Wednesday, April 22, 2015

Rayuan Bantuan Duit Jaminan

KENYATAAN AKHBAR PSM : 22 April 2015

POLIS GHAIRAH DAN KELUAR ARAHAN UNTUK DAKWA BAKI MEREKA 
YANG PROTES GST DI KASTAM
PENAHANAN SELEKTIF BILA RAKYAT MASIH MERANA KERANA GST
Parti Sosialis Malaysia (PSM) cukup kecewa dengan tindakan terkini polis dan Peguam Negara mahu mendakwa baki 54 orang telah pergi ke Kastam pada 23hb. Mac untuk bertanyakan 106 soalan yang cukup relevan kepada pihak Kastam. Pada 25hb. Mac 2015 pula, seramai 25 orang aktivis sudahpun didakwa di Mahkamah Petaling Jaya dan kes mereka akan dibicara pada 14hb. Mei 2015.
Namun semalam , pada 21hb. April, kebanyakan mereka yang dibebaskan dengan jamin polis pada 23 Mac telah dimaklumkan melalui sms oleh Pegawai penyiasat ASP Zakaria untuk hadir ke Mahkamah Petaling Jaya pada hari khamis 23hb. April 2015 jam 9pagi untuk didakwa.
PSM berpendirian pendakwaan mereka berniat jahat berdasarkan perkara-perkara berikut:
i. Selepas insiden ini, lebihkurang 40 aduan polis telah dibuat keatas Ketua Polis Daerah Petaling Jaya kerana membuat penahanan secara tidak sah, salahguna kuasa dan menggunakan kekerasan semasa membuat tangkapan dan juga menafikan mereka yang ditahan hak berjumpa peguam mereka. Namun polis dan peguam Negara secara selektif tidak menyiasat aduan kami tetapi sebaliknya bertindak mendakwa baki orang yang terlibat dalam insiden di kastam Kelana Jaya. Ini tindakan membalas dendam.
ii. Tindakan polis dan Peguam negara baru mahu mendakwa baki aktivis selepas 1 bulan juga berbau sebagai tindakan untuk menakutkan orang ramai yang mahu turun pada 1hb. Mei 2015 untuk sekali lagi membantah GST yang amat membebankan golongan rakyat biasa.
iii. Dalam keadaan rakyat Negara kita begitu tertekan dengan harga barang naik kesan daripada pengimplementasian GST dan juga pelbagai pihak telah menggunakan alasan GST untuk menaikkan harga barangan. Sewajarnya polis harus digunakan untuk membenteras kumpulan-kumpulan ini yang menipu dan menyeleweng rakyat; tetapi nampaknya polis dan Peguam Negara lebih ghairah untuk mengambil keputusan untuk menghukum aktivis dan rakyat yang membuat bantahan secara aman terhadap cukai GST.
PSM juga amat sedar tindakan polis dan Peguam Negara bertindak mendakwa 54 orang lagi pada hari khamis ini, sudah semestinya merupakan tindakan untuk menghukum dan menindas golongan aktivis anti GST. Mereka yang didakwa terpaksa menanggung satu beban dari segi membayar duit jamin, lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi Negara dan rakyat yang begitu mudarat.
PSM meminta rakyat untuk terus melawan rejim yang zalim ini dengan turun ramai-ramai ke Perhimpunan Hari pekerja 1hb. Mei 2015 untuk menunjukkan kita tidak gentar dengan intimidasi ini. Kita juga berterimakasih kepada mereka yang sudi menghulurkan bantuan wang jamin untuk membantu mereka yang bakal didakwa.
Kami sesungguhnya berpendirian Polis dan Peguam Negara mempunyai tugas yang jauh lebih penting daripada mendakwa aktivis yang sekadar menggunakan hak-hak yang terjamin dalam Perlembagaan Negara seperti hak berhimpun dan hak bersuara.
Batal GST ! Hentikan Pendakwaan Selektif !
S.Arutchelvan
Setiausaha Agung

No comments:

Post a Comment