ShareThis

Thursday, May 12, 2011

6-5-11 MB turun padang ke Kajang dan Semenyih




Adalah dimaklumkan bahawa pejabat YAB Dato' Menteri Besar Selangor dengan kerjasama Pejabat Tanah/Daerah Hulu Langat dan Majlis Perbandaran Kajang telah mengadakan program Khas Mesra Rakyat (PKMR) peringkat daerah Hulu Langat.

Program ini bertujuan merapatkan hubungan antara pemimpin dengan rakyat dan meninjau lebih dekat permasalahan rakyat di Daerah Hulu Langat.

Sehubungan itu, beberapa program yang dihadiri oleh YAB Dato' Menteri Besar dan EXCO Selangor telah diaturkan antaranya dialog dengan kakitangan kerajaan dan rakyat biasa.

Dibawah adalah petikan berita TV Selangor
Menteri Besar Turun Padang, Selami Dan Selesaikan Masalah Rakyat
Saturday, 07 May 2011 | Ruangan: Berita

KAJANG 7 Mei – Menteri Besar, YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam turun padang ke Daerah Hulu Langat bagi menyelami, mendengar dan menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi rakyat di daerah ini.

Pada sesi pagi, Menteri Besar menghadiri perhimpunan pagi bersama kakitangan awam di padang Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat yang dihadiri kira-kira 500 orang yang terdiri pegawai kanan kerajaan,ketua jabatan dan agensi kerajaan serta badan berkanun.

Pada perhimpunan selama sejam itu, Menteri Besar mengingatkan kakitangan awam supaya bekerja dengan jujur dan efektif kerana negeri Selangor telah melangkah jauh ke hadapan berbanding negeri-negeri lain.

Selepas itu, beliau mengadakan sesi dialog bersama pemimpin masyarakat di Dewan Bandaran Kajang, untuk mendengar masalah dan cadangan bagi meningkatkan sistem pentadbiran negeri.

Pelbagai masalah yang diajukan termasuk masalah sistem perparitan, keadaan jalan yang teruk dan kemudahan infrastruktur yang tidak diselia dengan baik.
Menteri Besar, Exco dan Ketua-ketua jabatan kemudian menyertai orang ramai menunaikan solat Jumaat di Masjid Raja Alang, Beranang. Selepas solat, Menteri Besar makan tengahari bersama jemaah di perkarangan masjid menerusi program Kenduri rakyat.
Beliau kemudian ke Dewan Orang Ramai Semenyih bagi menyampaikan sumbangan di bawah program Merakyatkan Ekonomi Rakyat (MES) diikuti sesi dialog dengan orang awam.

Lebih 2,000 hadir sesi dialog itu dan mereka diberi peluang mengajukan pertanyaan secara terus kepada Menteri Besar, Pegawai Daerah dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPK).

Menteri Besar mengarahkan pihak terlibat mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan setiap masalah dan aduan yang dikemukakan rakyat pada sesi dialog itu.
Menteri Besar berkata, beliau mengambil berat kekecewaan dan permasalahan yang dihadapi oleh rakyat yang berlaku kerana perancangan tidak betul oleh pentadbiran terdahulu.

“Kerajaan Negeri akan berusaha menyelesaikan masalah ini secara menyeluruh,” kata Menteri Besar.

Pada sesi petang, Menteri Besar melawat Kilang Sate Haji Samuri di Sungai Ramal Dalam dan dibawa melawat sekitar kilang dan diberi penerangan mengenai latar belakang sate Haji Samuri sehingga menjadi perusahaan besar.
Menteri Besar menyifatkan Haji Samuri sebagai contoh ahli perniagaan sejati yang bermula dari bawah dan kini mempunyai perusahaan besar serta menjadi majikan kepada 500 pekerja.

Program Khas Turun Padang diakhiri dengan Ceramah Perdana Pencapaian Kerajaan Pakatan Rakyat di Dewan Bandaran Kajang.

No comments: