ShareThis

Friday, December 25, 2009

Merry Christmas Comrades


A very happy Merry Christmas. May 2010 bring new hope for a better world.

23-12 Bengkel Had Kuasa Polis di Serdang




Satu bengkel Had Kuasa Polis telah diadakan di Taman Muhibbah, Serdang. Sdr. Yee Keong selaku penganjur telah menganjurkan program ini dikalangan penduduk di kawasan perumahan Taman Muhibbah ini. Program ini membincangkan kuasa polis dan hak-hak yang ada pada masyarakat sivil.

19 Disember Sumbangan kepada rumah Anak Yatim






Persatuan I Kuan Tao Ji Chii Jong Chuu sebuah Pertubuhan telah menyumbangkan sumbangan untuk membina horning di rumah Anak Yatim di Taman Maju, Semenyih. Para sukarelawan dari pertubuhan ini juga menyajikan makanan sayuran berkhasiat kepada para anak-anak muda ini sejak pagi lagi. Saya turut hadir untuk memberi penghargaan kepada Pertubuhan ini atas sokongan dan sumbangan mereka kepada rumah kebajikan ini.

Kem perubatan dan Kesedaran AIDS di Tasek Kesuma










PSM Semenyih, Pejabat Ahli Majlis Zon 18, Pertubuhan AIDS , Pertubuhan Sai Baba, Pertubuhan Siti Vinayagar berjaya menganjurkan satu program Kem Kesihatan termasuk kempen kesedaran mengenai HIV Aids.

Program ini diadakan di kawasan Pangsapuri Tasek Kesuma dan dihadir oleh lebihkurang 200 penghuni kawasan tersebut dan kawasan berdekatan. Satu pertandingan melukis juga telah diadakan.

Para Doktor sukarelawan memberi khidmat dengan percuma.

18 Disember Satu tahun kayuhan bersejarah






Hari ini, sambutan setahun kayuhan bersejarah ke Parlimen disambut dihadapan pejabat PSM Semenyih. Hampir semua anak muda yang menyertai kontijen ke selatan hadir dengan baju merah kayuhan JERIT mereka.

Program yang penuh nostalgia ini disajikan dengan tayangan video dan gambar-gambar, termasuk ucapan daripada para peserta anak muda dan penganjur. Juruacara bercakap pantun manakala penunggang basikal veteran Paremas E menyanyikan lagu kayuh dengan penuh merdu dan bersemangat.

Hari basah ini tidak menghalang pihak polis memantau program ini iaitu satu scenario yang sudah biasa kepada penunggang basikal. Saya dalam ucapan saya mengatakan bahawa program ini adalah kerjasama antara JERIT dan PDRM kerana kalau bukan kerana gangguan PDRM, program ini tidak akan memperolehi publisiti dan kejayaan yang begitu besar.

TERUS KAYUH UNTUK PERUBAHAN

17 Disember 09 – Akhirnya kerja baiki bumbung Pasar Kampung Baru sudah bermula




Jika cuaca adalah baik, para peniaga di Pasar Kampung Baru Semenyih akan mempunyai satu bumbung baru sebelum tahun baru Cina. Untuk sekian lama, bumbung disini bocor dan air mencurah masuk bila hujan. Cubaan sebelum ini menampal bumbung tidak Berjaya dan akhirnya setelah beberapa aduan dan lawatan, akhirnya MPKJ setuju untuk menukar keseluruhan bumbung yang sedia ada. Hari ini, saya bersama pembantu PSM dan wakil dari MPKJ dan kontrater mengadakan perbincagan untuk membereskan kerja-kerja dan melicinkan urusan pembaikian ini.

17-12 Polis Liar dan buas dera pemandu Limo






Saya dan Peguam Surinderan mengetuai rakyat prihatin membuat aduan polis terhadap polis di Seremban kerana bertindak cukup biadap dalam mendera seorang yang tidak bersalah. Itulah sebabnya kita memerlukan satu badan polis yang profesyenal dan satu Badan bebas untuk menyiasat salahguna kuasa polis.

Sila baca aduan dibawah untuk mengetahui apa yang polis telah lakukan.



Repot Polis Keganasan Polis Semasa Di Tahan


Nama Pengadu : Isai Kumar a/l Sathieyananthan

No I/c : 820811-14-6585

Alamat : 508, Jalan Nilam 16, Taman Jayamas, 70200 Seremban,
Negeri Sembilan Darul Khusus.


Saya Isai Kumar a/l Sathieyananthan ingin membuat laporan polis berkenaan keganasan polis semasa saya ditahan untuk siasatan pada 6.12.09 hingga 14.12.09. Saya ditahan di Petronas, Pekan Nilai lebih kurang pukul 9.00 pagi dan dibawa ke IPK Seremban bersama kereta LIMO bernombor LIMO 2940 W. Setiba di sana, saya dibawa ke bilik siasatan tingkat bawah. Semasa saya berada di sana, saya dipukul dan ditendang oleh enam orang pegawai polis. Sewaktu itu, seorang polis berpakaian biasa telah menyuruh saya membuka baju dan seluar. Selepas itu, dia mengambil gambar kemaluan saya. Saya telah dipukul sehingga pukul 4 petang dan tidak diberi makan dan minum. Selepas itu, mereka membawa saya menaiki van polis ke IPD Seremban. Setiba disana, saya dibawa ke bilik siasatan tingkat bawah. Sewaktu disana, saya ditendang di muka oleh Inspektor Sobry. Selain itu, beberapa pegawai polis lain juga memukul dan menendang saya. Saya juga tidak diberi makan dan minum dan terus dihantar ke lokap nombor 13.

Keesokan hari 7.12.09, saya dibawa ke mahkamah dan mendapat reman 4 hari. Selepas itu saya dibawa balik ke IPD Seremban pada pukul 1 petang untuk memberi statement. Insp Sobry yang mengambil statement. Sebelum mengambil statement, Insp Sobry telah mengaku tuduhan terhadap saya adalah palsu dan dia sendiri mengaku repot pengadu tidak sahih. Selepas mengambil statement saya dibawa ke lokap.

Pada 10.12.09, saya dibawa ke mahkamah sekali lagi dan mendapat reman 6 hari. Sebelum pergi ke mahkamah Insp Sobry telah mengarah, supaya tidak bercakap dengan majistet semasa mengambil reman di mahkamah. Saya terus dibawa balik ke lokap IPD Seremban. Semasa saya di lokap, saya dibawa ke bilik siasatan D7 Korporal bergari belakang dan dipaksa duduk berlutut dengan paip PVC yang diletak di belakang lutut saya. . Di sana saya mendapati pengadu yang membuat repot palsu terhadap saya berada dalam bilik siasatan. Di dalam bilik tersebut terdapat seorang polis perempuan dan tujuh orang polis lelaki. Di situ saya disoal dan semua jawapan yang saya beri tidak diterima dan dipukul bertubi-tubi. Pengadu bercakap bohong berkali-kali dan saya menyangkah segala tuduhannya. Apabila saya membantah, saya akan terus dipukul dengan paip PVC dan paip getah yang tidak berlubang ditengah. Polis perempuan yang berada di bilik tersebut, memegang rambut saya dan menampar berkali-kali. Selepas itu, dia menendang dada saya menggunakan lututnya. Saya terus terbaring ke lantai. Pegawai polis perempuan itu, duduk di atas dada saya dan memasukkan kasut yang dipakainya ke dalam mulut saya. Di memaksa kasut itu kedalam mulut. Saya boleh rasa kasut itu sudah sampai ke tekak saya. Sewaktu itu, pegawai polis tersebut mengatakan, mengapa saya perlu jumpa pengadu kerana dia(pegawai polis) lebih cantik dan dia cuba menanggalkan tudung dan bajunya. Dia juga memaki hamun dengan perkataan lucah keluarga saya. Saya ternampak nombor plet kereta polis perempuan itu iaitu Proton Waja No. MAS 6043. Selepas itu, pegawai polis perempuan dan pengadu keluar bilik. Lebih kurang 15 min kemudian, pegawai polis perempuan tersebut datang balik ke bilik Korporal D7 dan terus mengoncang kepala saya dengan memegang rambut dan mengatakan pengadu itu membuat laporan palsu terhadap saya. Selepas ini, kesemua pegawai polis yang berada di dalam bilik tersebut terus mengatakan pengadu itu membuat laporan palsu. Selepas itu saya dibawa masuk ke lokap semula. Di sana saya tidak dapat menahan sakit badan dan mendapat demam selsema. Saya meminta ubat, tetapi tidak diberi. Pegawai yang bertugas mengatakan lokap tidak mempunyai panadol atau ubat demam.

Pada 11.12.09, saya masih demam tetapi masih tidak diberi ubat. Saya diberi makan, kari ikan. Selepas itu, seorang banduan di lokap itu mengatakan ikan tersebut telah basi. Saya terpaksa muntah. Saya tidak diberi makanan lagi walaupun makanan yang diberi basi. Pada waktu malam, saya diberi ubat KK tiga biji kerana masih demam.

Sepanjang di lokap, makanan yang diberi tidak mencukupi kerana di dalam lokap no 13 terdapat 7 orang. Roti yang diberi untuk sarapan pagi hanyalah 3 bungkus sahaja. Semasa mengambil statement, pegawai polis menggunakan kata-kata kesat dan lucah terhadap saya.

Saya membuat laporan polis ini kerana tidak berpuashati dengan tingkahlaku polis yang memukul dan menggunakan perkataan lucah. Saya juga tidak mahu siasatan dilakukan oleh IPD Seremban atau IPK Negeri Sembilan. Saya memohon siasatan dilakukan oleh Bukit Aman.


Pada pagi ini saya bersama peguam saya cuba untuk berjumpa Timbalan Ketua Polis mengenai kes yang amat serius ini, tetapi pintu gate ditutp dan kami dilarang berjumpa beliau. Saya amat kecewa dengan tindakan polis ini.

Ini adalah laporan saya.

15-12 Bekas Penghuni Putrajaya Demo kat PNSB







Lebih kurang 50 orang penduduk Flats Taman Permata, Dengkil yang rasa masah dengan rumah flat yang dibina telah protes di hadapan Pejabat PNSB di Wisma MBSA. Mereka juga menyerahkan satu memorandum dengan Tuntutan “Perumahan Selamat dan Selesa”.
Sebagai bekas pekerja ladang dari 4 buah ladang iaitu Ladang Perang Besar, Medingley, Galloway dan Sedgley yang telah dipindahkan ke flat Taman Permata Dengkil pada tahun 1998 untuk memberi laluan kepada pembangunan Putrajaya, mereka memang marah kerana telah dianaktirikan.
Hampir sepuluh tahun mereka telah tinggal di Flat Taman Permata dengan menghadapi pelbagai masalah daripada masalah keselamatan akibat paip gas yang berhampiran dengan flats, hingga ke masalah sistem kumbahan yang tidak dibuat dengan betul. Maka kehidupan penduduk di Flats Taman Permata setiap hari ada masalah baru.
Setelah berteriak untuk setengah jam, akhirnya satu mesyuarat telah diatur bersama dengan En. MD. Yunus Iskandar yang merupakan pengurus projek. Beliau pada awalnya cuba menuding jari kepada penduduk atas segala masalahnya tetapi apabila ditekan dan ditanya bertubi-tubi, beliau hanya boleh berkata bahawa isu ini akan dibawa kepada pihak atasan,
Beliau pula berkata bahawa PNSB hanya telah bertindak sekadar agen penjual bagi Kerajaan Negeri Selangor dan tidak ada apa-apa kaitan dalam pembinaan flats.
Saya dan pihak wakil JERIT yang hadir memeprsoalakan beberapa isu pokok yang tidak boleh dijawab:
1. Siapakah yang bertanggungjawab menyelengara flat ini?
2. Menapa CF tidak diberi dan jika diberi , maka bukti ia telah diberi?
3. Bagaimana penduduk boleh dipindahkan kesana dengan pengetahuan bahawa ada saluran gas disana

6-12-09 SUARAM 20 TAHUN




SUARAM - Suara Rakyat Malaysia ditubuhkan sebaik sahaja tahanan Operasi Lalang terakhir dibebaskan pada tahun 1989. Operasi Lalang adalah penahanan ISA semasa rejim Dr. Mahathir yang menyaksikan lebih dari seratus orang ahli politik, aktivis sosial dan hak asasi, pejuang bahasa, dan ahli akademik merengkok di Kem Kamunting dari Oktober 1987 hingga Oktober 1989. SUARAM adalah sebuah NGO hak asasi manusia yang terkemuka di negara ini bahkan terkenal di peringkat antarabangsa.

Saya telah menjadi kakitangan SUARAM selama 11 tahun dan hari ini saya adalah salah seorang Lembaga Pengarahnya. SUARAM merupakan organisasi aktivis hak asasi yang paling ulung di Malaysia dan telah memperjuangkan hak asasi manusia secara konsisten dalam isu-isu seperti penahanan tanpa bicara, salahguna kuasa polis, solidarity antarabangsa dan banyak lagi isu berkaitan dengan hak asasi dan demokrasi.

Antara kemuncak program 20 tahun SUARAM adalah upacara memberi hadiah hak asasi manusia dan tahun ini dimenangi oleh Gerakan Mansuhkan ISA (GMI)

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang suaram layarilah http://www.suaram.net/

2 Disember 2009 Bank Negara patut ganti tugas Along






MEMORANDUM KEPADA TAN SRI DATO’ SRI DR ZETI AKHTAR AZIZ,
GABENOR BANK NEGARA MALAYSIA OLEH PARTI SOSIALIS MALAYSIA
MENGENAI LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENGURANGKAN BEBAN KRISIS EKONOMI TERHADAP RAKYAT PENDAPATAN RENDAH


Tarikh: 2 Disember 2009

Memorandum ini bertujuan untuk memohon supaya Bank Negara Malaysia untuk mengambil langkah-langkah ketara untuk membantu rakyat yang terjejas oleh kesan krisis ekonomi.

Walaupun Bank Negara telah membantu rakyat dari aspek penstrukturan semula pinjaman, kami masih mendapat ramai orang yang mengalami masalah dari segi pembayaran balik hutang dan ramai daripada mereka juga menjadi mangsa rumah dan harta mereka dilelong.

Kami dengan ini menyarankan


1. Dana pinjaman mudah untuk golongan pendapatan rendah yang terperangkap
dengan pinjaman ‘toksik’

1. Moratorium terhadap bayaran ansuran atau Bank Negara mengambil alih
bayaran bunga kepada bank, sehingga situasi kewangan pekerja berpulih,
supaya menjamin rumah dan harta tidak dilelong

3. Melonggarkan lagi syarat-syarat penjadualan semula bagi pinjaman Islamik

________________________________________________________________________

Kesan Krisis Ekonomi Terhadap Golongan Berpendapatan Rendah

Krisis ekonomi yang melanda negara kita bersama dengan negara-negara lain di dunia telah banyak membebankan rakyat. Walaupun krisis ini menjejaskan semua lapisan masyarakat, namun impak terhadap rakyat berpendapatan rendah adalah amat teruk sekali.

Ramai pekerja telah mengalami penurunan pendapatan akibat dibuang kerja, dikurangkan hari kerja serta kehilangan ‘overtime’. Sememangnya, angka pembuangan kerja tidak setinggi seperti ditakuti, tetapi penurunan pendapatan akibat kehilangan kerja lebih masa (overtime) dan pengurangan hari kerja amat menjejaskan para pekerja. Ini adalah kerana ramai pekerja bergantung pada overtime dan tempoh kerja 6 hari se minggu untuk memastikan kuantum pendapatan yang mencukupi untuk membiayai perbelanjaan keluarga.
Oleh sebab dasar gaji rendah, pekerja berpendapatan rendah juga langsung tidak ada simpanan untuk digunakan untuk mengatasi masalah kewangan yang dihadapi semasa krisis. Keadaan ini merosot lagi apabila harga barangan naik.Keadaan ini menyebabkan golongan berpendapatan rendah terpaksa mengambil langkah-langkah drastik untuk menyesuaikan diri, seperti mengurangkan perbelanjaan terhadap keperluan asas seperti makanan dan pendidikan, serta mendapat pinjaman dari pihak peminjam wang bukan formal seperti ceti dan along.

Pada bulan Ogos 2009, Part Sosialis Malaysia (PSM) telah membuat satu kajian mengenai impak krisis ekonomi terhadap rakyat Malaysia. Kajian ini yang melibatkan 400 responden telah menunjukkan bahawa krisis ekonomi ada impak signifikan terhadap rakyat pendapatan rendah seperti dipamerkan dalam rajah di bawah.

Kesan Krisis Ekonomi Terhadap Rakyat Biasa

IMPAK/ KESAN
Peratus responden
Pendapatan berkurangan
75.8%
Hutang naik
55.0%
Tidak dapat bayar ansuran pinjaman
50.9%
Menghadapi masalah dalam memenuhi keperluan makanan
56.5%
Menghadapi masalah dalam memenuhi keperluan pendidikan
36.9%


Masalah-Masalah Kritikal Akibat Penurunan Pendapatan


Sejak tahun 2008, pusat-pusat perkhidmatan rakyat PSM telah mendaftar dan membantu individu-individu yang mengalami masalah berkaitan dengan krisis ekonomi. Antaranya kami telah melibatkan diri dalam membantu pengadu ke pusat khidmat kami untuk mendapatkan bantuan kebajikan, dan membuat penstrukturan semula dan penjadualan semula pinjaman bank.

Namun masih terdapat beberapa masalah kritikal berkaitan dengan pembayaran balik hutang, penarikan harta dll, yang kami tidak dapat membantu, seperti dikategorikan di bawah:

i. Masalah Hutang Toksik


Masalah ini wujud apabila keluarga yang mengalami penurunan pendapatan atau hilang pendapatan tidak dapat membayar ansuran bulanan pinjaman. Mereka tidak layak memohon pinjaman bank kerana tidak dapat memenuhi syarat-syarat yang dikenakan. Oleh itu mereka terpaksa meminjam daripada ceti atau along dengan bayaran faedah yang tinggi.

Hutang mereka berlipat ganda dan mereka terperangkap dalam hutang yang tidak dapat dijelaskan. Berikut adalah contoh kes yang dikendalikan di pusat khidmat kami:


Hutang Toksik

Encik M dan isterinya mendapatkan pinjaman bank untuk membeli rumah dengan ansuran bulanan RM480.

Beberapa bulan kemudian, Encik M mengalami kemalangan jalan raya dan tidak dapat ke kerja. Isteri Encik M pula kehilangan kerja overtime di kilang tempat kerjanya.

Mereka tidak dapat membayar pinjaman perumahan. Disamping itu mereka juga ada perbelanjaan bayaran rawatan di hospital. Untuk mengelak rumah mereka di lelong oleh bank, mereka terpaksa meminjam daripada ceti dengan kadar bunga 8% dan 10% sebulan.

Hutang mereka meningkat ke RM7,000 selepas satu tahun, dengan bayaran bunga sahaja sebanyak RM660 sebulan untuk hutang ceti.

Bank sedia membuat penjadualan semula ansuran dari RM480 ke RM250 se bulan tetapi bayaran pada ceti tidak dapat dikurangkan.



Bayaran hutang kes di atas meningkat dari RM480 ke RM1,140 se bulan (RM660 bayaran bunga + RM480 ansuran pinjaman bank). Dalam keadaan seperti ini, kelonggaran penjadualan semula tidak dapat mengatasi masalah individu dan keluarganya. Mereka yang terperangkap dalam keadaan seperti ini memerlukan skim pinjaman wang yang mudah dipohon dengan kadar faedah yang rendah. Contohnya:

Untuk menjelaskan hutang RM7,000, individu di atas meminjam wang dari 2 peminjam wang iaitu RM5,000 dengan faedah 10% daripada peminjam A dan RM2, 000 dengan faedah 8% daripada peminjam B.

Peminjam (Lender)
Kadar bunga
se bulan Bayaran bunga sebulan Bayaran sekiranya kadar bunga 4%

A
10%
RM500

4% x 7,000


B
8%
RM160

RM660
RM23.30 se bulan


Sekiranya ada skim pinjaman mudah di mana individu boleh mendapat pinjaman pada kadar 4% se tahun, maka bunga yang dikenakan hanya RM23.30 se bulan (RM 7,000 x 4% di bahagi 12 bulan) berbanding dengan RM660 se bulan dengan pinjaman toksik Ceti.

ii. Masalah penarikan harta oleh bank


Sebahagian golongan pekerja yang memiliki harta seperti rumah diancam dengan kehilangan harta itu apabila mereka yang dibuang kerja langsung tidak dapat membuat sebarang bayaran ansuran untuk beberapa bulan berturut-turutan.

Selain dari itu, walaupun kelonggaran diberi oleh beberapa bank komersial, individu dikehendaki membayar satu ‘lump sum’ dari tunggakan hutang sebelum permohonan untuk penjadualan semula diluluskan. Kebanyakan individu yang kehilangan kerja tidak mampu membuat bayaran tersebut dan oleh itu tidak layak membuat penjadualan semula.

Antara isu-isu spesifik lain yang perlukan perhatian dan tindakan Bank Negara adalah:

i. Bank membuat lelong tanpa memberi notis secukupnya dan kadangkala tanpa sebarang notis. Ada masalah dimana penghutang telah memberi restu semasa meminta pinjaman bahawa bank tidak perlu memaklumkan kepada mereka seandainya mereka tidak menjelaskan hutang.

ii. Ada bank yang menggunakan khidmat pihak ketiga untuk menarik harta atau mengambil balik pinjaman. Biasanya mereka akan menarik harta dengan cara yang tidak jujur. Walaupun melalui mahkamah tetapi ia dilakukan tanpa melibatkan pihak yang menghutang.


iii. Kadangkala jumlah pinjaman yang tidak dapat dibayar balik oleh peminjam adalah jumlah yang sedikit tetapi langkah terus diambil untuk menarik harta tanpa menghiraukan pinjaman dan bunga yang dibayar sebelum ini.
iv. Penstrukturan semula pinjaman juga melarang peminjam dari membuat pinjaman baru. Ini hanya akan menyebabkan mereka pergi kepada along dan ceti.


Untuk menjamin mereka yang kehilangan kerja atau mengalami penurunan pendapatan, tidak hilang rumah mereka juga akibat ketidakupayaan membayar ansuran bulanan, Bank Negara harus membenarkanmoratorium terhadap bayaran ansuran sehingga mendapat kerja baru atau mengambil alih bayaran bunga kepada bank sehingga situasi kewangan pekerja berpulih. Bayaran oleh Bank Negara ini boleh dibayar balik oleh pekerja terlibat selepas situasi kewangannya berpulih.


iii. Kelonggaran Pinjaman Islamik Yang Tidak Mencukupi
Perbankan Islamik menjadi semakin popular pada masa kini. Namun dalam masa keadaan ekonomi dalam krisis, kelonggaran yang diberi untuk membantu rakyat terlalu terhad. Daripada pengalaman kami hanya 10% dikurangkan daripada kuantum bayaran ansuran bulanan apabila penjadualan semula diluluskan. Kami mensyorkan supaya kelonggaran yang lebih realistik diberi.

