ShareThis

Thursday, March 8, 2012

Mahkamah Persekutuan akhirnya benarkan permohonan “leave” Dr.

8 March 2012, Khamis

Biasanya permohonan “leave” (kebenaran) diberikan dalam masa 5 minit tetapi
dalam kes yang difail oleh Dr. Jeyakumar yang meminta mahkamah meneliti
peruntukan pembangunan yang diberikan kepada Ahli parlimen, ia telah melalui
satu proses yang begitu lama dan setiap ketika, pihak Peguam Negara mewakili
Kerajaan Malaysia cuba menghalang.
Selepas lebih 16 bulan memfailkan kes di Mahkamah Tinggi menuntut semakan
kehakiman untuk peruntukan khas Parlimen akhirnya Dr Kumar Ahli Parlimen Sg
Siput berjaya mendapat kebenaran untuk melanjutkan kes. Semakan kehakiman
dituntut terhadap keputusan Pengarah Pejabat Kemajuan UPEN Perak menolak
permohonan Dr Kumar mendapatkan dana khas parlimen Sg Siput.
Lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tan Sri
Arifin Zakaria membuat keputusan ini sebulat suara. Dr Kumar diwakili oleh
barisan peguam yang diketuai oleh Datuk S.Ambiga manakala Peguam Kanan
Persekutuan Suzana Atan mewakili Peguam Negara.
Kes yang bermula semalam ini dimulakan oleh Dato Ambiga yang mencabar Peguam
Negara yang meminta membatalkan semakan kehakiman yang dibenarkan oleh Mahkamah
Tinggi . Permintaan pembatalan Peguam Negara ini telah dibenarkan oleh Mahkamah
Rayuan pada 10hb Oktober tahun lalu. Datuk Ambiga mencabar permintaan Peguam
Negara yang teruja-uja untuk membatalkan ‘leave’ yang diperolehi tanpa
membenarkan kes ini didengar. Sepatutnya isu ‘leave’ ini diselesaikan dalam
masa lima minit sahaja seperti kebiasaan tetapi diheret sehingga hampir satu
tahun setengah dan ini menimbulkan keraguan munasabah bahawa wujud isu
pengurusan yang perlu diberitahu kepada pihak plaintif.
Wakil Peguam Negara memberitahu bahawa permohonan Dr Kumar adalah akademik
kerana wang peruntukan untuk tahun yang 2010 yang diminta sudah digunakan untuk
pembagunan kawasan tersebut dan juga isu yang dibangkitkan sudahpun dijawab di
Parlimen. Selain itu diberitahu bahawa pemberian dana ini adalah kuasa
keistimewaan (privilege) pihak kerajaan. Datuk Ambiga pula membalas menyatakan
kes ini masih hidup dan relewan. Ia melibatkan jutaan wang rakyat dan satu isu
kepentingan awam yang tidak boleh diabaikan begitu sahaja.
Selama ini, peruntukan untuk kawasan Parlimen hanya diberikan kepada Wakil
Rakyat BN sahaja dan MP pembangkang tidak pernah diberikan dana ini walaupun
peruntukan perundangan menyatakan sebaliknya.
Dr Kumar percaya rakyat harus diberitahu bagaimana peruntukan yang dikhaskan
untuk mereka, dibelanjakan. Selama ini, transparensi ini tidak pernah wujud
dalam pentadbiran Kerajaan BN dan beliau tidak mahu situasi ini berlanjutan.
Persoalan beliau ialah, sekiranya permohonan beliau untuk bantuan kepada rumah
anak yatim, rumah orang tua, sekolah dan persatuan orang kurang upaya ditolak,
maka ke manakah perginya wang peruntukan jutaan ringgit ini. Atau dalam kata
lain, siapa yang makan wang ini? Mengapa Jabatan Perdana Menteri tidak mahu
memberi butir-butir bagaimana wang ini dihabiskan?
Sudah tiba masanya rakyat menjadi pengadil untuk menentukan bagaimana wang
rakyat harus digunakan dan penyertaan rakyat dalam penentuan polisi dan proses
pengurusan harus dipraktikkan selaras dengan slogan Ketuanan Rakyat.
Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini memang disambut dengan rasa gembira
oleh rakyat Sungai Siput dan pencinta demokrasi. Namun ia hanyalah proses
prosedul yang dimenangi hari ini dan isu pokok masih belum dibincangkan.
Mungkin ini adalah apa yang cuba dibuat oleh Peguam Negara iaitu cuba
memastikan kes ini tidak didengar langgung melalui hujah-hujah teknikal
mereka.Diharap dengan laluan hari ini, kebenaran dapat dihebohkan kepada rakyat
kerana isu yang dibincangkan adalah wang rakyat. Semoga rakyat menjadi Tuan
bagaimana wang mereka dibelanjakan.
Hidup Rakyat
Kartimn

No comments: