Wednesday, June 15, 2011
15-6-2011 Protes di Parlimen Desak Akta Gaji Minima RM 1,500
Seramai 200 wakil pekerja telah berkumpul di hadapan Parlimen pada 15 Jun 2011 untuk menuntut kerajaan mengimplimentasikan Akta Gaji Minima RM1500 sekarang. Harga barang terus naik, kos hidup terus naik tapi gaji tidak naik selama 10 tahun. Inilah yang menyebabkan pekerja turun lagi ke jalan raya untuk mengingatkan kerajaan sekali lagi bahawa untuk menghormati dan mengutamakan pekerja. Kerajaan harus gubal Akta Gaji Minima tanpa alasan dan bukannya membawa Akta Konsultasi Gaji sebagai satu “eyewash” atau gula-gula untuk kempen pilihanraya.
Perhimpunan ini dianjurkan oleh Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) bersama Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan disokong oleh badan-badan bukan kerajaan seperti Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Pusat Komunikasi Masyarakat (KOMAS), Persatuan Masyarakat Selangor dan Wilayah Persekutuan (PERMAS), Community Action Network (CAN), Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM), Persatuan Sahabat Wanita (PSWS) , Malaysia Youth and Students Democratic Movement (DEMA), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
Kami dari kumpulan-kumpulan masyarakat seperti Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT), badan-badan bukan kerajaan dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) membantah sekeras-kerasnya sikap kerajaan dalam isu Gaji Minima dan menyaran kerajaan agar :
1. Jangan menggunakan Akta Majlis Konsultasi Gaji Minima sebagai satu “eyewash” atau gula-gula untuk kempen pilihanraya;
2. Jangan terus bersekongkol dengan kaum majikan dengan melenggah-lenggah pengimplementasian Akta Gaji Minima di Malaysia;
3. Menggunakan kewibawaan politik untuk menggubal Akta Gaji Minima RM1,500 dengan serta merta;
4. Kurangkan jurang pendapatan rakyat Malaysia yang semakin meningkat.
Kami amat kecewa dengan pihak Kerajaan yang berat sebelah kepada pihak majikan dengan merestui cadangan pihak majikan untuk melaksanakan Akta Majlis Konsultasi Gaji Minima. Apabila pengumuman dibuat, MEF begitu mengalu-alukan dan menyokong pelaksanaan majlis ini. Sebelum ini, kumpulan masyarakat seperti JERIT telah menyerahkan banyak memorandum berhubung isu gaji minima. Malah, banyak kumpulan seperti MTUC telah menyarankan pelaksanaan gaji minima di Malaysia. Apa sudah jadi dengan saranan para pekerja? Kenapa dalam isu gaji minima hasrat pekerja tidak didahulukan? Tetapi, kerajaan lebih suka dibuli oleh pihak majikan dengan menurut cadangan mereka.
Jelas disini, kerajaan gagal menyelesaikan isu pekerja dan cuba lari dari tanggungjawab dengan menggubal Akta Majlis Konsultasi Gaji. Kami percaya majlis konsultasi gaji ini merupakan satu ‘eyewash’ dan gimik pilihanraya. Kami pasti, selepas ini :
• Kementerian Sumber Manusia akan membentangkan Akta ini di Parlimen;
• Sebaik mendapat kelulusan di Parlimen kerajaan akan membentuk satu majlis yang akan terdiri daripada pihak kerajaan, majikan, kesatuan dan badan-badan bukan kerajaan;
• Majlis ini akan berbincang dan pastinya isu pelaksanaan gaji minima akan berlarutan kerana pihak majikan yang selama ini menentang pelaksanaan gaji minima tidak akan bersetuju untuk menetapkan kadar gaji yang tinggi;
• Kementerian akan memaklumkan gaji minima tidak akan dilaksanakan atau akan bersetuju untuk meletakkan gaji minima dibawa RM700 iaitu di bawah garis kemiskinan.
Kami tidak mahu perkara di atas berlaku dan para pekerja di negara ini dipermainkan. Gaji yang setimpal dan wajar adalah hak pekerja. Hormati hak pekerja dan gubal Akta Gaji Minima.
No comments:
Post a Comment