Thursday, March 3, 2011
3 mac 2011 - Aduan polis terhadap Menteri Wilayah persekutuan membanjiri Balai Bukit Jalil
Hari ini, lebih 41 aduan polis telah dibuat oleh bekas pekerja Ladang Bukit Jalil di Balai Polis Bukit Jalil dan mereka terus membuat aduan polis. Aduan dibuat terhadap DBKL dan Menteri Wilayah Persekutuan dan turut mendesak polis tidak campurtangan dalam pengusiran haram yang cuba dilaksanakan oleh DBKL pada 15 Mac nanti.
Satu sidang akhbar juga dibuat oleh Jawatankuasa Penduduk dan PSM di balai polis. Rumusan adauan polis adalah seperti berikut
Aduan Dibuat Terhadap:
1) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)
2) YB Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Raja Nong Chik bin Dato’ Raja Zainal Abidin
3) Datuk Bandar Kuala Lumpur Yang Berbahagia Dato Ahmad Fuad Bin Ismail
Kerana:
1) Menggunakan ordinan yang tidak sah iaitu ordinan pembersihan setinggan untuk mengusir bekas pekerja ladang Bukit Jalil
2) Membuat pengusiran secara paksa dan cuba mengusir apabila rundingan masih berterusan
3) Ugutan untuk memaksa penduduk menerima tawaran jika tidak rumah akan dirobohkan
4) Menjalankan rundingan apabila tanah tersebut sudah dijual kepda pihak swasta
5) Tidak menghormati Deklarasi Habitat Agenda 1992, Agenda 21 dan Resolusi Suruhanjaya Persatuan bangsa-bangsa Bersatu mengenai Hak Perumahan (United Nations Resolution on Forced Evictions 1993)
Kami adalah bekas pekerja Ladang/waris bekas pekerja Bukit jalil yang terletak di Batu 6 1/2 Jalan Puchong . Ada diantara kami telah menetap di ladang ini untuk lebih 80 tahun. Kami telah diberhentikan kerja pada tahun 1995.
1. Semasa ladang kami dijual pada tahun 1980 kepada DBKL. Tuan ladang pada masa itu iaitu Bukit Jalil estate Agencies gagal memberikan kami pampasan dan perumahan alternative- rumah teres seperti bekas pekerja ladang kinrara iaitu ladang bersebelahan yang dimiliki oleh Tuan ladang yang sama. Para bekas pekerja Ladang Bukit Jalil masih menanti janji tersebut.
2. Baru-baru ini pada 1 Mac 2011, kami telah menerima satu “Notis Pemberitahuan Supaya Berpindah dan Mengosongkan Tapak Terhadap Penduduk Kampong Ladang Bukit Jalil, Kuala Lumpur” yang meminta penduduk bekas pekerja ladang yang masih menetap di ladang Bukit Jalil untuk berpindah ke rumah PPR Muhibah yang disediakan oleh DBKL sebelum 14 March 2011 dan operasi perobohan akan berlaku pada 15hb Mac 2011. Notis yang dihantar tidak mengatakan sebarang akta atau undang-undang yang digunapakai untuk mengusir kami dan justeru itu, notis yang diserahkan lepada penduduk adalah CACAT dan pihak polis tidak seharusnya membantu pihak DBKL jika DBKL masih berdegil untuk melaksanakan satu pengusiran paksa dan haram.
3. kandungan dalam notis pemberitahuan ini juga memberikan maklumat yang bohong apabila dinyatakan bahawa ada satu keputusan bersama diambil bersama dalam satu mesyuarat yang diadakan bersama pihak YB Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar dan Timbalan Menterinya bersama dengan YB Menteri Sumber Manusia dan wakil penduduk Ladang bukit Jalil pada 23hb. Februari 2011. Hakikat sebenarnya adalah dalam mesyuarat tersebut tidak ada sebarang keputusan bersama dan rundingan diadakan malah, kami juga tidak mencapai satu kata sepakat seperti yang cuba ditonjolkan dalam notis tersebut.
4. Notis yang dihantar tidak merujuk kepada mana-mana akta tetapi notis sebelumnya adalah notis Ordinan Darurat Pembersihan Setinggan 1969 dimana ianya memang tidak boleh digunakan terhadap pekerja ladang dan YB Saravanan juga telah mengatakan bahawa notis pembersihan setinggan tidak akan digunakan ke atas pekerja ladang.
5. Pada 24 Februari 2011, ladang ini juga dikatakan telah dijual kepada Bukit Jalil Development Sdn. Bhd. Justeru itu, tuan tanah ladang ini sekarang adalah pihak Bukit Jalil development Sdn. Bhd. dan bukan DBKL. Justeru itu, mengapakah DBKL menghantar notis? Pihak yang sepatutnya berurusan dengan pihak penduduk adalah pemaju dan bukan DBKL.
6. Kami membuat aduan polis ini kerana kami berpendapat hak asasi kami tercabul dan pengusiran ini adalah bercanggah dengan Perkara 5 Perlembagaan Negara yang memberi hak untuk kami menyara kehidupan dan bertentangan dengan Deklarasi Habitat Agenda 1992, Agenda 21 dan Resolusi Suruhanjaya Persatuan bangsa-bangsa Bersatu mengenai Hak Perumahan (United Nations Resolution on Forced Evictions 1993) yang telah ditandatangani oleh kerajaan Malaysia.
7. Kami juga berharap agar pihak polis akan bersikap neutral dan tidak membantu operasi perobohan haram ini sehingga pihak kerajaan persekutuan mengenalpasti status pekerja ladang.
Semua intimidasi bertujuan untuk mengusir penduduk secara paksa adalah tindakan tidak sah disisi undang-undang dan satu pencabulan hak asasi manusia yang serius.
Sekian sahaja aduan kami
No comments:
Post a Comment