ShareThis

Monday, January 13, 2014

Selamat Menyambut Hari Ponggal

Perayaan Ponggal: Hari Memperingati Sumbangan Pekerja dan Petani Sedunia

Perayaan Ponggal disambut pada 14 Januari setiap tahun. Perayaan Ponggal ataupun Pesta Menuai (sama seperti Hari Gawai yang disambuat di Sabah dan Sarawak) merupakan satu amalan tradisi masyarakat India bagi meraikan hari menuai padi. Ponggal disambut demi memperingati sumbangan dan tenaga pekerja terutamanya petani kepada kehidupan manusia. Di India, pada masa dulu kala dan juga sekarang, pertanian merupakan aktiviti ekonomi yang penting - hari pertama menuai yang selalunya jatuh di pertengahan bulan Januari disambut sebagai hari Ponggal.

Pada hari Ponggal, masyarakat akan menyatakan penghargaannya kepada petani, pekerja sawah, alam semula jadi dan lembu yang digunakan untuk pertanian. Perayaan ini disambut oleh semua tanpa mengira agama yang dianuti.

Kebiasaannya, ponggal akan dimasak dengan menggunakan belanga yang diperbuat daripada tanah liat dengan menggunakan beras dari hasil tuaian pertama. Nasi ponggal akan ditanak menggunakan susu di mana, ketika susu melimpah keluar, para petani akan menyebut “ponggaloo ponggal”. Pada masa kini kebanyakan kita tidak lagi menjalankan pertanian. Maka kenapa kita harus menyambut ponggal?

Ponggal pada masa kini penting kerana, ia merupakan hari untuk memperingati sumbangan pekerja dalam pembangunan negara dan kaum manusia. Pekerja adalah nadi pembangunan sesebuah negara. Hari ini Malaysia maju kerana sumbangan dan pengorbanan pekerja ladang, pekerja kilang, petani, orang Asal dan juga pekerja di sektor lain. Tanpa pekerja, Malaysia tidak akan maju. Mari kita menyambut perayaan Ponggal ini dengan beriktibar untuk memperjuangkan hak pekerja sedunia demi masa depan yang baik.

Selamat Hari Ponggal kepada Pekerja Sedunia

No comments: