ShareThis
Tuesday, May 4, 2010
1-5-2010 Merempuh dengan polis pada Hari pekerja
Walaupun cuti 1hb. Mei diberikan untuk merayakan hari Pekerja tetapi pada tahun ini pihak polis telah menutup Dataran Merdeka iaitu tempat berhimpun. namun ketegasan penganjur dan keberanian menyebabkan para peserta berjaya berjalan ke Dewan perhimpunan Cina. Satu lagi kumpulan dari perak terpaksa berjalan dari Tol Jalan Duta Ke Parlimen setelah bas mereka disekat oleh polis. Akhirnya deklarasi Mei 1 dibacakan. 5 orang yang ditahan termasuk 2 orang Ahli PSM iaitu Setiausaha Cawangan Rajan dan AJK Sdr. Shanmugananthan telah dibebaskan setelah ditahan beberapa jam.Demo Hari Buruh: Enam ditahan polis
Saturday, 01 May 2010
Source: Malaysiakini
Pihak polis sejak awal pagi mengawal Dataran Merdeka - tempat acara bagi meraikan Hari Buruh sedunia dan membantah pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Pada jam 11 pagi, kira-kira 500 orang berkumpul di luar bangunan Majlis Peguam, dekat Dataran Merdeka - tempat pelbagai program awam diadakan.
Penyelaras program S Arutchelvan dan ADUN Kota Damansara Dr Nasir Hashim - kedua-duanya daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) - pada mulanya cuba berbincang dengan pihak polis supaya membenarkan kumpulan tersebut berkumpul.
Bagaimanapun, polis memberikan lima minit kepada mereka untuk bersurai. Lima trak polis kelihatan berada di tempat kejadian, tetapi meriam air tidak kelihatan.
Selepas lima minit, dipimpin kedua-dua pemimpin PSM, kumpulan tersebut - termasuk anak kecil - bergerak beramai-ramai dari Dataran Merdeka ke arah Jalan Petaling dengan perasaan kecewa.
Kumpulan yang riuh itu kemudiannya melencong ke Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) dan menjadikan bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebagai tujuan akhir mereka.
DEKLARASI MEI 1, 2010
Rakyat Bantah GST
Cukai Yang Memiskinkan Rakyat
Tahun 2010 ; Dunia dan negara masih belum keluar dari kemelut Krisis Ekonomi yang melanda kita tahun lepas. Ramai pekerja yang masih belum mendapat kerja, ditambah pula dengan masalah rumah di lelong, harga barangan naik dan melalui keadaan dimana, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Dalam keadaan ini, Kerajaan Malaysia hendak mengimplementasi Cukai GST iaitu Cukai Barangan dan Perkhidmatan. Dalam keadaan 80% rakyat Malaysia tidak bayar cukai sebab pendapatan mereka kurang dari RM 3000, kerajaan Malaysia hendak memaksa semua rakyat tidak kira tua, muda, kurang upaya, pelajar , miskin, kaya, semua orang untuk membayar cukai.
Alasannya, defisit kerajaan perlu dikurangkan dan pendapatan negara harus ditingkatkan. Namun, persoalannya adakah rakyat punca defisit kerajaan? Pastinya tidak . Punca defisit kewangan kerajaan ialah korupsi, penyalahgunaan kuasa, projek yang tidak bermaanfaat, bail out, politik wang dan pembaziran. Semua ini bukan dilakukan oleh rakyat biasa, tetapi pemimpin kerajaan dan kroni-kroni mereka . Maka kenapa pula rakyat perlu menanggung akibatnya ? Bukankah kerajaan adalah untuk rakyat dan bukannya sebalik ?
Mengikut laporan Model Ekonomi Baru, Malaysia adalah sebuah negara yang berpendapatan rendah dimana 80% rakyat mendapat pendapatan RM 3000 dan 40% daripada mereka mendapat pendapatan RM 1500 sahaja sebulan. Dalam laporan ini juga dikatakan jurang diantara kaya dan miskin di Malaysia semakin melebar. Mengikut laporan UNDP 1997 dan Laporan United Nations Human Development 2004, Malaysia mempunyai jurang pendapatan yang tertinggi di Asia Tenggara , lebih daripada Filipina, Thailand, Singapura, Vietnam dan Indonesia. Laporan ini mengatakan, 10% orang kaya di Malaysia mengawal 38.4% kekayaan negara manakala 10% yang termiskin hanya menikmati 1.7% kekayaan negara
Dalam keadaan ini, adakah patut Cukai GST yang membebankan rakyat diperkenalkan?
Bukankah Cukai GST akan miskinkan rakyat kerana rakyat perlu bayar cukai untuk segala barangan yang dibeli atau perkhidmatan yang diguna? Lagipun dengan pengenalan cukai GST , sudah tentu harga barangan akan meningkat dan akan membawa kepada inflasi. Walaupun kerajaan kata harga barangan tidak akan naik , tetapi pengalaman negara lain menunjukkan ia tidak benar.
Rancangan kerajaan adalah untuk melaksanakan Cukai GST dan mengurangkan cukai pendapatan individu dan syarikat. Adakah ini sesuatu yang adil dalam negara dimana 80% penduduknya tidak mampu membayar cukai? Bukankah ini satu tindakan yang akan membebankan rakyat ?
Jadi, Hari Pekerja, 1 Mei 2010 yang menjadi lambang kebangkitan kaum Pekerja terhadap penindasan adalah hari yang paling bermakna kepada kita untuk menyuarakan dengan kuat dan jelas iaitu :
1. RAKYAT MALAYSIA BANTAH CUKAI GST. CUKAI GST MEMISKINKAN RAKYAT !
Di samping itu, tuntutan-tuntutan lain kaum pekerja ialah :
2. Kekalkan Cukai Korporat di tahap 27%. Pengurangan cukai ini akan menyebabkan pengalihan beban cukai kepada rakyat biasa melalui Cukai GST
3. Gubal Akta Gaji Minima untuk semua pekerja dan mansuhkan polisi gaji murah
4. Wujudkan Tabung Pembuangan Kerja Dengan Segera – Bantuan terus kepada pekerja yang kehilangan kerja. Kerajaan harus memperuntukkan RM0.5 billion untuk mulakan tabung ini dan gunakannya untuk membantu mereka yang dibuang sehingga dapat kerja.
5. Cuti Bersalin 90 hari untuk pekerja wanita.
6. Menandatangani Konvensyen ILO berkenaan Pekerja Rumah dan juga instrumen antarabangsa yang berkaitan dengan perlindungan dan kebajikan pekerja.
7. Pengisthiharan Kesatuan Sekerja secara automatik dan pemansuhan undang-undang yang mendiskriminasi pekerja dan sebarang undang-undang baru bermotif memudahkan pembuangan pekerja oleh majikan.
8. Pastikan tempat kerja bebas daripada diskriminasi terhadap pekerja wanita. Gubal undang-undang Anti Gangguan Seksual.
9. Hak saksama kepada pekerja migran dan Pelarian dan perlindungan dari dianiyai oleh pihak Majikan, PDRM, RELA dan Imigresen.
10. Kementerian Kewangan harus mengadakan perbincangan dengan bank-bank untuk menangguhkan dan mengurangkan bayaran bulanan pinjaman perumahan warga pekerja berpendapatan rendah .
11. Sediakan atau Laksanakan Skim Perumahan Rakyat pada harga yang mampu dibeli/dimiliki, lokasi strategik dan selesa untuk golongan yang berpendapatan rendah.
12. Hentikan penswastaan perkhidmatan asas seperti air dan hospital dan hentikan Skim Pembayaran Penuh Pesakit ( Full Paying Patient) di hospital kerajaan dengan segera.
13. Laksanakan Polisi ekonomi yang tidak mengira kaum dan jantina tetapi berlandaskan keperluan . Menuntut suatu model pembangunan yang saksama, yang memberi kepentingan kepada rakyat setempat di mana segala rancangan pembangunan mestilah dibincang dan dipersetujui oleh semua.
14. Iktiraf Hak Tanah Adat Orang Asal di Malaysia dan berikan hak milik kekal serta kukuhkan status tanah Rizab Orang Asli di Malaysia. Rancangan pembangunan tanah Orang Asli hendaklah berasaskan kehendak, keperluan dan aspirasi Orang Asli.
15. Mansuhkan segala undang-undang yang menindas dan mendiskriminasi para pekerja, antaranya ISA, OSA, EO, DDA, Akta Universiti & Kolej Universiti (AUKU), Akta Pertubuhan, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak.
16. Menuntut suatu sistem kerajaan yang benar-benar telus, bersih, kredible dan bebas dari segala bentuk rasuah, kronisme dan penyelewengan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment