ShareThis

Friday, March 9, 2012

Forum Kiri Anak Muda cabar LEBAI’ism dan YB’ism dikalangan Mahasiswa




Forum Kiri Anak Muda yang julung diadakan pada 9 Mac, 2012 ini dihadiri lebih 100 anak muda & mahasiwa/i yang di Selangor Chinese Assembly Hall.

Dengan bertemakan Anak Muda Kuasa Revolusioner!?, lima orang panel telah diundang untuk berhujah iaitu Khalid Ismath, Aktivis Mahasiswa, Teh Yee Keong, Bekas Aktivis Pelajar DEMA, Santhana, Aktivis PSM dan Perintis Pemuda Sosialis, Arip dari Pustaka Semesta dan Hishamudin Rais, Bekas Aktivis Pelajar dan Pencetus Perjuangan Pelajar tahun 1960an. Forum ini dipengerusikan oleh Saudari Soh Sook Hwa, bekas aktivis pelajar.

Kebangkitan rakyat dunia dan tanahair memperlihatkan anak muda sedang menjadi salah satu kuasa penting dalam perjuangan rakyat. Namun terdapat banyak kekangan dikalangan anak-anak muda untuk mewujudkan satu kesinambungan dalam kebangkitan mereka. Forum ini cuba ungkitkan dan membincangkan isu Kebangkitan dan Hala Tuju anak muda hari ini.

Saudara Khalid memberikan satu gambaran umum tentang kebangkitan anak muda pada masa kini. Dia juga menegaskan bahawa keselesaan yang kita ada, perlu digadaikan dan berjuang tanpa mengira kaum dan bangsa. Panelist kedua, Saudara Teh mengkritik mahasiswa/i pada masa kini yang lebih suka berlagak seperti ahli politik atau Yb dan bukan menunjukan satu perjuangan yang telus dan down to earth. Ini menyebabkan kuasa mahasiswa/i tidak dapat digabungkan. Teh juga percaya pengalaman perjuangan itu penting untuk menjadi anak muda yang lebih praktikal.

Panelist ketiga Saudari Santhana, membuat satu analisa mengenai keadaan sosio-ekonomi anak muda yang menjadi cabaran kepada mereka. Beliau juga mengatakan anak muda masa kini turut menyumbang kepada beberapa isu seperti Mangsa PTPTN, Kebangkitan mahasiswa, pendidikan percuma, skandal kejururawatan dan sebagainya. Saudara Arip pula menyatakan bahawa perjuangan kiri merupakan satu skop yang besar dan oleh itu revolusi kiri harus berlaku dalam diri kita sendiri sebelum kita dapat membawa kepada anak muda dan rakyat. Katanya, perjuangan harus bermula dalam diri kita dengan melihat dan bertindak ikut keadaan semasa. Isu- isu seperti sexist, homosexual dan lain-lain lagi harus ada analisis kiri dan progresif untuk pemahaman yang lebih tepat.

Saudara Hishamudin Rais pula mengatakan anak muda harus memahami erti revolusi dengan betul, kalau tidak ia akan menjadi masalah. Dia memberikan contoh bahawa, jika anak muda gaduh dengan polis itu bukannya radikal, katanya radikal itu adalah pemikiran dan aksi perjuangan yang progresif dan kiri dan isu-isu harus didebat dan dibincang dengan intelektual dan mencari jalan penyelesaian yang Radikal. Katanya lagi, anak muda perlu ada sikap ini dan anak muda terutamanya mahasiswa/i harus hindari sikap LEBAI’ism (lebai di kampus) dan YB’ism (nak jadi YB), katanya menolong rakyat tidak semestinya menjadi wakil rakyat. Hisham juga percaya pilihanraya tidak akan membawa perubahan untuk tukar kerajaan di dunia ketiga seperti Malaysia. Beliau dengan tegas berkata perubahan struktur itulah yang amat penting.

Sememangnya forum kiri ini telah menjadi satu forum untuk membincang dan memikirkan keadaan dan hala tuju Anak Muda dan Pelajar masa kini. Kebangkitan anak muda harus di bangakan dan harus di kembangkan. Namun, mereka juga harus sedar bahawa pemikiran kiri dan progresif akan menjadikan perjuangan ini lebih mantap dan punyai kesinambungan supaya sesuatu perubahan struktur dan perubahan sistem dapat direalisasikan.

Team Forum Kiri Anak Muda

No comments: