ShareThis
Thursday, April 30, 2009
SPR lulus logo gengaman tangan PSM
PSM KINI BOLEH MENGUNAKAN LOGO GENGAMAN TANGAN DALAM PILIHANRAYA
Sempena dengan ulang tahun ke 11 permohonan Pendaftaran Parti Sosialis Malaysia (PSM) pada 30hb. April, 1998, akhirnya PSM telah mendapat kelulusan dari Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) yang telah bersetuju meluluskan simbol parti PSM mengikut kehendak peraturan 11(1)(c) Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981.
Keputusan ini diambil dalam Mesyuarat Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia kali ke 692 pada 15hb. April 2009 dan dimaklumkan kepada PSM melalui satu surat dari SPR bertarikh 20 April 2009.
PSM dan Barisan Fron PSM mengalu-alukan keputusan ini. PSM berpendirian bahawa perjuangannya yang berterusan dan berani selama sebelas tahun ini merupakan inti kepada kejayaan PSM mendapat pendaftaran dari pihak Pendaftar Pertubuhan (ROS), Kementerian Dalam negeri (KDN) dan kini SPR walaupun kebebasan untuk menubuhkan satu parti politik adalah satu hak yang termaktub jelas dalam Perlembagaan Negara.
Keputusan ini juga memberi implikasi bahawa PSM kini boleh menggunakan simbol ini dalam Pilihanraya kecil dan Umum yang akan datang. Dalam tiga Pilihanraya Umum sebelum ini, PSM telah menggunakan simbol parti Pembangkang iaitu DAP pada tahun 1999 dan PKR pada tahun 2004 dan 2008.
Kami mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat hari pekerja kepada warga pekerja dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah bersama kami dalam satu dekad ini.
Dengan kelulusan ini, kami berasa perjuangan sosialis di bumi Malaysia akan terus melangkah maju ke hadapan.
Yang Benar,
S.Arutchelvan Mohd Nasir Hashim
Setiausaha Agung Pengerusi Nasional
Kornologi Isu Simbol PSM
19-8-2008 - Parti Sosialis Malaysia (Baru) PSM telah mendapat pendaftaran dengan nombor pendaftaran 1434-08- SEL dan didaftarkan secara sah dibawah Seksyen 7 Akta Pertubuhan 1966.
18-9-2008 - PSM telah memohon untuk mendaftar dengan SPR. Pihak kami telah mengemukakan salinan dokumen-dokumen yang diminta oleh pihak SPR iaitu satu salinan sijil Pendaftaran, satu salinan undang-undang pertubuhan, satu salinan AhliJawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia bagi 2008/2009 dan 8 salinan logo berwarna Parti Sosialis Malaysia
3-1-2009 - Disebabkan tidak mendapat sebarang maklumbalas dari pihak SPR, kami telah mengutus surat kedua
19-1-2009 - Kami kemudian telah menerima satu jawapan dari pihak SPR dimana kami diberitahu bahawa kedudukan permohonan pendaftaran kami masih dalam proses kajian oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan seandainya pihak KDN telah memutuskan untuk meluluskan permohonan tersebut dan memaklumkan kepada SPR, maka pihak SPR akan mengambil tindakan proaktif untuk mendaftarkan PSM dengan kadar segera.
6-2-2009 - Kami kemudian telah menghantar satu surat melalui peguam kami,Ragu Kesavan dari Kesavan Advocates & Solicitors meminta penjelasan terperinci.
13-2-2009 - Kami kemudian mendapat maklumbalas dari pihak SPR dimana dimaklumkan bahawa SPR dalam mesyauarat 14 Oktober 2008 telah membuat keputusan supaya mendapat penjelasan lanjut daripada Pendaftar Pertubuhan berhubung dengan simbol PSM kerana pada pandangan SPR ianya kurang sesuai dari prinsip moral kerana simbolnya bercorak kekerasan dan SPR mempunyai kuasa untuk menolak pendaftaran simbol parti politik mengikut peruntukan Seksyen 16(1) (bb) Akta Pilihanraya 1958.
19-3-2009 - PSM menghantar satu memorandum kepada SPR kerana tidak puas
hati dengan tindakan SPR melengan-lengankan pendaftaran simbol PSM dan memberikan alasan yang tidak kukuh untuk mempertikaikan simbol ini. Tindakan SPR ini secara tidak langsung menyekat hak demokrasi PSM untuk bertanding dalam pilihanraya dan terlibat langsung dalam politik tanahair.
15-4-2009 - Mesyuarat Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia kali ke 692 telah
meluluskan simbol PSM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment