ShareThis

Tuesday, May 1, 2012

GELOMBANG MERAH DI KL: PEKERJA MENUNTUT PERUBAHAN!

Tuesday, 01 May 2012

Para pekerja berarak dari Pasar Seni ke Menara Maybank
1 Mei, KL – Pada hari ini lebih kurang 3000 warga pekerja berkumpul untuk meraikan Mei 1 – Hari Pekerja Antarabangsa. Selepas 3 hari Perhimpunan BERSIH 3.0 diadakan, Perhimpunan Mei 1 berjalan lancar dan teratur – satu bukti perhimpunan boleh diadakan secara aman jika pihak polis memberi kerjasama dan bertindak neutral.

Perhimpunan Mei 1 pada kali ini diadakan dalam suasana meriah. Para pekerja pada mulanya berkumpul di Pasar Seni kemudiannya berjalan menuju ke Menara Maybank. Kebanyakan peserta memakai baju merah, turut membawa belon merah, banner tuntutan pekerja dan melaungkan slogan hak pekerja.







Lebih memeriahkan perhimpunan pada tahun ini adalah penyertaan kesatuan sekerja terutamanya NUBE (Kesatuan Pekerja-Pekerja Bank) dan beberapa kesatuan lain. Malah, President MTUC turut hadir bersama. Perhimpunan Mei 1 ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Mei 1 yang dianggotai oleh kumpulan seperti JERIT, SUARAM, Sahabat Wanita, Women’s Aid Organisation, DEMA, SABM, dan parti politik seperti PSM dan PRM. Ini adalah satu perkembangan yang baik yang dicapai , hasil daripada inisiatif JERIT yang mengkoordinasi Jaringan Pekerja Malaysia yang membawa bersama NGO dan Kesatuan Sekerja untuk memperjuangkan hak kaum pekerja. Penyatuan kesatuan sekerja bersama kumpulan masyarakat dan NGO sudah tentu akan mengukuhkan perjuangan kelas pekerja di negara ini.


Di dataran Menara Maybank, para pekerja yang berkumpul sebulat suara menolak gaji minima RM900 yang diumumkan oleh Perdana Menteri Najib. ‘Kami tidak mahu sedekah – Kami mahu Gaji Saksama’ antara kata-kata para pekerja yang hadir. Mereka cukup kecewa kerajaan tunduk kepada para majikan dan Bank Dunia dan tidak mendengar keluhan dan rintihan hidup pekerja di negara ini.

Satu lagi isu yang menjadi tumpuan adalah pemangsaan kesatuan sekerja. Pemimpin dan ahli kesatuan sekerja terus menjadi mangsa majikan yang melihat mereka sebagai satu ancaman. Tindakan majikan seperti Guppy Plastic dan Maybank memecat pemimpin kesatuan apabila mereka menuntut dan memperjuangkan hak pekerja. Wakil pemimpin yang dimangsakan oleh majikan mereka, Sdri. Koyilvani (Guppy Plastic) dan Sdr. Solomon (NUBE) mengecam tindakan majikan yang tidak menghormati semangat keharmonian. Mereka juga turut menegur Menteri Sumber Manusia yang sering bersekongkol dengan majikan dalam merampas hak pekerja.


Satu drama mengenai sejarah Hari Buruh dipersembahkan hasil gandingan NUBE dan JERIT. Drama ini menceritakan kesignifikanan Mei 1 – perjuangan pekerja lebih kurang 146 tahun dahulu menuntut 8 jam kerja dan 1 hari cuti. Hasil kejayaan perjuangan ini 1 Mei diisytiharkan cuti umum.

Perhimpunan Mei 1 turut dimeriahkan oleh kumpulan Bangra (NUBE), kumpulan muzik OCCUPY DATARAN dan Drummers Circle (PJ) yang pada awalnya mengiring perarakan dari Pasar Seni ke Menara Maybank dan kemudiannya membuat satu persembahan yang bersemangat.


Perhimpunan Mei 1 berakhir dengan penuh semangat. Panas matahari yang terik tidak menghalang para pekerja kerana mereka sentiasa berhadapan dengan keadaan kerja yang sukar. Wakil para pekerja membacakan Deklarasi Mei 1 yang mengutarakan 14 tuntutan pekerja dan rakyat Malaysia. Deklarasi ini disokong oleh 58 buah organisasi.


Selepas Perhimpunan Mei 1 berakhir, NUBE meneruskan piket membantah tindakan Maybank yang memecat dua orang pemimpin kesatuan. Piket yang turut disertai oleh pekerja lain berjalan dengan cukup bersemangat dengan ucapan dan lagu-lagu.

Semoga semangat perjuangan dan penyatuan kelas pekerja akan bertambah kukuh dalam melawan para majikan dan kerajaan kapitalis yang terus menindas warga pekerja demi keuntungan.


Sekretariat JERIT

1 Mei 2012



No comments: