ShareThis

Thursday, February 26, 2009

25 februari 2009 Kepimpinan PSM berjumpa dengan Menteri Sumber Manusia






Kepimpinan PSM diketuai oleh Dr. Nasir Hashim telah mengadakan satu mesyuarat dengan Menteri Sumber Manusia, Datuk S.Subramaniam. PSM telah menyerahkan satu memorandum seperti dibawah. Dua orang wakil dari PSM Semenyih juga hadir untuk program ini.

MEMORANDUM KEPADA MENTERI SUMBER MANUSIA
25 Februari 2009

PAKEJ PERANGSANG KERAJAAN AKAN GAGAL SELESAIKAN MASALAH WARGA PEKERJA

PSM SARAN LANGKAH DARURAT ATASI KRISIS EKONOMI

1. Krisis Ekonomi Semakin Parah

Sebagai pendukung sistem pasaran bebas kapitalis Global, Malaysia turut menjadi mangsa krisis Ekonomi dunia yang melanda seluruh dunia terutamnya ekonomi di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Jerman, Jepun dan Peranchis. Kesannya turut dirasai di negara-negara pasaran besar seperti di Cina dan India.

Di Malaysia, angka-angka yang membimbangkan turut dipaparkan.MEF menganggarkan 200,000 akan dihentikan dan menurut mereka lagi, semasa krisis ekonomi 1998 hanya 85,000 yang hilang pekerjaan. Mereka juga menganggarkan krisis ini akan berlanjutan untuk 18 bulan walaupun ada pakar ekonomi yang berpendapat, ia akan berlanjutan lebih lama daripada itu. .

Menurut Timbalan chief of mission Indonesia, Tatang B Razak seramai 50,000 daripada jumlah 90,000 pekerja Malaysia di Singapura sudah diberhentikan. Selain dariapda itu, dianggarkan 600,000 pekerja baru akan membanjiri pasaran buruh setiap tahun. Selain daripada itu, dianggarkan terdapat lebihkurang dua juta pekerja tidak berdokumen di negara kita, selain daripada pekerja asing yang berdokumen.

2. Kerajaan membuat ulasan bagaikan krisis ini tidak serius dan ekonomi Malaysia dapat menanganinya dengan selesa.

Beberapa kenyataan kepimpinan negara termasuk Menteri Sumber Manusia memberikan gambaran bahawa ekonomi Malaysia amat stabil malah mempunyai banyak kerja kosong berbanding dengan penggangguran. Media Massa aliran utama pula memberi prospek cerah keadaan ekonomi Malaysia walaupun kami setiap hari mendapat aduan daripada orang ramai mengenai isu pemberhentian kerja, OT dihentikan, hari pekerja dikurangkan dan sebagainya.

Perdana Menteri pula di Parlimen berkata Negara mempunyai asas ekonomi dan kewangan yang kukuh dan ekonomi negara mempunyai mempunyai flexibility untuk mengharungi cabaran persekitaran ekonomi global yang tidak menentu ini. Namun kekurangan permintaan di Negara Barat akan memberi impak langsung kepada ekonomi negara kita walau berapa kuat asas ekonomi kita.
3. Perangsang yang mungkin tidak merangsang keseluruhan rakyat

Walaupun kami tidak menafikan Malaysia mempunyai ekonomi yang agak baik tetapi isu yang ingin diutarakan oleh kami adalah mengenai isu pentadbiran dan pengurusan ekonomi yang tidak cekap, boros dan membazir. Selain daripada itu, pengalaman silam menunjukkan, Kerajaan lebih mendukung aspirasi kaum koperat daripada rakyat biasa semasa membela mangsa krisis ekonomi.

Walaupun Kerajaan telah membuat pakej rangsangan pertama bernilai 7 billion yang menurut Datuk Seri Najib, 70% sudahpun diedarkan untuk pelbagai projek kementerian dan agensi kerajaan. Kini Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan juga telah berkata akan mengumumkan pakej perangsang kedua. Yang membimbangkan adalah bukan pakej rangsangan tetapi kepada golongan mana pakej ini akan memberi faedah.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) amat risau bahawa pakej rangsangan ini akan disalahgunakan dan digunakan untuk menyelamatkan kroni-kroni koperat yang cuai, digunakan untuk pilihanraya-pilihanraya kecil dengan diberi projek-projek kepada gologan tertentu untuk mendapatkan sokongan dan undi mereka.

Justeru dengan itu, PSM menyarankan tujuh pelan tindakan

Pertama - - TUBUHKAN TABUNG PEMBUANGAN KERJA

MTUC (Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia) , PSM dan JERIT (Jaringan Rakyat Tertindas) sejak dulu telah menyarankan kerajaan menubuhkan satu Tabung Pembuangan Kerja untuk menangani masalah pembuangan kerja semasa kegawatan ekonomi. Kerajaan Barisan Nasional yang pro majikan enggan berbuat demikian kerana Kesatuan Majikan membantah cadangan ini. Jika Tabung ini dilaksanakan seperti yang disaran, maka pada zaman krisis ekonomi, tabung ini sedikit sebanyak dapat menampung tekanan keatas kaum pekerja dan juga ahli keluarga mereka .

Kami menyarankan Kerajaan mengeluarkan hanya RM 0.5 billion dari KWSP iaitu 10% dari 5 billion yang diberikan kepada Valuecap untuk memulakan tabung pembuangan kerja. Ini akan memberi faedah terus kepada kaum pekerja berbanding dengan Valuecap yang hanya dapat membela mereka yang bermain saham di pasaran.

Kami risau Valuecap akan digunakan untuk membela kroni-kroni tertentu dari mengalami kerugian dan dalam jangkamasa panjang akan membebankan kerajaan sendiri. Selain daripada itu wang KWSP adalah wang pekerja. Wang pekerja harus diberikan balik kepada pekerja berbanding buat masa ini digunakan untuk diberikan kepada mereka yang kecundang dalam pasaran saham.




KeDua – WUJUDKAN PELUANG PEKERJAAN

Kedua, Wujudkan peluang pekerjaan. Kerajaan menyarankan 7 billion untuk pelbagai Projek Infrakstruktur. PSM menyarankan ia harus dibayar terus kepada JKR, Lembaga Perumahan Negeri, Majlis Tempatan dan Agensi kerajaan yang lain dengan syarat dana ini digunakan untuk memberi pekerjaan kepada rakyat Malaysia yang mengganggur dan bukan Syarikat-syarikat kroni parti pemerintah. Untuk memastikan ini, segala projek dan pemberian projek harus telus dan trasnparen. Pemberian projek secara kroni yang biasa dilakukan akan menyebabkan projek itu disub-kontrak kepada beberapa pihak dan akan mengunakan buruh murah dan tidak mahir. Ini akan menjejaskan kualiti kerja, mengujudkan kebocoran wang dan tidak mengujudkan peluang pekerjaan khususnya untuk pekerja tempatan.

Ketiga: LAKSANAKAN DAN IMPLEMENTASI AKTA GAJI MINIMA

Laksanakan dan implementasi Akta Gaji Minima untuk menghentikan polisi gaji murah yang mengalakkan pengambilan pekerja asing yang murah.

Hanya dengan adanya satu Akta Gaji Minima sahaja, isu pengambilan buruh asing secara melambak, murah dan kurang mahir dapat diatasi. Buat masa ini wujud banyak persoalan bahawa pekerja tempatan didiskriminasi kerana kerja diberi kepada pekerja Migran. Pada masa yang sama wujud juga pelbagai dakwaan pemangsaaan keatas Pekerja Migran. Isu ini hanya boleh diatasi jika ada satu akta gaji minima. Melalui Akta sebegini, ia akan menghindar majikan dan pelabur dari menggunakan buruh murah dan dapat mengurangkan pemangsaan. Pada masa yang sama, ia dapat memastikan pekerja tempatan mendapat kerja dan tidak dimangsakan.

Selain daripada itu, semua kuota untuk pengambilan pekerja asing yang dipegang oleh Syarikah Besar pada masa hadapan harus dibekukan serta-merta manakala pekerja asing yang kehilangan pekerjaan harus diberi bantuan kemanusian dan dihantar pulang dengan cara yang penuh kemanusiaan.

Keempat: BERI TANAH KEPADA RAKYAT UNTUK PERTANIAN

Kami menyarankan Kerajaan memberi atau sewa tanah di tanah terbiar untuk Pertanian di kawasan luar bandar dan kawasan bandar dan berikan kepada pekerja yang kehilangan kerja atau mereka yang tidak dapat pekerjaan. Terdapat banyak tanah di kawasan luar bandar dan bandar yang terbiar dan jika diberikan kepada rakyat boleh membolehkan mereka bercucuk tanah untuk menampung kos kehidupan mereka. Kerajaan juga boleh membantu dari segi memperkenalkan pertanian cara moden seperti yang telah dilakukan di negeri Cuba semasa krisis ekonomi negara tersebut pada awal 1990an.





Kelima: CATUAN MAKANAN

Catuan makanan kepada mereka yang langsung tiada pendapatan dimana kerajaan mesti membekalkan bakul makanan yang mengandungi makanan asas

Ide catuan makanan pernah dilakukan diberapa negara dan konsep bakul makanan juga sebelum ini pernah dilaksanakan oleh kementerian Kesihatan. Kami menyarankan Pejabat tanah, Pejabat Majlis Tempatan dan Balai Pengulu digunakan sebagai pusat mengedarkan bakul makanan kepada golongan yang amat memerlukan dan kepada golongan yang paling teruk diancam krisis ekonomi.

Keenam: MELONGGORKAN SYARAT PINJAMAM BANK

Semasa krisis kewangan, kerajaan harus mengadakan perbincangan dengan bank-bank untuk menangguhkan atau mengurangkan pinjaman perumahan dan pinjaman untuk peniaga kecil dan lain-lain pinjaman untuk mengurangkan beban rakyat. Kerajaan harus agresif melalui Bank Negara memastikan bank-bank dapat menangguhkan sebarang tindakan memufliskan rakyat berpendapatan rendah. Selain daripada itu, pinjaman untuk peniaga kecil juga harus dilonggorkan semasa krisis kewangan ini.

Ketujuh: KEKALKAN CUKAI KOPRAT.

Kekalkan cukai koprat di tahap 27% seperti sekarang. Pengurangkan cukai akan menyebabkan beban itu dialihkan kepada penguna atau rakyat biasa. Kita juga harus faham Malaysia mempunyai jurang antara golongan kaya dan miskin yang tinggi iaitu yang kedua terbesar di Asia. Oleh yang demikian, satu sistem yang adil akan memastikan pengedaran kekayaan yang lebih baik dan adil.

Kesimpulan

Pada kesiampulan, kita berpendapat Krisis Ekonomi yang dialami Negara harus dilihat sebagai satu darurat dan ia memerlukan langkah-langkah darurat untuk mengatasinya. Malaysia sebagai sebuah Negara yang kaya harus memainkan peranan utama untuk memastikan rakyat khususnya mereka yang berpendapatan rendah dibela dan diselamatkan. Untuk memastikan ini berlaku, Kerajaan harus tegas dan tidak terikut-ikut dengan kehendak kaum koperat dan kapitalis semata-mata. Kerajaan harus bertindak memastikan rakyat majoriti semua kaum dan agama dibela.



Dr. Nasir Hashim M.Saraswathy
Pengerusi Nasional Timbalan Pengerusi Nasional
Parti Sosialis Malaysia Parti Sosialis Malaysia

24 Februari Sidang Akhbar Krisis Ekonomi di Semenyih



Pagi ini saya telah mengadakan satu sidang akhbar di Pejabat Zon saya di Pekan Semenyih untuk mengutarakan tiga isu utama iaitu membincangkan perkembangan usul saya di MPKJ, Seminar Pekerja pada 1hb. Mac dan masalah yang dihadapi oleh rakyat Semenyih kesan daripada krisis ekonomi.

Usul Penangguhan tentang Krisis Ekonomi telah saya bentangkan dalam Mesyuarat Penuh Ahli Majlis MPKJ pada 22hb. Januari 2009. Ini mungkin kali pertama usul penangguhan sedemikian dibuat di peringkat Majlis Tempatan. Usul saya telah disokong oleh Chandra Mohan dan Tuan Haji Mohd Shafie Ngah. YDP MPKJ kemudian bersetuju untuk membentuk satu Task Force untuk membincangkan usul dan cadangan saya.

Saya juga telah menghantar surat peringatan kepada YDP Dato Hassan Nawami pada 20hb. Februari memberi peringatan untuk pembentukan Task Force di peringkat kerajaan Tempatan. Selain itu kepimpinan pakatan rakyat juga berjanji denagan saya akan membawa isu ini kepada perhatian YDP.

Empat perkara yang disarankan oleh saya adalah

1. Lesen-lesen perniagaan sementera dikeluarkan dan syarat dilonggarkan
untuk memberikan lesen sementara(3-6 bulan) kepada mereka-mereka yang telah dibuang kerja.
2. Kepada masyarakat berpendapatan rendah dan miskin, dan jika mereka tidak mampu membayar cukai pintu, denda ditangguhkan atau dibatalkan.
3. Majlis memberi penelitian dan syarat khas untuk projek masa depan supaya kontrakter yang diambil untuk membuat kerja memberi keutamaan kepada pekerja tempatan.
4. Majlis perlu memastikan tidak ada pembaziran dalam program-program membazir wang dan perlu berhati-hati mengunakan wang.

Selain itu, saya juga mengungkitkan kes-kes melambak di Pusat Khidmat PSM di mana terdapat peningkatan dalam kes-kes rumah dilelong dan kes-kes kebajikan.

Kita juga mengumumkan Seminar Pekerja di Dewan Orang Ramai Semenyih, Masa : 10.00 pg - 4.00 ptg. Datanglah ke seminar yang sangat penting ini.

22 Februari – Polis gagal batal Forum krisis Ekonomi di Bangi Lama




Gertakan dan ugutan polis untuk membatalkan forum kami tidak berjaya apabila kami mengambil keputusan untuk meneruskan program ini seperti yang dirancang. Pada awalnya lebih kurang 10 anggota polis berada di luar Dewan tetapi mereka tidak mengusir progrm yang dijalankan di dalam Dewan. Tindakan Polis yang sejak dua hari sebelum program ini yang meminta kami membatalkan program ini dirasakan satu tindakan mencabul hak rakyat berhimpun secara aman.

Lebih kurang 50 orang dari sekitar Bangi mengambil bahagian dalam Forum “Krisis ekonomi dan hak pekerja” Forum ini adalah satu inisiatif untuk mengadakan satu program di malam pertandingan Piala P.Veerasenan untuk memberikan orang ramai lebih perspektif tentang P.Veerasenan dan perjuangan mereka di Tanah Melayu.

Parames S memulakan hujah dan memberi satu gambaran tentang krisis ekonomi yang melanda di seluruh dunia. Panel dari Singapura pula memberikan pandangan mereka tentang keadaan pekerja pada tahun 40-an dan juga krisis di Singapura dan kesusahan mereka memperjuangkan hak dengan undang-undang yang tidak membenarkan rakyat berhimpun di Singapura.

Saya pula berhujah mengenai beberapa cadangan PSM untuk menangani isu ini.

22 Februari 7 malam– Memasak Ponggal di Rinching



Perayaan Ponggal sudah menjadi satu perayaan mainstream sehingga ramai pihak yang menganjurkannya. Ponggal di Ladang Rinching anjuran Pakatan Rakyat amat meriah sekali tetapi diganggu oleh hujan lebat yang telah mengakibatkan banjir di beberapa kawasan berdekatan.

Dr. Che Rosli – Ahli Parlimen Hulu Langat dan saya diiringi oleh pasukan gendang India. Kami kemudian menyertai satu pertandingan memasak Ponggal. Ponggal kami dapat nombor dua tetapi semua kerja dan inisiatif memasak dibuat oleh Sdr. M.Ganesan (Lenin). Saya hanya tumpang dapat nama sahaja. Asap terus memasuki mata saya. Saya dan kawan-kawan dari PSM terpaksa balik awal kerana ada program di Dewan Bangi Lama. Semasa kami pulang, kelihatan Sdr. Xavier, ahli Exco masuk.

22 Februari 2009 – Piala Veerasenan dan hujan Ribut







Hujan pernah turun sebelum ini dalam piala P.Veerasenan tetapi kali ini ia adalah antara yang terlebat sehingga pertandingan akhir Piala bersejarah ini terpaksa ditentukan melalui sepakan penanti dengan diiringi hujan ributdan petir.

Pada tahun ini ia diadakan di Padang Ladang Broom pertandingan ini dimenangi oleh Bangi Boys Z.
Pertandingan Bola Sepak Piala P. Veerasenan diadakan bagi memperingati jasa seorang pejuang pekerja, P. Veerasenan, yang ditembak mati oleh penjajah British pada tahun 1949 di sekitar kawasan Beranang, Selangor.
Pertandingan tahun ini yang merupakan insiatif bersama Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) dengan Jawatankuasa Penduduk Bangi. Sebanyak 18 pasukan menyertai pertandingan tahun ini.
Untuk cerita yang lebih menyeluruh, layarilah http://jerit.org

22 Februari 09, 3 petang Bolasepak di Ladang Ampar Tenang



Ladang Ampar Tenang, di Dengkil adalah ladang pertama yang JKMI membuat projek Operasi Khidmat Masyarakat (OPKIM) pada tahun 1989. Ia juga adalah ladang pertama yang pernah saya tinggal bersama masyarakat ladang.

Saya telah mendapat panggilan demi panggilan dari rakan seperjuangan kami di Kampung Tanjung dan oleh belia Ampar Tenang bernama Sivam untuk datang dan hadir walaupun sekejab ke pertandingan bolasepak anjuran mereka. Pertandingan tersebut disertai oleh 12 pasukan. Saya dan kawan-kawan dari JERIT telah mendapat layanan istimewa semasa kami berada di sana untuk jangkamasa yang agak singkat. Penganjur telah memberi penghormatan untuk saya untuk berjabat tangan dengan para pemain bolasepak yang sedang beraksi. Pertandingan ini adalah anjuran Parti keadilan.

22 Februari 9.30pagi Merasmi Ponggal di Sri Serdang





Saya telah dijemput oleh Jawatankuasa Tadika Sri Serdang untuk merasmikan perayaan Ponggal di tadika tersebut yang dihadiri oleh kanak-kanak tadika, ibubapa mereka dan para guru tadika.

Dalam ucapan perasmian saya, saya telah memuji pengurusan tadika tersebut dan inisiatif yang diambil oleh Saudara Gobal, Pengetua tadika terebut. Sdr. Gopal adalah seorang berfahaman “Dravidian” dan amat komitet sehingga Berjaya memperolehi tanah kerajaan untuk membina tadika ini yang memberi khidmat kepada kanak-kanak dari keluarga yang kurang berpendapatan. Beliau bersama keluarganya amat komitet dan konsisten dalam mengendalikan tadika ini yang sudah lebih 20 tahun.

Saya memuji guru tadika kerana mereka mengajar kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah dan mereka sendiri mendapat gaji yang tidak seberapa.

Selain dari pertandingan memasak nasi manis Ponggal, juga diadakan pertandingan melukis untuk kanak-kanak 5 dan 6 tahun dan juga aktiviti untuk ibubapa mereka.

21 Februari 09 – Apa sudah jadi kepada mereka yang pernah tinggal di Putrajaya?



Sebelas tahun yang lalu, pekerja ladang dari empat ladang – Ladang Prang Besar, Ladang Sedgeley, Ladang Galloway dan Ladang Madingley telah dipindahkan ke Rumah Pangsa di Taman Permata di Dengkil demi untuk membolehkan projek raksasa Putrajaya dibina. Namun demikian sejak mereka dipindah, masyarakat ini dan perumahan mereka terabai. Mereka menghadapi pelbagai masalah dari tiadanya CF, sistem pembentungan yang teruk, masalah banjir dan isu keselamatan lain. Selain daripada itu, ramai daripada mereka adalah miskin dan berpendapatan rendah.

Ada di antara mereka sudah membayar penuh bayaran untuk rumah tetapi geran masih belum diperolehi dari PNSB manakala ramai pula yang belum membayar atau belum habis membayar hutang mereka di bank-bank.

Kewujudan banyak parti politik juga mengeruhkan suasana ini. Pada hari ini, saya telah ke rumah pangsa ini bersama dengan aktivis dari Pusat Pembangunan Masyarakat (CDC) iaitu Kohila dan M.Nalini. Kami dijemput oleh sebahagian penduduk di sana.

Di dalam mesyuarat, kami setuju melibatkan diri hanya jika penduduk di sana sedia membuat beberapa kerja dan melibatkan diri secara aktif. Kami terus mengingatkan mereka bahawa kuasa perubahan ada di tangan mereka. Isu nasib masyarakat ini jika terbongkar akan memperlihatkan satu lagi penyelewengan oleh Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri terdahulu.

20 Februari 09 – Penswastaan Banting Sepanduk dibatalkan. Ahli Majlis bantah Monopoli.



Hari ini, kami Ahli Majlis Kajang telah mengadakan satu sidang akhbar untuk menyatakan bahawa MPKJ sudah menamatkan perjanjian dengan Aev1 Biz Sdn. Bhd. yang telah diberikan kuasa monopoli menguruskan banting dan sepanduk dibawah satu perjanjian ganjil yang dibuat pada bulan Mei 2008 iaitu setelah Pakatan Rakyat memerintah Selangor dan sebelum Ahli Majlis baru dilantik. Perjanjian tersebut mempunyai beberapa masalah tetapi isu yang lebih pokok ialah bagaimana pengurusan banting dan sepanduk yang selama ini dibuat oleh MPKJ itu boleh diberikan kepada satu syarikat swasta tanpa tender terbuka.

Ahli-ahli Majlis berpendapat bahawa kita tidak akan membenarkan mana-mana Syarikat diberi kuasa monopoli dan telah membuat keputusan semasa Mesyauarat penuh Ahli Majlis pada 26 November 2008 lagi. Namun demikian hanya pada 19 Februari 2009, Syarikat ini telah dimaklumkan dan diberi notis satu bulan untuk menutup. Dengan tindakan ini, urusan banting dan sepanduk akan balik kepada pengawasan MPKJ sehingga satu keputusan baru diambil. Dengan tindakan mengambil alih pengurusan ini, ramai orang akan merasa lega kerana bayaran yang akan dibayar oleh mereka adalah lebih munasabah.

Jika pada masa depan, jika pihak Majlis bercadang menswastakan kepada pihak ketiga pada masa depan, ia harus dijalankan secara tender terbuka.

19 Februari 09 Longkang Paling Jaya Runtuh




Longkang besar di Taman Paling Jaya, Semenyih telah runtuh. Setelah mendapat aduan dari penjaja yang berniaga di jalan masuk ke Taman Paling Jaya, PSM telah menghantar satu pasukan untuk menilai masalah di sana. Saya kemudian melawat sekali lagi pada 19hb. Februari 2009. Dari pemerhatian saya, Longkang besar itu runtuh dan kemungkinan besar disebabkan oleh gerakan tanah. Saya juga dapat memerhatikan longkang di kawasan tersebut agak tersumbat kerana ketulan batu di longkang tersebut. Isu ini saya sudahpun utarakan kepada pihak Majlis untuk tindakan selanjutnya.

17 Februari 2009 - Hakisan tanah Teruk di Bukit Mewah




Saya telah menerima satu Fax dari Penduduk Bukit Mewah kajang di mana terdapat aduan tentang jalan retak dan hakisan tanah yang teruk. Pengadu juga memberitahu bahawa aduan mereka kepada Pihak MPKJ tidak mendapat perhatian serius di mana MPKJ dan Lebuhraya Silk asyik menuduh satu sama lain tanpa memperbaiki jalan tersebut. Saya kemudian telah melawat tempat tersebut dan memang keadaan hakisan adalah teruk. Saya kemudian telah mengutarakan isu ini kepada Bahagian Infrastruktur MPKJ untuk mendapat pandangan mereka dan cuba mendapat satu penyelesaian kepada isu ini yang sudah berlarutan.

Tuesday, February 24, 2009

Seminar Pekerja : Krisis Ekonomi dan Hak Pekerja


Krisis ekonomi yang melanda dunia memberi impak yang mendalam kepada para pekerja. Ramai orang kehilangan kerja akibat kilang ditutup atau disebabkan penguranan pekerja. Oleh itu, PSM Semenyih telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan satu Seminar Pekerja : Krisis Ekonomi dan Hak pekerja. Untuk maklumat lanjut sila rujuk risalah di sebelah. Sila klik pada imej.

16 Februari 2009 Isu-isu yang diutarakan dalam Mesyuarat Infrasturtur MPKJ

Berikut adalah beberapa isu yang diutarakan oleh Sdr. Arul dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Infrastruktur & lalulintas pada 16hb. Februari 2009 . Sila Klik pada Imej.



Friday, February 20, 2009

11 Februari - Ponggal Kajang



Perayaan Ponggal kini sudah menjadi pesta yang dirayakan oleh pelbagai kumpulan. Tren ini berbeza berbanding dengan beberapa tahun yang lalu dimana Perayaan Ponggal biasa dirayakan di peringkat kuil atau golongan fahaman dravidian sahaja. Perayaan Ponggol DUN Kajang diadakan dengan meriah dengan pelbagai pertunjukkan kesenian dan pertandingan memasak nasi manis. Ahli PSM Semenyih, Sdr. Thamildasan juga diberi penghormatan memberikan penjelasan mengenai perayaan ini. Acara ini juga dihadiri oleh Pemimpin-pemimpin dan Ahli Majlis MPKJ. Cikgu Lee dan Dato Hasan Nawani YDP MPKj menjadi tetamu kehormat.Program ini diadakan di Dewan Orang ramai Kajang dan juga memperlihatkan penglibatan ketua-ketua kuil di kawasan tersebut.

Wednesday, February 11, 2009

9 Februari 2009 – Xavier di Tahun baru Semenyih



ADUN Angkat Semenyih , Dr. Xavier Jayakumar menjadi tetamu khas program Tahun baru Semenyih anjuran Pakatan Rakyat. Program yang dimulakan dengan tarian Singa cukup mendapat sambutan orang ramai. Ang Pow diberikan dan mercun dan bungaapi diletupkan. Ramai penduduk Kampung Baru memberi salam kepada saya dan memberi syor bahawa dalam pilihanraya depan, kita pasti menang. Ahli-ahli PSM Semenyih turut bersama dalam program ini

9 Februari 2009 – Tugas GMI belum selesai




Hari ini saya menghadiri evaluasi Gerakan Mansuhkan Isa (GMI) di Shah Alam. Sebagai Setiausaha Pertama GMI dan salah seorang Pengasas GMI, saya merasakan satu kewajiban untuk saya menghadiri mesyauarat tahunan GMI yang menilai prestasi, kelemahan dan pencapaian GMI untuk setahun . Saya juga amat terharu dengan kerja yang dilakukan oleh GMI dalam berjuang menentang GMI sepanjang beberapa tahun ini. Keluarga tahanan ISA seperti Kak Norlia, Aktivis seperti Shairi Sungip , Nalini, Syed Ibrahim, Latheefa, Nashita dan lain-lain merupakan mereka yang cukup komited dalam menuntut ISA dimansuhkan. Tugas GMi setakat ini belum selesai walaupun setelah kemenangan besar pakatan Rakyat. Pemerintah BN akan terus menggunakan ISA . kerana ia merupakan senjata paling berbisa mereka. Bagi kita, hanya kuasa rakyat yang dapat menghancurkan BN dan senjatanya ISA.

8 Februari 2009 – Gigih buat kempen semasa Thaipusam






PSM Semenyih, Kajang dan JERIT mengambil kesempatan semasa hari Thaipusan untuk membuat kempen tentang krisis ekonomi. Mereka mengedarkan risalah dan mengambil statistic mereka yang kehilangan kerja. Jeritan aktivis kita mengiringi jeritan “Vel Vel “. Ramai rakyat yang semakin cemas tentang keadaan ekonomi menyambut baik kempen kita.
Di Semenyih, Kempen dijalankan berhampiran dengan Kuil Subramaniam, Semenyih. Selain dari mengedar risalah, ahli-ahli PSM juga menjual akhbar Sosialis dan lencana anti-ISA.