ShareThis

Thursday, June 28, 2012

ISA masih ada - GMI terus bantah dan dedah mogok lapar



KUALA LUMPUR - Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) hari ini terus mendesak Menteri Dalam Negeri segera membebaskan kesemua tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan tidak akan mengambil tindakan ke atas sembilan tahanan  yang melakukan mogok lapar di Kem Kamunting (Kemta).

“Menteri Dalam Negeri mesti memberi jaminan bahawa pihak keluarga, peguam dan doktor akan diberi akses kepada tahanan tanpa sebarang halangan oleh pihak Kemta,” kata Peguam Latheefa Koya.
Berikutan itu, GMI menuntut pendirian Menteri Dalam Negeri mengenai mogok lapar yang sedang berlaku di Kamunting.

“Apakah menteri akan memberi jaminan bahawa tahanan yang mogok lapar tidak akan dikenakan sebarang tindakan seperti yang dikenakan ke atas dua tahanan," kata beliau sebelum menyerahkan memorandum kepada Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di hadapan Bangunan Parlimen, hari ini.

Turut bersama ialah keluarga tahanan, aktivis GMI termasuk peguam dan wakil Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berkumpul di pintu masuk Parlimen dengan kain rentang dan poster menuntut tahanan dibebaskan.

Memorandum tersebut diserahkan oleh sekretariat GMI, Syukri Razab dan bapa Fadzullah, Abdul Razak Mohd kepada Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena), Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai), S.Arutchelvan (PSM) dan Tian Chua (PKR-Batu).

GMI berpendirian menyokong mogok lapar tersebut dan mahu Menteri Dalam Negeri bertanggungjawab sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini ke atas tahanan.

No comments: