Thursday, April 25, 2013

CALON UNTUK RAKYAT, CALON PILIHAN RAKYAT….SIAPA?

Siapa? Siapa harus aku mengundi? Adakah saya pilih calon yang kibarkan paling banyak bendera parti, calon yang memberi saya beras, gula dan sardin, calon yang beri saya duit untuk undi atau calon yang menolong rakyat menyelesaikan masalah?
Siapa?
Fikiran rasional saya kata, saya mesti pilih calon yang bekerja untuk rakyat, bukan yang menjadi boss kepada rakyat. Saya mesti pilih calon yang boleh dipercayai, yang tidak menganiyai pengundi dengan janji-janji palsu atau melompat parti untuk kepentingan diri! Saya mesti pilih calon yang boleh menjadi contoh atau ‘role model’ kepada generasi muda – calon bersikap mulia – tidak mendiskriminasi – tiada sifat perkauman – mendahulukan kepentingan rakyat dari kepentingan diri.
Siapa?
Kalau saya pengundi di Semenyih, saya tak perlu fikir panjang. Undi saya pasti kepada En. Arul. Saya kenal Arul yang bertanding di N24 lebih 20 tahun.
Tapi saya tak kenal calon-calon yang bertanding di Kajang, di mana saya sepatutnya mengundi. Cikgu Lee yang saya kenal sejak 2008 pun tidak dipilih untuk bertanding!
Siapa?
Saya kenal Arul kerana dia telah membantu kawan-kawan saya yang menghadapi penindasan di tempat kerja, telah memperjuangkan hak berpersatuan ditempat kerja, membuat kempen akta gaji minima untuk kaum pekerja sejak tahun 2000 dan memberi nasihat tentang hak pekerja. Bila-bila masa boleh jumpa dia.
Saya juga kenal Arul semasa saya mengambil bahagian dalam satu latihan hak asasi bertajuk “Polis & Anda”. Cukup berguna latihan yang diberi kerana saya dapat tahu hak saya bila berdepan dengan polis terutama di negara ini di mana hak bersuara dan berpersatuan terhad.
Salah seorang jiran saya menghadapi masalah dengan bank yang mahu melelong rumah mereka kerana gagal membuat bayaran ansuran. Saya segera meminta dia berjumpa dengan Arul kerana saya pernah terbaca dalam suratkhabar mengenai PSM memberi Memorandum kepada Kerajaan untuk memastikan penstukturan semula pinjaman oleh Bank dengan cara ia menyelesaikan masalah bukannya merumitkan masalah yang dihadapi oleh para pemimjam. Arul dan kawan-kawannya juga berjaya menghentikan beberapa rumah orang miskin dari di lelong!
Saya juga selalu melihat Arul dalam suratkhabar mengenai perjuangan hak perumahan dan kumpulan mereka juga telah mendapatkan rumah percuma kepada pekerja-pekerja ladang di beberapa tempat. Semangat En. Arul dan kawan-kawannya harus dipuji kerana sentiasa bersama, membantu orang yang tertindas.
Pernah juga saya menyertai En. Arul dalam satu kempen anti-penswastaan hospital kerajaan yang diadakan serentak di seluruh Semenanjung. PSM menjalankan kempen ini bersama NGO-NGO lain dan berjaya memberi tekanan kepada kerajaan untuk membatalkan niat mereka untuk menswastakan semua hospital kerajaan.
Terbaca juga saya tentang kempen membantah GST yang dimulakan oleh Arul dan kawan-kawannya bila kerajaan Malaysia umumkannya pada tahun 2006 (kalau betul ingatan saya!). Itulah pertama kali satu tahu apa itu GST.
Tidak boleh saya lupa insiden kawan-kawan Arul di tahan polis hampir satu bulan semasa kempen mereka ‘Udalah itu…bersaralah BN’ 2 tahun yang lalu dengan pelbagai tuduhan liar termasuk ‘pengajur BERSIH’ oleh kerajaan Malaysia. Begitu intensif sekali kerja-kerja yang di buat oleh En. Arul dan kawan-kawannya untuk membebaskan 6 orang pemimpin-pemimpin PSM sehingga Pn. Ambiga pun kata, kalau dia di penjarakan, Arul..lah kena jadi kempen manager dia!
Baru-baru ini, apabila saya bertemu dengan saudara-mara dan kawan-kawan saya di Semenyih, banyak sokongan kepada En. Arul kerana beliau telah banyak menolong mereka  selesaikan masalah.
Malangnya di DUN Kajang tak ada calon seperti En Arul untuk saya undi!
Siapa?
Pengundi-pengundi Semenyih memang bernasib baik kerana mempunyai seorang calon yang dikenali dan rajin membantu rakyat. Satu pemimpin yang begitu berkaliber dan bertanggungjawab. Satu calon yang pasti akan membawa kemenangan kepada Pakatan.
Malangnya saya bukan pengundi di Semenyih, jadi siapa harus saya undi kalau saya tak kenal calon dan calon pula tak pernah menolong orang Kajang?
Siapa?
Saya dengar ramai orang kata, undilah untuk perubahan. Macam mana nak undi untuk perubahan kalau setiap hari dalam suratkhabar macam-macam cerita pasal Pakatan yang membuli PSM, bergaduh untuk kerusi – belum pun pergi Putra Jaya tapi sudah mula bersikap tamak. Takut nanti Pakatan pun jadi macam BN!
Siapa? 
Hati kecil saya cakap, walaupun tak ada calon yang layak di Kajang, undilah untuk perubahan. Sekurang-kurangnya selepas 5 tahun lagi, saya akan ada ‘clarity’ untuk membuat keputusan terbaik!

Oleh,
D. Devi
Pengundi DUN Kajang.

No comments:

Post a Comment