ShareThis

Friday, December 25, 2009

2 Disember 2009 Bank Negara patut ganti tugas Along






MEMORANDUM KEPADA TAN SRI DATO’ SRI DR ZETI AKHTAR AZIZ,
GABENOR BANK NEGARA MALAYSIA OLEH PARTI SOSIALIS MALAYSIA
MENGENAI LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENGURANGKAN BEBAN KRISIS EKONOMI TERHADAP RAKYAT PENDAPATAN RENDAH


Tarikh: 2 Disember 2009

Memorandum ini bertujuan untuk memohon supaya Bank Negara Malaysia untuk mengambil langkah-langkah ketara untuk membantu rakyat yang terjejas oleh kesan krisis ekonomi.

Walaupun Bank Negara telah membantu rakyat dari aspek penstrukturan semula pinjaman, kami masih mendapat ramai orang yang mengalami masalah dari segi pembayaran balik hutang dan ramai daripada mereka juga menjadi mangsa rumah dan harta mereka dilelong.

Kami dengan ini menyarankan


1. Dana pinjaman mudah untuk golongan pendapatan rendah yang terperangkap
dengan pinjaman ‘toksik’

1. Moratorium terhadap bayaran ansuran atau Bank Negara mengambil alih
bayaran bunga kepada bank, sehingga situasi kewangan pekerja berpulih,
supaya menjamin rumah dan harta tidak dilelong

3. Melonggarkan lagi syarat-syarat penjadualan semula bagi pinjaman Islamik

________________________________________________________________________

Kesan Krisis Ekonomi Terhadap Golongan Berpendapatan Rendah

Krisis ekonomi yang melanda negara kita bersama dengan negara-negara lain di dunia telah banyak membebankan rakyat. Walaupun krisis ini menjejaskan semua lapisan masyarakat, namun impak terhadap rakyat berpendapatan rendah adalah amat teruk sekali.

Ramai pekerja telah mengalami penurunan pendapatan akibat dibuang kerja, dikurangkan hari kerja serta kehilangan ‘overtime’. Sememangnya, angka pembuangan kerja tidak setinggi seperti ditakuti, tetapi penurunan pendapatan akibat kehilangan kerja lebih masa (overtime) dan pengurangan hari kerja amat menjejaskan para pekerja. Ini adalah kerana ramai pekerja bergantung pada overtime dan tempoh kerja 6 hari se minggu untuk memastikan kuantum pendapatan yang mencukupi untuk membiayai perbelanjaan keluarga.
Oleh sebab dasar gaji rendah, pekerja berpendapatan rendah juga langsung tidak ada simpanan untuk digunakan untuk mengatasi masalah kewangan yang dihadapi semasa krisis. Keadaan ini merosot lagi apabila harga barangan naik.Keadaan ini menyebabkan golongan berpendapatan rendah terpaksa mengambil langkah-langkah drastik untuk menyesuaikan diri, seperti mengurangkan perbelanjaan terhadap keperluan asas seperti makanan dan pendidikan, serta mendapat pinjaman dari pihak peminjam wang bukan formal seperti ceti dan along.

Pada bulan Ogos 2009, Part Sosialis Malaysia (PSM) telah membuat satu kajian mengenai impak krisis ekonomi terhadap rakyat Malaysia. Kajian ini yang melibatkan 400 responden telah menunjukkan bahawa krisis ekonomi ada impak signifikan terhadap rakyat pendapatan rendah seperti dipamerkan dalam rajah di bawah.

Kesan Krisis Ekonomi Terhadap Rakyat Biasa

IMPAK/ KESAN
Peratus responden
Pendapatan berkurangan
75.8%
Hutang naik
55.0%
Tidak dapat bayar ansuran pinjaman
50.9%
Menghadapi masalah dalam memenuhi keperluan makanan
56.5%
Menghadapi masalah dalam memenuhi keperluan pendidikan
36.9%


Masalah-Masalah Kritikal Akibat Penurunan Pendapatan


Sejak tahun 2008, pusat-pusat perkhidmatan rakyat PSM telah mendaftar dan membantu individu-individu yang mengalami masalah berkaitan dengan krisis ekonomi. Antaranya kami telah melibatkan diri dalam membantu pengadu ke pusat khidmat kami untuk mendapatkan bantuan kebajikan, dan membuat penstrukturan semula dan penjadualan semula pinjaman bank.

Namun masih terdapat beberapa masalah kritikal berkaitan dengan pembayaran balik hutang, penarikan harta dll, yang kami tidak dapat membantu, seperti dikategorikan di bawah:

i. Masalah Hutang Toksik


Masalah ini wujud apabila keluarga yang mengalami penurunan pendapatan atau hilang pendapatan tidak dapat membayar ansuran bulanan pinjaman. Mereka tidak layak memohon pinjaman bank kerana tidak dapat memenuhi syarat-syarat yang dikenakan. Oleh itu mereka terpaksa meminjam daripada ceti atau along dengan bayaran faedah yang tinggi.

Hutang mereka berlipat ganda dan mereka terperangkap dalam hutang yang tidak dapat dijelaskan. Berikut adalah contoh kes yang dikendalikan di pusat khidmat kami:


Hutang Toksik

Encik M dan isterinya mendapatkan pinjaman bank untuk membeli rumah dengan ansuran bulanan RM480.

Beberapa bulan kemudian, Encik M mengalami kemalangan jalan raya dan tidak dapat ke kerja. Isteri Encik M pula kehilangan kerja overtime di kilang tempat kerjanya.

Mereka tidak dapat membayar pinjaman perumahan. Disamping itu mereka juga ada perbelanjaan bayaran rawatan di hospital. Untuk mengelak rumah mereka di lelong oleh bank, mereka terpaksa meminjam daripada ceti dengan kadar bunga 8% dan 10% sebulan.

Hutang mereka meningkat ke RM7,000 selepas satu tahun, dengan bayaran bunga sahaja sebanyak RM660 sebulan untuk hutang ceti.

Bank sedia membuat penjadualan semula ansuran dari RM480 ke RM250 se bulan tetapi bayaran pada ceti tidak dapat dikurangkan.



Bayaran hutang kes di atas meningkat dari RM480 ke RM1,140 se bulan (RM660 bayaran bunga + RM480 ansuran pinjaman bank). Dalam keadaan seperti ini, kelonggaran penjadualan semula tidak dapat mengatasi masalah individu dan keluarganya. Mereka yang terperangkap dalam keadaan seperti ini memerlukan skim pinjaman wang yang mudah dipohon dengan kadar faedah yang rendah. Contohnya:

Untuk menjelaskan hutang RM7,000, individu di atas meminjam wang dari 2 peminjam wang iaitu RM5,000 dengan faedah 10% daripada peminjam A dan RM2, 000 dengan faedah 8% daripada peminjam B.

Peminjam (Lender)
Kadar bunga
se bulan Bayaran bunga sebulan Bayaran sekiranya kadar bunga 4%

A
10%
RM500

4% x 7,000


B
8%
RM160

RM660
RM23.30 se bulan


Sekiranya ada skim pinjaman mudah di mana individu boleh mendapat pinjaman pada kadar 4% se tahun, maka bunga yang dikenakan hanya RM23.30 se bulan (RM 7,000 x 4% di bahagi 12 bulan) berbanding dengan RM660 se bulan dengan pinjaman toksik Ceti.

ii. Masalah penarikan harta oleh bank


Sebahagian golongan pekerja yang memiliki harta seperti rumah diancam dengan kehilangan harta itu apabila mereka yang dibuang kerja langsung tidak dapat membuat sebarang bayaran ansuran untuk beberapa bulan berturut-turutan.

Selain dari itu, walaupun kelonggaran diberi oleh beberapa bank komersial, individu dikehendaki membayar satu ‘lump sum’ dari tunggakan hutang sebelum permohonan untuk penjadualan semula diluluskan. Kebanyakan individu yang kehilangan kerja tidak mampu membuat bayaran tersebut dan oleh itu tidak layak membuat penjadualan semula.

Antara isu-isu spesifik lain yang perlukan perhatian dan tindakan Bank Negara adalah:

i. Bank membuat lelong tanpa memberi notis secukupnya dan kadangkala tanpa sebarang notis. Ada masalah dimana penghutang telah memberi restu semasa meminta pinjaman bahawa bank tidak perlu memaklumkan kepada mereka seandainya mereka tidak menjelaskan hutang.

ii. Ada bank yang menggunakan khidmat pihak ketiga untuk menarik harta atau mengambil balik pinjaman. Biasanya mereka akan menarik harta dengan cara yang tidak jujur. Walaupun melalui mahkamah tetapi ia dilakukan tanpa melibatkan pihak yang menghutang.


iii. Kadangkala jumlah pinjaman yang tidak dapat dibayar balik oleh peminjam adalah jumlah yang sedikit tetapi langkah terus diambil untuk menarik harta tanpa menghiraukan pinjaman dan bunga yang dibayar sebelum ini.
iv. Penstrukturan semula pinjaman juga melarang peminjam dari membuat pinjaman baru. Ini hanya akan menyebabkan mereka pergi kepada along dan ceti.


Untuk menjamin mereka yang kehilangan kerja atau mengalami penurunan pendapatan, tidak hilang rumah mereka juga akibat ketidakupayaan membayar ansuran bulanan, Bank Negara harus membenarkanmoratorium terhadap bayaran ansuran sehingga mendapat kerja baru atau mengambil alih bayaran bunga kepada bank sehingga situasi kewangan pekerja berpulih. Bayaran oleh Bank Negara ini boleh dibayar balik oleh pekerja terlibat selepas situasi kewangannya berpulih.


iii. Kelonggaran Pinjaman Islamik Yang Tidak Mencukupi
Perbankan Islamik menjadi semakin popular pada masa kini. Namun dalam masa keadaan ekonomi dalam krisis, kelonggaran yang diberi untuk membantu rakyat terlalu terhad. Daripada pengalaman kami hanya 10% dikurangkan daripada kuantum bayaran ansuran bulanan apabila penjadualan semula diluluskan. Kami mensyorkan supaya kelonggaran yang lebih realistik diberi.

Langkah-Langkah Penyelesaian Yang Harus Diambil Oleh BNM
Antara lain, objektif Bank Negara Malaysia yang merupakan penasihat kewangan kepada kerajaan, adalah juga pembasmian kemiskinan dan penstrukturan semula masyarakat. Selaras dengan itu, adalah diharapkan Bank Negara Malaysia akan mengkaji cadangan-cadangan kami dan memperkenalkan langkah-langkah untuk menyelamatkan rakyat yang menderita akibat krisis ekonomi. Bank negara sebagai ketua dan teraju kepada bank-bank swasta harus bertindak tegas dan membuat langkah intervention yang lebih kukuh untuk menjamin rakyat Malaysia dari golongan berpendapatan rendah dan kaum pekerja negara ini tidak dibeban oleh masalah kewangan.

Kami mencadangkan langkah-langkah berikut:


1. Dana pinjaman mudah untuk golongan pekerja

Untuk membantu mereka yang tersangkut dengan hutang toksik dan yang tidak layak mendapat pinjaman bank sebab tidak dapat memenuhi syarat. Dicadangkan skim ini:
i. kenakan faedah yang rendah, seperti pada kadar 4% yang diberi kepada kakitangan kerajaan
ii. mudah dipohon dengan tidak dikenakan syarat-syarat seperti bank statement 3 bulan atau slip gaji 3 bulan
iii. dilaksanakan dengan niat menyelamatkan rakyat dan bukan untuk mengutamakan keuntungan

2. Membenarkan moratorium terhadap bayaran ansuran atau mengambil alih bayaran bunga kepada bank, sehingga situasi kewangan pekerja berpulih

Untuk menjamin mereka yang hilang kerja atau mengalami pengurangan pendapatan tidak hilang harta dan rumah akibat kegagalan bayar ansuran bulanan. Bayaran ansuran bolehlah disambung selepas keadaan kewangan pekerja berpulih.

3. Melonggarkan lagi syarat-syarat penjadualan semula bagi perbankan Islamik

Ini adalah supaya mereka yang memilih jenis pembankan Islamik dapat bantuan yang mencukupi bagi mengatasi masalah bayaran ansuran.

Adalah diharapkan Bank Negara Malaysia akan mengkaji dan memperkenalkan langkah-langkah yang dicadangkan untuk membantu dan menyelamatkan rakyat yang menderita akibat krisis ekonomi.

No comments: