ShareThis

Saturday, August 1, 2009

40 ribu bantah ISA ! Mansuhkan ISA sekarang !









Saya sempat bersama ribuan rakyat Malaysia yang berani pelbagai kaum dan agama membantah akta zalim ISA. Najib mahu kita beri cadangan bagaimana nak perbaiki akta zalim ini. Hari ini mesej dari rakyat cukup jelas - MANSUHKAN ISA. Kumpulan pro-ISA tidak kelihatan atau tengelam dalam lautan mereka yang anti - ISA.

Deklarasi Rakyat
Kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong

Sempena Himpunan MANSUH ISA
1 Ogos 2009 / 9 Syaaban 1430H

1. Menyakini bahawa

1.1. Prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang merupakan prinsip asas kepada pemerintahan yang adil dan saksama tanpa mencabuli hak asasi manusia;

1.2. Jaminan keadilan dan keselamatan kepada rakyat diberi oleh Perlembagaan Persekutuan dalam sebuah negara demokrasi Raja Berperlembagaan;

2. Menyedari bahawa

2.1. Keselamatan negara perlu dipertahankan, namun tidak sama sekali boleh menggadaikan nilai kebebasan insan dan hak-haknya serta prinsip keadilan;

2.2. Dunia memperakui ”penahanan tanpa bicara” melanggar kedaulatan undang-undang, hak asasi manusia dan prinsip-prinsip sebuah Kerajaan Demokrasi;

2.3. Hak perbicaraan, hak pembelaan dan hak dianggap tidak bersalah sebelum dibuktikan bersalah merupakan hak-hak asas sebagai warganegara Malaysia dan tindakan pencabulannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) 1948 dan Deklarasi Islam Hak Asasi Manusia Sejabat (UIDHR) 1981;

2.4. Prinsip keadilan dan hak-hak di atas turut didokongi oleh semua agama dan budaya bertamadun;

2.5. Kuasa terlalu luas dan tanpa batasan diberikan kepada Polis dan Menteri Dalam Negeri di bawah ISA yang membolehkan mereka menjadi pendakwa, hakim dan penghukum, tidak perlu mengemukakan apa jua bukti serta tidak boleh dicabar mahkamah mengakibatkan ruang penyelewengan dan salahguna kuasa terbuka luas;

2.6. Tindakan penyeksaan dan penderaan sama ada secara mental dan fizikal semasa dalam tahanan yang terbukti berlaku di bawah ISA dengan pengakuan tahanan, bekas tahanan dan keputusan mahkamah merupakan tindakan kejam yang dikutuk dan dikecam oleh Piagam Bangsa-bangsa Bersatu di bawah United Nations Convention against Torture and Other Cruel, Inhuman or Degrading Treatment;

3. Mengiktiraf bahawa

3.1. Pelbagai pendekatan telah diambil oleh Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) untuk membawa bantahan terhadap ISA kepada Kerajaan namun tiada langkah jelas digariskan untuk memansuhkan ISA malahan masih terdapat tahanan yang ditahan sehingga lebih daripada 7 tahun dan penahanan terbaru tetap berlaku di bawah Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri yang baru;

3.2. Adalah menjadi tanggungjawab rakyat yang prihatin keadilan, kebenaran dan kesejahteraan masa depan negara dan generasi akan datang untuk menarik perhatian Kerajaan dan DYMM Seri Paduka Baginda terhadap ancaman keselamatan, kezaliman, kemungkaran dan kerosakan yang disebabkan oleh ISA;

Maka Rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat, kaum, agama dan budaya yang berhimpun hari ini 1 Ogos 2009, sempena 49 tahun Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960, dengan ini membuat deklarasi tuntutan seperti berikut:

1. Mansuhkan ISA dan undang-undang tanpa bicara yang lain dengan segera. Tiada ertinya kajisemula sekiranya penahanan tanpa bicara, kuasa yang terlalu luas dan arbitrari di bawah ISA masih dikekalkan kerana ia bercanggah dengan prinsip keadilan, kedaulatan undang-undang, pegangan agama serta budaya sebuah negara bertamadun. Undang-undang sedia ada dengan ruang semakan mahkamah dan tidak mencabuli hak asasi manusia sudah mencukupi untuk menangani isu-isu keselamatan negara;

2. Bebaskan semua tahanan ISA tanpa syarat. Penahanan mereka tanpa dibuktikan kesalahan dan tanpa ruang pembelaan adalah satu penganiayaan dan kesalahan besar terhadap mereka dan keluarga yang tidak boleh dibenarkan berterusan;

3. Tutup Kem Tahanan Kamunting sebagaimana saranan Malaysia supaya menutup Kem Guantanamo atas sebab penyeksaan yang berlaku dan pencabulan hak untuk dibicarakan;

4. Ambilkira syor Suhakam pada tahun 2003 supaya ISA dimansuhkan di atas percanggahan dari segi undang-undang dan dari segi aplikasi undang-undang. Berbagai badan hak asasi di peringkat antarabangsa juga telah menyuarakan perkara sama bertahun-tahun lamanya;

5. Laksanakan siasatan awam dan menyiasat semua kes penyeksaan, penganiayaan, kezaliman dan tindakan tidak berperikemanusiaan serta salahguna kuasa yang telah dilaporkan dan didakwa berlaku dalam institusi penguatkuasaan, khususnya PDRM dan SPRM;

6. Dedahkan laporan siasatan kepada orang awam dan membawa penjenayah penyeksaan ke atas tahanan ISA, keluarga atau tahanan lain ke muka pengadilan;

7. Bela nasib dan kebajikan keluarga tahanan ISA termasuk daripada gangguan dan penderaan jiwa oleh Polis Cawangan Khas, Kem Kamunting dan Kementerian Dalam Negeri;

8. Perakui, hormati dan kembalikan kuasa yang ada dalam badan kehakiman sebagai badan yang bebas untuk menyemak kuasa badan eksekutif dan polis, termasuk memansuhkan undang-undang yang telah menyingkirkan ruang semakan mahkamah terhadap keputusan dan tindakan badan eksekutif;

9. Ambilkira syor Suruhanjaya DiRaja Penambahbaikkan Perjalanan dan Pengurusan PDRM supaya ditubuhkan Suruhanjaya Polis tentang Aduan dan Salahlaku (IPCMC).

10. Pohon campurtangan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong untuk membawa perhatian Kerajaan terhadap keluhan rakyat ini demi menjamin kesejahteraan dan keamanan rakyat.

RAKYAT MALAYSIA YANG CINTAKAN KEADILAN DAN KEBENARAN

No comments: