ShareThis
Thursday, June 10, 2010
23 Mei - Srikandi Suraini dikenang dibumi Semenyih
Pertandingan Bola Baling Wanita Piala Srikandi Suriani, julung kali diadakan di bumi Semenyih pada hari ini Sebenarnya, niat untuk mengadakan satu pertandingan untuk kaum wanita bagi mempopularkan Srikandi Suriani sudah lama wujud. Namun, pertandingan ini tidak dapat dijalankan akibat kesibukan dalam program masyarakat yang lain. Akhirnya perkara ini menjadi kenyataan pada minggu lalu. Pertandingan ini merupakan anjuran bersama Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT), PSM Semenyih dan Sdr. Arul selaku Ahli Majlis MPKj Zon 18.
Seramai lima pasukan yang berbilang kaum telah mengambil bahagian dalam pertandingan ini. Para pemain pula, yang terdiri daripada pelajar sekolah, ibu tunggal, suri rumah, dan para pekerja yang berusia melebihi 20 tahun turut mengambil bahagian dalam pertandingan ini. dri Irene Xavier, seorang aktivis wanita, selaku tetamu khas telah merasmikan pertandingan ini. Beliau telah berkongsi mengenai perjuangan Srikandi Suriani menentang pihak Jepun dan penjajah British. Beliau berharap para pemain yang berwajah comel seperti Suriani dapat berjuang dalam hidup menentang penindasan.
Pertandingan diadakan secara liga. Juara pertandingan Piala Srikandi Suriani adalah pasukan RV dari Taman Sri Tanjung, Semenyih. Namun, agak lucu, pertandingan yang sengit berlaku di antara pasukan Black Roses dan PSM Semenyih untuk menentukan tempat yang keempat dan kelima. Akhirnya, PSM Semenyih telah memenangi tempat keempat dengan balingan penalti “sudden death”.
Sdr. Arul ketika menyampaikan hadiah telah mengucapkan syabas kepada kaum wanita yang mengambil bahagian dalam pertandingan bola baling Piala Srikandi Suriani dan semangat kesukanan yang terdapat pada diri mereka.
Kaum wanita sering digambarkan sebagai lemah lembut, lemah dan suka menangis, tetapi jangan lupa “Tangan yang Menghayun Buaian itu Boleh Menggoncang Dunia” . Ini telah dibuktikan oleh Sri Kandi Suriani melalui jasa, sumbangan, pergorbanan dan perjuangannya. Piala Sri Kandi Suriani ini juga diadakan sebagai menghargai hak kaum wanita pada masa kini.
SURAINI (1924- )
Kita sering mendengar tokoh-tokoh dan pejuang kemerdekaan yang terdiri dari kaum lelaki. Dalam sejarah yang dipelajari, kita jarang mendengar mengenai tokoh wanita yang gagah berani dan memperjuangkan kemerdekaan. Sebenarnya ramai wanita yang terlibat dalam gerakan kemerdekaan dan Sri Kandi Suriani merupakan salah seorang tokoh yang banyak membuat pergorbanan demi perjuangan!
Sri Kandi Suriani Abdullah lahir pada 23 Januari 1924 di Sitiawan, Perak. Pejuang progresif ini lahir dalam zaman kesedaran nasional rakyat tanah jajahan. Tanah Melayu pada masa itu dijajah oleh British dan sedang bergelora dengan kebangkitan rakyat. Kebangkitan ini telah menempa beliau dari seorang gadis ”bagaikan mutiara di tapak tangan” berubah menjadi seorang pejuang wanita yang unggul dan bercita-cita tinggi demi keadilan masyarakat dan kemerdekaan negara.
Di zaman mudanya, Suriani (Eng Ming Ching pada masa itu) aktif dalam pendidikan, kesenian dan sukan. Beliau juga gemar membaca sejak sekolah rendah lagi. Semasa bersekolah di Nan Hwa High School, beliau terpengaruh dengan pandangan progresif seorang gurunya. Guru tersebut mendidik Suriani menjadi seorang manusia yang berguna kepada masyarakat.
Setelah Perang Anti-Jepun meletus, Suraini terpengaruh dengan gerakan pelajar anti-Jepun. Beliau yang merupakan satu-satunya anak perempuan yang disayangi mengambil keputusan untuk meninggalkan keluarganya. Suriani tidak sampai hati untuk berpisah dari keluarganya tetapi beliau terpaksa memilih garis pemisah yang jelas, antara ikatan keluarga dan perjuangan.
Pada masa itu, terdapat dua parti politik yang aktif menentang penjajahan; KKM (Kesatuan Melayu Muda) dan PKM (Parti Komunis Malaya). Suriani menyertai Tentera Pembebasan Tanahair iaitu Rejimen Ke-10.
Suraini pernah melalui masa sejarah dan peringkat perjuangan yang penting sehingga merdeka dicatatkan di sebelah:
1. Perjuangan Anti-Jepun (1941-1945)
2. Perjuangan Secara Berperlembagaan Selepas Jepun Kalah (1945-1948)
3. Perang Pembebasan Nasional Anti-British (1948-1957)
Beliau pernah ditangkap oleh tentera Jepun dan dipenjarakan. Namun, semangatnya yang gagah dan berani menyebabkan Suriani tidak pernah tunduk kepada kekejaman penjajah. Semangat dan penampilan pejuang wanita ini diberi pengiktirafan dan diberi gelaran ”SRIKANDI ANTI-JEPUN”.
Setelah itu, Suriani banyak terlibat dalam pertempuran gagah berani melawan penjajah British. Beliau pernah menghadapi serangan udara dan darat. Selepas itu, Suriani meneruskan perjuangan revolusioner dalam negara.
Semasa perjuangannya Suriani pernah berkhidmat di Perak, Singapura dan Kuala Lumpur. Beliau banyak memegang jawatan dan peranan yang penting. Beliau banyak memberi sumbangan kepada Rejimen Ke-10 dan berjuang bersama-sama tokoh seperti Abdullah CD dan Rashid Maidin sehinggalah termeterai Perjanjian Damai Haadyai di antara Kerajaan Malaysia dan PKM. Suriani telah berumahtangga dengan Abdullah CD dan kini menetap di Selatan Thailand.Pada tahun 1999, Suriani dan Abdullah CD mengerjakan Haji di Mekah.
Selepas termeterainya perjanjian damai itu pada tahun 1989, Suriani dan suaminya balik ke Malaysia sebanyak dua kali. Sultan Perak, Sultan Azlan Shah juga memperkenan mereka menghadap baginda pada 1 Disember 1998.
Sejarah mungkin tidak menghargai tokoh wanita seperti Suriani. Malah, banyak sejarah sebenar PKM menuntut kemerdekaan juga banyak diputarbelitkan. Semasa perjuangan Suriani dan rakan-rakannya dalam PKM, mereka banyak mendapat sokongan rakyat dan pernah diberi sambutan wira masyarakat.
Oleh itu, Piala Sri Kandi Suriani ini diadakan bagi memperingati jasa wira-wira negara yang banyak melakukan pergorbanan demi kepentingan masyarakat.
DIPETIK DARI - BLOG jerit.org
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment