ShareThis

Tuesday, February 15, 2011

14-2-11 Kampung DBI ke SUHAKAM






Hari 10 orang wakil dari para Peneroka Bandar Kg DBI, Ipoh membawa masalah mereka kepada perhatian SUHAKAM oleh kerana hak-hak asasi kami terus dicabuli dan dinafikan oleh kerajaan negeri Perak antaranya dinafikan perumahan tetap dan mencukupi (adequate – security of tenure), kawasan persekitaran yang terabai dan taktik kotor ‘constructive eviction’

Latarbelakang

Mereka adalah keturunan pekerja majlis bandaraya yang mula bekerja sebagai pekerja municipal sejak sebelum Merdeka. Mereka bergaji rendah dan duduk di ‘labour line’ - di rumah kuarters yang amat sempit kerana dibina untuk lelaki bujang (bachelor). Labour lines ini bina di sebuah tapak tanah milik DBI seluas 37 ekar di sebelah Jalan Sg Pari yang terletak kurang dari 1 km dari bandaraya Ipoh.

Akibat gaji rendah dan harga rumah yang di luar kemampuan ibu-bapa kami, selepas bersara, mereka terpaksa membina rumah papan berhampiran dengan rumah kuarters juga, dan terus tinggal di situ. DBI sedar akan pembinaan rumah-rumah papan ini lebih 30 tahun dahulu, dan pengerusi majlis pada masa itu yang dikenali sebagai En.Waller, telah memberi kebenaran ‘tacit’ kepada pesara DBI.

Perobohan Rumah Kuarters

Pada tahun 1997, pihak DBI buat rancangan untuk meroboh rumah kuarters. Penduduk rasa risau kerana tindakan meroboh kuarters akan mendedah merekakepada habuk asbestos dari bumbong asbestos rumah-rumah kuarters di mana habuk asbestos boleh menyebabkan kanser dan mengakibatkan peruntuhan rumah-rumah papan mereka oleh kerana rumah-rumah papan sangat rapat dengan kuarters

Akhirnya penduduk terpaksa ke mahkamah untuk cuba menghentikan perobohan tersebut yang mengancam nyawa kami dan akhirnya pada 2 Mac 1999, mereka telah memperolehi perintah ‘injunction’ dari mahkamah tinggi Ipoh yang memerintah supaya sebarang perobohan bahan asbestos dilarang kecuali dengan mengikut secara rapi langkah-langkah keselamatan yang terkandung dalam panduan berkaitan. Sejak perolehan perintah tersebut, DBI tidak pernah teruskan dengan tindakan perobohan rumah kuartersnya.

Sejak tahun 1997 kami telah mengambil pelbagai tindakan untuk mendapatkan penyelesaian kepada masalah perumahan kami. Tindakan-tindakan ini termasuk menyerah surat berulang kali kepada pelbagai pihak seperti Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bandar, Pengarah Tanah dan Galian, Pentadbir Tanah dan juga pihak Kementerian Perumahan, dan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri serta Ahli Parlimen.
Pada 4/2/99, jawatankuasa rumah papan Kg DBI, berjumpa dengan bekas Menteri Besar Perak, Dato Seri Ramli Ngah Talib. Beliau berjanji bahawa satu bahagian daripada tapak tanah kawasan kuarters DBI akan dikhaskan untuk dijadikan lot perumahan untuk kami.

Pada 30/5/2000, bekas Datuk Bandar, Datuk Hj Talaat bin Hussein berjanji akan berurusan dengan Pejabat Tanah Ipoh mengenai lot perumahan untuk kami. Juga beliau cadangkan satu alternatif, ia itu, keutamaan kepada kami dalam skim rumah terrace kos rendah dengan potongan harga yang dicadang dibina atas tapak kuarters DBI.
Pada tahun 2000 juga, Menteri Besar Dato Seri Tajol Rosli, membuat kenyataan akhbar bahawa peneroka bandar miskin yang tidak mampu beli rumah akan diberi lot oleh kerajaan negeri (Berita Harian, 6/6/00).

Pada tahun 2007, DBI telah buat keputusan untuk membuat ‘joint property development’ melalui usahasama dengan pemaju swasta. Di mana pemaju akan diberi tanah 37 ekar untuk dibuat mixed property development, dan DBI akan dapat se bahagian dari keuntungan projek itu.

Syarat DBI kepada pemaju yang dipilihnya iaitu, Syarikat Manjong Development Bhd, adalah bahawa pemaju tersebut perlu selesaikan masalah dan tuntutan kami, penduduk tapak tanah tersebut, sebelum meneruskan dengan projeknya.Selepas beberapa bulan berunding, kami telah menandatangani satu perjanjian dengan Sykt Manjong Development Bhd pada 23 Mei 2007. Menurut perjanjian tersebut, pemaju tersebut akan tawarkan kampong DBI rumah teres sederhana berukuran 20’ X 70’, dengan kos bersabsidi RM16,000 se tiap rumah

Malangnya, apabila DBI mendapat Datuk Bandar baru pada hujung tahun 2007, beliau membatalkan tawaran kepada pemaju Sykt Manjong Development Bhd dan dengan itu perjanjian juga terbatal. Apabila kami berjumpa dan merayu kepada Datuk Bandar baru, Dato Roshidi Hashim, beliau menyatakan rancangan kerajaan untuk menawarkan tapak tanah itu kepada Mydin Hypermarket. Tidak ada sebarang rancangan kerajaan untuk perumahan alternatif kepada kami.

Dalam masa Pakatan Rakyat memerintah Perak, MB Datuk Seri Nizar Jamaluddin bersetuju dengan tuntutan kami untuk rumah teres sederhana seperti dalam perjanjian 2007 dan juga bersetuju untuk mengikut butir-butir tawaran dalam perjanjian tersebut sebagai benchmark tetapi ia digulingkan,

Selepas menjadi MB Perak, Dato Dr Zambry Abdul Kadir pada 5 Ogos 2009, telah membuat pengumuman dalam akhbar bahawa kerajaan negeri akan memberi hak milik automatic kepada penduduk yang duduk di tanah kerajaan untuk 10 tahun. Pada 3/1/10, semasa melawat sebuah kampung di atas tanah swasta, Kg Tai Lee, Buntong, MB Perak telah buat kenyataan bahawa sekiranya tanah Kg Tai Lee adalah milik kerajaan masalah perumahan alternatif penduduk di situ sudah lama selesai.

Janji-janji MB Dato Zambri tidak ditunaikan; surat-surat ditendang ke pihak lain; dan perjumpaan seperti latihan Public Relations sahaja
Sejak pengumuman tentang hak milik automatik, penduduk telah ke pejabat Menteri Besar se bulan sekali, dan menyerah surat setiap bulan. Mereka telah beberapa kali berjumpa dengan pegawai khas MB, dan MB sendiri semasa hari berjumpa dengan rakyat. Yang hairankan tidak ada sesiapa pun di Pejabat MB yang sedar akan dasar hak milik automatik. MB sendiri telah memberitahu AJK bahawa dia akan panjangkan permintaan penduduk ini kepada Datuk Bandar! Jelaslah bahawa kesemuanya adalah pengumuman kosong sahaja.

Setiap kali mereka serahkan surat, pihak MB akan tendang masalah ke pihak-pihak lain seperti PTG, Datuk Bandar dan SUK (di mana kesemuanya kami sudah jumpa sebelum ini dan, di mana kesemuanya tidak berusaha untuk menyelesaikan masalah penduduk ini.
Sehingga sekarang pihak-pihak tersebut pun langsung tidak menghubungi. Jelas bahawa MB tidak memandang serius masalah

Kawasan 37 ekar diabaikan sehingga menyebabkan kematian seorang penduduk
Sejak mendapat perintah mahkamah pada tahun 2/3/1999 kawasan 37 ekar itu di ‘abandon’ oleh DBI. Kawasan-kawasan lapang yang besar, serta kawasan-kawasan di mana tidak ada rumah papan, menjadi terabai, dan kami tidak mampu menyelenggaranya.
Longkang-longkang tidak dibersihkan, rumput tepi jalan tidak dipotong tetapi keadaan masih terkawal sehingga tahun 2009. Pada masa itu, kawasan di sekeliling 37 ekar tanah DBI, dibangunkan. Sebelum dibangunkan ia merupakan kawasan yang ada kolam-kolam besar bekas lombong, dan secondary forest. Selepas pembangunan, ular-ular bisa seperti python dan cobra dari sana, mula berteduh di Kg DBI.
Sejak masa itu sehingga sekarang ular bisa berkeliaran di kampung kami. Setiap surat kepada Menteri Besar Dato Zambri menceritakan tentang bahaya ular (disertai juga dengan foto ular) dan kekhuatiran terhadap keselamatan dan nyawa mereka. Namun tidak ada sebarang tindakan daripada kerajaan negeri. Pada 19/11/10, seorang penduduk, En Arumugam, mati digigit ular bisa di luar rumahnya. Setiap hari, ular dikesan di dalam rumah, di atas bumbung rumah dan di luar rumah-rumah kami di Kg DBI.

Taktik ‘constructive eviction’

Akibat bahaya ular, ramai penduduk terpaksa tinggalkan rumah mereka dan mencari tempat tinggal di luar. Pada minggu lepas, se buah keluarga terpaksa berpindah kerana setiap hari terdapat ular bisa di bilik mandi mereka.
Kebanyakan penduduk Kg DBI adalah miskin, dan tidak mampu membeli rumah. Ramai yang pindah terpaksa menjadi setinggan di tempat lain, menumpang di rumah saudara atau menyewa rumah.

Sebahagian besar penduduk kampung diusir dari kampung DBI dengan cara tidak langsung. Kerajaan Negeri mengunakan taktik kotor untuk mengusir mereka. Mereka menggunakan taktik melambat-lambatkan penyelesaian masalah penduduk , dan taktik diamkan diri untuk memaksa mereka letih dan berpindah.

Rayuan kepada SUHAKAM untuk melindungi hak asasi kami

Taktik kerajaan negeri Perak diamkan diri, enggan mengambil sebarang tindakan, dan enggan berunding dengan sepanjang tahun 2010. Keengganan mengambil tindakan walaupun ada banyak janji, menunjukkan kerajaan negeri tidak pandang serius, dan tidak mengambil berat walaupun taktik yang digunakannya menyebabkan kematian seorang penduduk.

Kerajaan negeri kini dan pada tahun 1997 menunjukkan sikap memandang nyawa dan kesihatan penduduk sebagai sesuatu yang tidak bernilai Bagi kerajaan negeri, tanah DBI kini mempunyai nilai yang amat tinggi memandangkan ia adalah tanah yang baik bukan bekas lombong) dan berhampiran dengan bandar. Maka banyak untung dapat diperolehi jika diberi kepada pemaju.

Penduduk ini bukan anti-pembangunan tetapi kami mahu pembangunan yang tidak menyingkirkan atau mengusir mereka.

Tuntutan kepada pihak SUHAKAM :

Kami berharap pihak SUHAKAM akan menasihatkan kerajaan negeri Perak untuk mengambil berat dan menghormati hak dan kepentingan bekas pekerja bandaraya yang bertungkus lumus menjaga kebersihan bandar Ipoh dengan gaji yang amat rendah. Melalui intervention SUHAKAM, kami berharap kerajaan negeri Perak akan hentikan diskriminasi terhadap kami dan menyelesaikan masalah perumahan kami secara saksama dan segera.

No comments: