya kami ingin mengesyorkan


1. Membekukan segala cadangan untuk melancar skim FPP di hospital-hospital lain.

2. Menjalankan suatu kajian yang profesyenal terhadap kesan skim FPP terhadap prestasi doktor-doktor pakar yang ambil bahagian dalam skim ini. Suatu pasukan akademik harus dilantik untuk melakukan kajian ini.

3. Wujudkan suatu Suruhanjaya Perkhidmatan baru khas untuk kakitangan kesihatan supaya dapat melaksanakan skim gaji seperti di Institut Jantung Negara di semua hospital dan klinik di bawah Kementerian Kesihatan.

4. Meningkatkan bajet kewangan untuk Hospital Kerajaan dan memperkasakan Hospital Kerajaan dan pada masa yang sama menghentikan pemberian lesen baru untuk hospital swasta dan menghentikan mempromosi pelancongan kesihatan yang akan membawa padah kepada masa depan hospital kerajaan.


Kami berharap Kerajaan Malaysia akan mengambil berat terhadap isu-isu yang dikemukakan dalam Memorandum ini dan ambil tindakan yang berkesan untuk menanganinya.

Terima kasih.

PARTI SOSIALIS MALAYSIA DAN GABUNGAN MEMBANTAH PENGSWASTAAN HOSPITAL

No comments: