ShareThis

Friday, September 3, 2010

31 ogas - Jangan Lupa pejuang-pejuang yang dilupai sejarah rasmi BN




Ramai yang berkata, Malaysia memperolehi kemerdekaan tanpa tumpahan darah dari British. ini adalah satu penipuan. Ribuan rakyat terkorbon untuk mendapat kemerdekaan. MERDEKA DENGAN DARAH. Sejarah sebenar ini sengaja ditutup. Dibawah adalah sedikit pandangan yang ada dalam internet untuk memberikan pandangan yang lain:

" Tarikh 31 Ogos yang disambut saban tahun itu merupakan perayaan berhubung dengan kemerdekaan Malaya dari tangan Inggeris sebagai sebuah Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957.

Perjuangan kemerdekaan bukan bermula dengan perjuangan UMNO menentang Malayan Union pada tahun 1946. Sebenarnya, perjuangan kemerdekaan telah bermula lama sebelum itu, sejak zaman para ulama, pembesar dan pahlawan Melayu yang menentang penjajahan.

Ketika Melaka diserang dan ditawan Portugis pada tahun 1511, muncul Bendahara Tepok yang tampil ke hadapan menentang serangan itu, walaupun tidak berjaya.

Pada abad ke-19 penjajah Inggeris mula bertapak di semenanjung. Penentangan berlaku di Perak, Pahang, Kelantan dan di negeri-negeri lain.

Di Perak, Dato’ Maharajalela memimpin penentangan rakyat terhadap Inggeris. Tentangan itu mencapai kemuncaknya dengan pembunuhan JWW Birch di Pasir Salak pada 2 November 1875. Dia ditetak oleh Seputum ketika sedang mandi sungai.

Akibatnya, Dato’ Maharajalela dihukum gantung (Dua tahun lalu Sultan dan Kerajaan Perak telah membawa pulang jasad dua orang pahlawan Melayu, Tengku Menteri Ngah Ibrahim Long Jaafar dan Laksamana Muhammad Amin Alang Duakap yang dituduh Inggeris terlibat dalam pembunuhan Birch, dari sebuah perkuburan di pulau Singapura untuk disemadikan di Perak dengan penuh penghormatan).

Di Pahang pula, Dato’ Bahaman telah memimpin gerakan penentangan rakyat terhadap Inggeris. Bersamanya, ialah Tuk Gajah dan Mat Kilau. Di Kelantan pula Tuk Janggut memimpin penentangan rakyat terhadap cubaan Inggeris mahu mengenakan cukai terhadap rakyat.

Kini Dato’ Bendahara, Dato’ Maharajalela, Datuk Bahaman dan Mat Kilau dan Tuk Janggut telah menjadi legenda. Sungguhpun buku-buku sekolah cuma ada menyebut sedikit mengenai mereka, tetapi perjuangan mereka itu dinafikan. Mereka dinafikan daripada menjadi pejuang kemerdekaan negara. Sejarah itu yang cuba dinafikan oleh mereka yang menjadi petualang bangsa.

Di Tanah Melayu, PKM telah muncul sejak sebelum perang lagi. Kesatuan Melayu Muda (KMM) pimpinan Ibrahim Haji Yaakob ditubuhkan pada tahun 1939. Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pimpinan Dr Burhanuddin al-Helmi dan Ishak Hj Muhammad (Pak Sako) ditubuhkan pada tahun 1945 sebaik sahaja Jepun menyerah kalah.

Sayap pemuda KMM, Angkatan Pemuda Insaf (API) dipimpin oleh Ahmad Boestamam, sementara sayap wanitanya, Angkatan Wanita Sedar (AWAS) digerakkan oleh Shamsiah Fakeh.

Ahmad Boestamam, Burhanuddin al-Helmi dan Pak Sako - tokoh nasionalis yang merupakan pejuang tulen kemerdekaan tanah air. Mereka bersama dengan beratus-ratus pejuang lain yang kurang ternama, telah dipenjarakan bertahun-tahun oleh penjajah Inggeris di bawah Undang-undang Darurat, 1948.

Di antara pejuang-pejuang kemerdekaan itu, ramai yang dibunuh, dihukum gantung atas pelbagai tuduhan dan dibuang negeri oleh penjajah Inggeris.

Maharaja Lela dan lima orang rakannya telah digantung di Matang, Taiping. Sultan Abdullah, menteri, laksamana dan syahbandar telah dibuang di kepulauan Seycheles, di Lautan Hindi. Setelah beberapa tahun baru Sultan Abdullah dibenar-kan pulang, itu pun ke Singapura. Lima belas tahun kemudian baru dibenarkan pulang ke Kuala Kangsar.

Namun bagi sesetengah pejuang lain, melarikan diri ke dalam hutan dan meneruskan perjuangan dari sana adalah cuma satu pilihan yang ada. Ada yang terus melarikan diri ke luar negara (seperti Musa Ahmad) untuk mengelakkan diri mereka daripada merengkok bertahun-tahun dalam penjara (seperti apa yang telah dialami oleh Dr Burhanuddin al-Helmi, Ustaz Abu Bakar Baqir, Cikgu Sabrun, Sutan Djenain dll).

Abdullah CD, Che’ Dat, Rashid Maidin, Shamsiah Fakeh dan ramai lagi meneruskan perjuangan mereka dengan menyertai gerakan komunis pimpinan Chin Peng (Ong Boon Hua). Chik Degong serta Musa Batu Kurau adalah di antara pejuang Melayu yang ikut sama.

Tun Dr Ismail, Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Dalam Negeri, dalam ucapan beliau ketika menerima Ijazah Kehormat Kedoktoran dari Universiti Sains Malaysia pada tahun 1973 telah menyebutkan bahawa pejuang-pejuang dari golongan kiri perlu diiktiraf.

Ahmad Boestamam, Dr Burhanuddin dan Pak Sako ada menerima ‘sedikit’ pengiktirafan. Namun mereka dan beratus-ratus lagi pemimpin yang tidak ternama terus hidup menderita dan terpinggir. Keluarga mereka juga menderita ketika pejuang-pejuang ini berada dalam tahanan di penjara atau ketika menjadi pelarian (di tanah air sendiri).

Ada pemimpin buruh seperti A. Ganapathy telah duhukum gantung hanya kerana dituduh melibatkan diri dalam perjuangan komunis. Abdullah CD, Che’ Dat, Rashid Maidin, Shamsiah Fakeh malah Chin Peng sendiri dicap sebagai pengganas komunis. Ia merupakan tohmahan yang mudah dibuat, sama seperti tuduhan Bush terhadap pejuang Islam sekarang yang dicap pengganas.

Namun, tidak sesiapa pun yang dapat menafikan bahawa mereka juga berjuang untuk kemerdekaan tanah air mereka sendiri. Memang mereka berjuang dengan mengangkat senjata, tetapi apa yang dapat dibuat apabila Inggeris mengerahkan anak-anak Melayu yang tidak tahu apa-apa itu memburu mereka di dalam hutan, juga dengan senjata?

Pasukan keselamatan seperti polis dan SC dari kalangan anak pribumi ditubuhkan buat menjaga kepentingan Inggeris di negara ini. Mereka menjaga segala pos kawalan, balai dan menjadi pengiring kepada semua tuan-tuan estet bangsa Inggeris.

Namun ketika dalam perjuangan, apabila menghadapi keadaan sebegini apa pilihan yang ada? Sedangkan para pejuang ini terus-terusan dicap sebagai pengganas! Mereka dicap pengganas hanya kerana memperjuangkan kemerdekaan tanah air sendiri!

Di India, Indonesia dan banyak negara lagi, orang-orang komunis bersama-sama dengan pejuang-pejuang lain tetap diingati akan sumbangan dan pengorbanan mereka dalam memperjuangkan kemerdekaan.

Oleh yang demikian, buku-buku sejarah dan teks sekolah hendaklah tidak diselewengkan fakta dan urutannya dengan membohongi sejarah yang telah terlakar. Para pejuang yang telah menitiskan darah dan air mata demi tanah air tercinta tidak sepatutnya diberikan label dan cop yang berlainan.

Merdeka bukan setakat perjuangan melaungkannya di Stadium Merdeka oleh Tunku Abdul Rahman Putra. Ia bukan setakat ucapan Tun Razak atau oleh para pemimpin UMNO yang sebelumnya tidak berani pun menyebutkan perkataan ‘merdeka’. Sebaliknya, ada ramai lagi yang lain, yang dengan sengaja cuba dilupakan.

No comments: