Bebaskan
Somyot dan SEMUA tahanan politik di Thailand
Protes
dan penyerahan Memorandum kepada Kedutaan Negara Thai di Malaysia
26 April
2012, Kuala Lumpur
Hari ini, satu rombongan yang terdiri daripada
anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan wakil kumpulan NGO telah mengadakan
satu protes di hadapan Kedutaan Negara Thai di Kuala Lumpur, demi menyatakan
sokongan mereka kepada Somyot Pruksakasemsuk, seorang aktivis kesatuan
sekerja Thai yang telah ditahan atas tuduhan lèse-majesté selama hampir satu tahun. Mereka yang hadir
juga menuntut supaya semua tahanan politik di Negara Thai dibebaskan untuk
memperdalamkan proses demokrasi di negara tersebut.
Satu memorandum telah diserahkan kepada wakil
Kedutaan Negara Thai. Songsak Saichewa, Timbalan Ketua Kedutaan (Minister and Deputy Head of Mission),
telah keluar menerima memorandum daripada pihak PSM dan kumpulan masyarakat
Malaysia. Songsak menyatakan bahawa beliau akan menyampaikan mesej masyarakat
Malaysia kepada pihak Kerajaan Thailand. PSM telah menegaskan bahawa undang-undang
lèse-majesté yang sering
digunakan ke atas aktivis social merupakan batu penghalang utama kepada
demokrasi di Thailand.
Antara yang hadir pada hari ini adalah S. Arutchelvan
(Setiausaha Agung PSM), Lee Siew Hwa (wakil Malaysia Support Group for Democracy in
Thailand), Irene Xavier (wakil Persatuan Sahabat Wanita),
wakil Suaram, PRM dan sebagainya.
Tuntutan yang dibawa dalam memorandum tersebut
adalah:
-
Gugurkan semua tuduhan ke atas Somyot Pruksakasemsuk
dan bebaskan beliau tanpa syarat;
-
Gugurkan semua tuduhan yang berdasarkan
undang-undang lèse-majesté ke atas mana-mana aktivis politik, wartawan dan
individu;
-
Berikan pengampunan kepada semua yang disabit
kesalahan dan dihukum penjara di bawah tuduhan lèse-majesté;
-
Mansuhkan Fasal 112 (lèse-majesté) dalam
Kanun Keseksaan Negara Thai, demi mengembalikan kebebasan bersuara di Negara
Thai.
Somyot
merupakan seorang aktivis pekerja dan pro-demokrasi yang lama berkecimpung
dalam gerakan pekerja di Thailand. Beliau telah menyumbang dalam pembinaan
gerakan kesatuan sekerja demokratik di Thailand. Beliau telah menjadi pengarang
untuk sebuah majalah yang membantah rampasan kuasa tentera sejak tahun 2007.
Somyot
telah ditahan pada 30 April 2011 oleh pihak keselamatan negara Thai dengan
tuduhan bahawa terdapat dua artikel dalam majalah yang dikarangnya telah dianggap
mempunyai unsur-unsur menghina Raja Thai. Permohonan untuk ikat jamin di
mahkamah telah dinafikan banyak kali. Perbicaraan sedang berlanhgsung di
Bangkok sekarang. Somyot berkemungkinan akan dijatuhkan hukuman selama 30
tahun.
Somyot
hanya salah seorang daripada ramai mangsa yang ditindas di bawah undang-undang lèse-majesté
yang zalim. Fasal berkaitan lèse-majesté
telah terkandung dalam undang-undang
jenayah Negara Thai sejak tahun 1908. Undang-undang zalim ini telah digunakan
secara sistematik ke atas aktivis politik dan pembangkang, khususnya sejak
tahun 2006, di mana ramai aktivis pro-demokrasi telah didakwa dan dijatuhkan
hukuman penjara di bawah undang-undang ini. Salah seorang mangsa yang
dijatuhkan hukuman penjara adalah Surachai
Danwattananusorn, seorang aktivis pro-demokrasi yang berusia 71 tahun, telah dihukum
penjara selama 15 tahun pada bulan Februari yang lalu, atas sebab satu ucapan
yang disampaikan olehnya pada tahun 2010.
Berjalan menuju ke Kedutaan Thailand |
Chon Kai - Biro Internationale PSM menerangkan isu |
Hantar memorandum kepada Songsak Saichewa, Timbalan Ketua Kedutaan |
Songsak Saichewa berkata Thailand sedang berubah lebih pro demokrasi? |
Lee Siew Hwa seorang aktivis yang gigh berjuang pembebasan Somyot |
Di hadapan Pintu Kedutaan Thailand |
Bebaskan Somyot ! |
No comments:
Post a Comment