ShareThis

Sunday, January 16, 2011

15 Januari 2011 - Kesignifikanan Perayaan Ponggal hari ini


KESIGNIFIKANAN PERAYAAN PONGGAL HARI INI – S.Arutchelvan

Perayaan Ponggal hari ini dirayakan secara besar-besaran. Mesej-mesej sms ponggal berlambak, sambutan ponggal menjadi semakin besar dan setiap parti politik dan ahli politik berlumba-lumba cuba membuat sesuatu semasa Ponggal.

Ponggal yang dirayakan hari ini sudah di”komersil”kan. Ada kebaikannya – kerana kini ia diketahui oleh lebih ramai orang dan ia menjadi sebahagian budaya perayaan rakyat Malaysia yang majmuk. Namun demikian, kesignifikan ponggal itu semakin hari semakin pudar. Inilah kelebihan sistem kapitalis yang pernah dikatakan oleh Antonia Gramsi dimana sistem dapat membentuk hegemoninya tersendiri. Mengikut Gramsci sebuah kelas dikatakan telah berhasil, jika ia berhasil mempengaruhi kelas masyarakat yang lain untuk menerima nilai-nilai moral, politik dan budayanya. Oleh itu adalah penting untuk kita mencabar hegemoni ini dan inilah yang cuba saya lakukan dalam tulisan ini. Sistem Kapitalis ini berjaya mengkomersilkan ponggal seperti yang pernah dilakukan terhadap setiap satu nilai budaya dan tradisi yang asli. Sistem kapitalis ini berjaya menyerap kedalam budaya ponggal bisa komersilnya, mengisap keuntungan komesilnya dan memperdagangkan nilai kemanusianya.

Pada hakikatnya Ponggal adalah satu perayaan kaum petani yang menuai padi. Di Malaysia, ia dirayakan oleh masyarakat Tamil memandangkan budaya dan tradisi ini berasal dari Tamil Nadu. Masyarakat Tamil yang dibawa masuk ke Malaya oleh Penjajah British untuk bekerja di ladang telah merayakan perayaan ini. Perayaan ini mungkin tidak banyak berbezanya dari Perayaan Gawai yang disambut oleh masyarakat Iban dan Bidayuh di Sarawak atau perayaan Musim Menuai atau "Dong Zhi" yang dirayakan oleh kaum Cina.

Ia adalah perayaan kaum tani, kaum yang mengerjakan sawah. Kaum yang memastikan benih bertukar menjadi padi. Dan padi ini kemudian bertukar menjadi beras dan disajikan sebagai nasi di pinggan kita. Ia merupakan makanan ruji utama bagi masyarakat Asia iaitu masyarakat yang paling padat sekali jumlahnya di dunia. Ponggal biasanya dirayakan untuk mengucapkan kesyukuran dan terimakasih kepada matahari, alam sekitar dan ternakan yang telah membantu dalam proses mengeluarkan makanan ini.

Pada zaman feudal, para Tuan Tanah atau “zamindar” merayakan hari ini secara besar-besarnya dengan memberikan pakaian dan hadiah kepada kaum petani. Setelah memeras kaum tani 364 hari, mereka akan menggunakan satu hari ini untuk menebus dosa mereka dan menonjolkan sifat dan nilai kebajikan mereka dengan memberikan hadiah dan pakaian. Ironinya, hari ini, ada ramai ahli politik di negara kita yang menggunakan masa-masa perayaan seperti ini untuk memberi hadiah dan hamper kepada masyarakat miskin. Seolah-olah kemiskinan itu wujud pada masa perayaan sahaja. Sifat memberi sedekah ini adalah satu konsep yang cukup dibenci oleh kaum sosialis. Bagi kaum sosialis, kekayaan negara dan bumi adalah daya usaha kaum pekerja dan kaum petani. Hari ini, kaum yang menyumbang ini dilayan dengan begitu teruk sekali dengan diberi gaji rendah dan diperas habis-habisan sebagai komoditi. Proses penukaran beras dari membajak sehingga menuai dan kemudiannya diproses menjadi beras tidak boleh menjadi nyata jika tidak ada penglibatan kaum tani dan kaum pekerja.Bagi saya satu kesignifikanan ponggal adalah untuk kita menghargai pengorbanan kaum petani dan pekerja ini secara ikhlas.

Dulu pada satu masa, Malaysia dapat menampung permintaan beras dalam negeri tetapi hari ini kita terpaksa mengimpot beras. Sistem kapitalisma yang mengagungkan keuntungan dan revolusi perindustrian telah menyebabkan makanan hari ini terhad, mahal dan diseluputi kimia. Dr. Mahathir sendiri telah menukar nama Universiti Pertanian Malaysia (UPM) kepada Universiti Putra Malaysia kerana bagi beliau, pertanian adalah simbol kemunduran. Bagi saya, satu lagi kesignifikan Ponggol adalah untuk kita menilai kepentingan makanan dan aktiviti pertanian ini. Bagi kaum kapitalis, mereka lebih bermotifkan keuntungan. Contohnya hari ini makanan jagung bertukar fungsi sebagai sumber makanan kepada sumber minyak bio-gas untuk mengantikan petroleum. Bagi kita, makanan adalah sumber kehidupan kita dan tidak boleh dihapuskan.

Selain itu, Amerika Syarikat juga adalah antara salah sebuah negara yang mempunyai stock-pile beras yang paling tinggi di dunia.Pelik, sebuah negara yang majoritinya rakyatnya tak makan nasi mempunyai simpanan beras yang tinggi. Tetapi jika kita mengetahui sistem kapitalis, memang tidak pelik kerana beras ini akan digunakan pemerintah Amerika Syarikat untuk mengawal harga beras dan memastikan keuntungan .
Satu lagi kesignifikanan ponggal adalah penghormatan yang diberi kepada alam sekitar. Hari ini, kita dikejutkan dengan banjir di Australia – sebuah negara maju. Di Australia, dengan kekayaan negara yang begitu tinggi dan teknologi maju, mereka tidak dapat melawan dendam alam sekitar. Untuk sekian lama, para saintis telah mengatakan bahawa dunia kini menghadapi krisis cuaca dan alam sekitar yang amat serius. Sebagai manusia, kita mempunyai tanggungjawab mempertahankan bumi kita kerana kita hidup dalam bumi ini. Jika alam sekitar dan sistem ekologi tidak dijaga oleh kita, maka ia akan membalas dendam dan kita tidak terdaya melawanya. Sekali lagi negara-negara maju kapitalis menjadi penghalang untuk menyelamatkan bumi ini. Kalau kita membaca laporan Bangsa-bangsa Bersatu, negara-negara yang paling banyak berjuang untuk selamatkan alam sekitar adalah negara-negara sosialis seperti Cuba, Bolivia dan Venezuela.

Di Malaysia, kita juga selain dari memastikan mengurangkan pengunaan plastik dan sebagainya, harus bersikap lebih pro-aktif mempertahankan hutan simpanan kita, memastikan pembangunan mampan, memastikan tanah tidak dibazirkan dengan pembinaan bungalow-bungalow mewah dan hospital-hospital swasta umpama hotel tetapi pembangunan untuk membantu warga manusia. Oleh yang demikian, satu lagi kesignifikan ponggal adalah hubungan kita yang tak dapat berpisah dari alam sekitar dan kita harus menyelamatkan bumi kita dari terus dirogol dan digondol oleh kaum kapitalis. Generasi masa depan mungkin tidak senasib dengan kita.

Sebagai renungan saya yang terakhir, sedang kita berpesta dengan ponggal, berpesta dengan nasi manis, pertandingan memasak ponggal dan lain-lain budaya yang disajikan oleh nilai komersil sistem kapitalisma, kita jangan lupa akan kesignifikan Ponggal dan rasionalnya. Di Hulu Langat, kita mula merayakan Ponggal ini 16 tahun yang lalu pada zaman tak ramai yang merayakannya. Kita memanggil ponggal kita makkal ponggal (ponggal rakyat) dimana kaum pekerja ladang dari pelbagai ladang sekitar sama-sama memasak nasi manis ponggal dan berucap mengenai kehidupan dan harapan mereka. Kalendar Tamil berkata Thai-ponggal adalah tahun baru dan ia adalah permulaan satu tahun baru dan disambut untuk memberi harapan baru kepada kita. Harapan saya adalah kita tidak lupa kesignifikan ponggal, kita jangan lupa bahawa untuk menyelamatkan budaya, makanan ruji kita, alam sekitar kita, kita perlu selamatkan dunia ini dari cengkaman fahaman sistem kapitalisma.

S.Arutchelvan
6.15pm, 15-1-2011

No comments: