Tuesday, May 20, 2008

KAMI BUKAN HAMBA ABDI KATA PEMANDU TEKSI BAJET LCCT

Hari ini wakil dari Badan Bertindak Pemandu-Pemandu Teksi LCCT telah turun ke Parlimen untuk mengutarakan ketidakpuasan mereka kepada Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Ketua Pembangkang Y.B. Datin Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Y.B. Dato' Haji Noh Omar. Sebelum ini, pada 14 April 2008, para pemandu LCCT juga telah mengadakan bantahan kerana tidak puas hati dengan permit teksi serta isu-isu lain.

Pemandu Teksi ke PSM Semenyih
Oleh kerana masalah mereka masih berlanjut, para pemandu teksi ini telah mendapatkan bantuan PSM Semenyih. Berikutan itu, Sdr. Arul dan beberapa ahli PSM telah melawat pemandu teksi ini di LCCT.

Setelah mengetahui masalah mereka Sdr. Arul telah mengatur satu perjumpaan dengan YB Teresa Kok supaya pemandu teksi ini dapat membawa masalah mereka ke Parlimen.


Pemandu Teksi Ke Parlimen
Hari ini pemandu teksi tersebut ke Parlimen. YB Teresa Kok telah menerima memorandum bagi pihak Ketua Pembangkang dan seterusnya menerangkan kepada pihak media mengenai masalah-masalah yang dihadapi oleh para pemandu. Turut hadir bersama mereka adalah Sdri Paremes dan Sdr Simon dari PSM Semenyih.

Permit Teksi Milik Kroni BN
“Kami bukan hamba abdi…. Kami rakyat Malaysia juga….. kenapa kami dianaktirikan……… Malaysia sudah merdeka 50 tahun tapi kami masih belum……” begitulah keluhan saudara Razak Hashim yang merupakan salah seorang pemandu LCCT. Beliau memberitahu bahawa para pemandu teksi bajet tidak berpuas hati dengan pemberian permit teksi. Menurut beliau, terdapat lebih kurang 35 syarikat yang memegang atau diberi permit teksi. Para pemandu terpaksa menyewa atau mendapatkan permit dari syarikat-syarikat ini. Selain itu, menurut beliau kebanyakan syarikat pemegang permit ini adalah kroni-kroni atau mempunyai hubung kait dengan ahli-ahli politik BN.

Kami Dapat 2 Trip Saja
Manakala Saudara Mathavan pula memberitahu bahawa LCCT baru berusia dua tahun tetapi terdapat lebih kurang 1000 teksi. Manakala KLIA yang sudah berusia 6 tahun pula hanya mempunyai jumlah teksi lebih kurang 600 sahaja. Pemberian permit yang tidak terhad telah menyebabkan bilangan teksi bajet semakin banyak. Ini telah menjejaskan pendapatan mereka kerana secara puratanya, sehari para pemandu hanya mendapat lebih kurang 2 trip sahaja. Keadaan ini semakin menjadi buruk apabila bilangan bas semakin bertambah dan para penumpang mula menggunakan perkhidmatan bas yang murah tambangnya. Tak cukup dengan ini, mereka juga terpaksa bayar sewa harian sehingga RM65 sehari, jalan tak jalan, kena bayar.

YB Teresa Kok memaklumkan para pemandu bahawa ketika beliau menyoalkan perkara ini di sidang Parlimen, YB Dato’ Haji Noh Omar menjawabnya bahawa isu ini telah diselesaikan.

Para pemandu semakin menjadi marah setelah mendengarnya kerana kata mereka jika isu ini sudah diselesaikan tiada sebab untuk mereka datang ke Parlimen. Jawapan yang diberikan oleh YB Dato’ Haji Noh Omar adalah bohong kerana masalah mereka masih belum selesai.

Hei ....Saya sudah turun..........kamu ini siapa???
Pada awalnya, YB Teresa Kok telah meminta Dato’ Haji Noh bin Omar menerima memorandum daripada para pemandu teksi ini. Tetapi beliau enggan. Namun, setelah mengadakan sidang akhbar, para pemandu teksi mendapat tahu Dato’ Noh Omar sedang berada di lobi Parlimen sedang diterumahramah oleh media. Jadi para pemandu terus berjumpa Dato Noh setelah beliau ditemuramah.

Saya tidak mahu layan kamu, kamu semua dihasut pembangkang....... hei, kamu ini siapa ........ saya sudah turun LCCT...... adakan mesyuarat selama empat jam dengan pengerusi kamu...........” itulah yang dihujah oleh YB Dato’ Haji Noh Omar dengan nada yang penuh angkuh. Walaupun, para pemandu cuba untuk menjelaskan situasi serta masalah yang dihadapi mereka tetapi Dato’ Haji Noh Omar langsung enggan mendengar keluhan para pemandu dan hanya berkata beliau hanya akan bercakap dengan jawatankuasa pemandu. Beliau terus terus menuduh mereka serta memberitahu perkara ini sudah selesai.

Para pemandu yang hampa dengan sikap Dato’ Haji Noh Omar terus bertekad untuk memperjuangkan isu ini sehingga selesai memandandangkan ianya merupkan isu periuk nasi mereka.

No comments:

Post a Comment