Langkah-Langkah Penyelesaian Yang Harus Diambil Oleh BNM
Antara lain, objektif Bank Negara Malaysia yang merupakan penasihat kewangan kepada kerajaan, adalah juga pembasmian kemiskinan dan penstrukturan semula masyarakat. Selaras dengan itu, adalah diharapkan Bank Negara Malaysia akan mengkaji cadangan-cadangan kami dan memperkenalkan langkah-langkah untuk menyelamatkan rakyat yang menderita akibat krisis ekonomi. Bank negara sebagai ketua dan teraju kepada bank-bank swasta harus bertindak tegas dan membuat langkah intervention yang lebih kukuh untuk menjamin rakyat Malaysia dari golongan berpendapatan rendah dan kaum pekerja negara ini tidak dibeban oleh masalah kewangan.

Kami mencadangkan langkah-langkah berikut:


1. Dana pinjaman mudah untuk golongan pekerja

Untuk membantu mereka yang tersangkut dengan hutang toksik dan yang tidak layak mendapat pinjaman bank sebab tidak dapat memenuhi syarat. Dicadangkan skim ini:
i. kenakan faedah yang rendah, seperti pada kadar 4% yang diberi kepada kakitangan kerajaan
ii. mudah dipohon dengan tidak dikenakan syarat-syarat seperti bank statement 3 bulan atau slip gaji 3 bulan
iii. dilaksanakan dengan niat menyelamatkan rakyat dan bukan untuk mengutamakan keuntungan

2. Membenarkan moratorium terhadap bayaran ansuran atau mengambil alih bayaran bunga kepada bank, sehingga situasi kewangan pekerja berpulih

Untuk menjamin mereka yang hilang kerja atau mengalami pengurangan pendapatan tidak hilang harta dan rumah akibat kegagalan bayar ansuran bulanan. Bayaran ansuran bolehlah disambung selepas keadaan kewangan pekerja berpulih.

3. Melonggarkan lagi syarat-syarat penjadualan semula bagi perbankan Islamik

Ini adalah supaya mereka yang memilih jenis pembankan Islamik dapat bantuan yang mencukupi bagi mengatasi masalah bayaran ansuran.

Adalah diharapkan Bank Negara Malaysia akan mengkaji dan memperkenalkan langkah-langkah yang dicadangkan untuk membantu dan menyelamatkan rakyat yang menderita akibat krisis ekonomi.

Nov 28- Dec 12 - Venezuela – Pengalaman saya menatapi Revolusi





















Dari 28hb. November sehingga 11hb. Disember 2009, saya telah menyertai satu briged anjuran Venezuela Australia Solidariti Group. Selama hampir dua minggu, saya telah melawat dua Bandar iaitu Caracasa dan Velencia. Saya juga melawat pelbagai program anjuran kerajaan Sosialis Chavez iaitu melawat Hospital rakyat, kelas pendidikan, berjumpa dengan pemimpim pekerja, melawat Barrio (kampong perumhan), melawat koperasi pekerja dan petani dan pelbagai tempat lain.

Saya cukup kagum dengan kemajuan di Venezuela dimana Kerajaan Chavez menggunakan wang minyak untuk melaksanakan pendidikan percuma sehingga peringkat Universiti, perubatan percuma dan pelbagai aktiviti pro rakyat. JIka Malaysia menjadi negara Sosialis, kita juga akan menggunakan wang Petronas demi kebaikan rakyat Malaysia. Viva Sosialis ! Viva Venezuela.

Ini hanyalah sebahagian kecil gambar image dan kenangan semasa saya disana