Tuesday, May 10, 2011

1 Mei Satu - Hari pekerja - Ditahan 2 kali











Pada 1 mei tahun ini, Hari Buruh Sedunia dicemar sekali lagi apabila polis bertindak menghalang perhimpunan aman. Apabila seluruh dunia merayakan hari pekerja, polis di KL mencuba pelbagai cara menghalang mereka yang berhimpun secara aman. Seramai 21 orang temasuk saya telah diatahan polis. Saya ditahan polis sebaik sahaja membuat satu sidang akhbar. Begitu juga ramai anak muda dari Skuad merah PSM ditahan sebelum perhimpunan. Saya turut difitnah apabila saya dibebaskan dan ditahan semula kerana dikatakan terlibat dalam satu kecurian 16 tahun yang lalu . Namun semangat kuat rakyat telah membebaskan saya dari terus disimpan oleh polis.

Dibawah adalah satu catatan Mei 1 yang ditulis oleh JERIT dan juga gambar-gambar kami didalam lock-up -


Mei 1, 2011: POLIS GAGAL PATAHKAN SEMANGAT RAKYAT

Sambutan Mei 1, 2011 mengingatkan kami kepada kepada sambutan pada tahun 2002. Pada masa itu, Jawatankuasa Penganjur telah merancang satu perarakan dari Chow Kit ke KLCC. Tema Hari Pekerja pada tahun tersebut adalah Kembalikan Hak Pekerja: Kerja, Gaji & Kesatuan ’. Pihak polis pada masa itu tidak begitu bersedia. Kami mula berjalan dari Chow Kit melalui Jalan TAR dan kemudiannya membelok ke Jalan Sultan Ismail menuju ke KLCC. Pihak polis terpaksa mengejar dan memberhentikan kami berdekatan stesen Monorail Jalan Sultan Ismail yang masih dalam pembinaannya pada masa itu. Polis terus menahan Sdr. Arul, Dr. Nasir dan lebih kurang 20 orang aktivis di Jalan Sultan Ismail dan juga di KLCC dimana peserta dari Perak telah sampai . Polis juga merampas banner dan placard yang dibawa oleh peserta Mei 1 2002 dengan begitu ganas.

10 tahun selepas itu, Jawatankuasa Mei 1, 2011 merancang satu perarakan yang hampir sama – dari Chow Kit tetapi kali ini menuju ke Dataran Merdeka. Pada kali ini pihak penganjur lebih bersedia dan membuat perancangan dengan teliti. Pihak polis di Bukit Aman dan IPD Dang Wangi telah dimaklumkan mengenai sambutan ini seperti amalan biasa kami . Nampaknya pihak polis juga lebih bersedia pada kali ini untuk merampas hak demokrasi rakyat untuk berhimpun dan menyambut Mei 1. Sebelum program bermula lagi, kawasan Chow Kit sudah dipenuhi polis. Sdr Arul, Setiausaha Agung PSM dan Sdr. Sivarajan, Bendahari Kehormat PSM ditahan polis walaupun tiada sebarang perhimpunan. Seramai 12 orang di kalangan Pemuda Sosialis ditahan di sebuah restoran kerana ingkar arahan polis membuka T-Shirt Skuad Merah. Polis barangkali sudah hilang kewarasan mereka kerana menyuruh anak muda membuka baju mereka di khayalak ramai.

Mengetahui perkembangan ini, pasukan keselamatan telah menukar rancangan dan meminta semua peserta untuk berkumpul di dataran berhampiran Maju Junction. Sekitar jam 10.45 pagi lebih 100 orang sudah mula berkumpul di sini. kami terus memulakan program dengan ucapan wakil-wakil pekerja dan rakyat dari pelbagai sektor. 10 minit kemudian rakan-rakan dari Perak berarak dari Sogo menyertai kami. Rakan dari badan-badan NGO dan kumpulan pelajar juga sudah bersama kami. Jumlah orang berkumpul meningkat kepada 500 orang. Pihak polis yang tidak menduga perubahan rancangan hanya tiba 30 minit selepas itu dan cuba meleraikan perhimpunan tersebut. Pegawai polis dengan angkuhnya mengatakan beliau telah diarahkan oleh OCPDnya untuk menyuraikan perhimpunan tersebut dengan alasan kami tiada permit untuk berhimpun. Walaupun pegawai tersebut boleh melihat perhimpunan tersebut berjalan secara aman dan teratur, beliau gagal menggunakan budi bicaranya dan hanya mengagungkan arahan bossnya ACP Zulkarnain OCPD Dang Wangi. Pada masa ini, Dr. Jeyakumar, Agastin dan Sdr. Sugumaran dari PSM Sg. Siput ditahan hanya kerana cuba berunding dengan polis.
Pada pada itu, kami sempat membacakan Deklarasi Mei 1 yang bertemakan ‘Harga Barang Naik, Gaji Bila Lagi? – Pekerja Menuntut Akta Gaji Minima’. Pihak polis terus cuba menyuraikan kami dan ini memaksa kami menuju ke SUHAKAM (yang terletak di bangunan berhampiran Maju Junction) untuk membuat aduan terhadap pihak polis yang sudah hilang pertimbangan dan kewarasan mereka. Malangnya kami juga dihalang masuk ke SUHAKAM.

Jadi pihak penganjur meminta semua yang hadir duduk secara aman di hadapan bangunan tersebut. Kami menuntut pihak polis membebaskan semua rakan yang ditahan tanpa alasan kukuh. Sambil itu, lagu-lagu perjuangan mula kedengaran. Semangat yang membara dapat dilihat. Slogan Hidup Rakyat Hidup Perjuangan dan beberapa slogan lain juga kedengaran. Rakyat yang berkumpul terus memegang placard dan banner yang mengandungi tuntutan rakyat. Beberapa ucapan juga diberikan oleh beberapa orang pemimpin. Satu team pemantau dari SUHAKAM juga berada di situ dan cuba berunding dengan pihak polis.

Setelah itu, kami mengambil keputusan untuk bersurai kerana telah pun menjalankan program Mei 1 walaupun tidak dapat berarak. Sebahagian dari kami bercadang untuk ke Balai Polis di mana rakan-rakan kami ditahan di dua lokasi yang berlainan – Balai Polis Dangi Wangi (Campbell) dan Balai Polis Tun H.S. Lee. Kemudian kami mendapat khabar pihak polis juga sedang meragam di Balai Polis Campbell dan menahan seorang lagi rakan kami kerana hadir disana untuk memberi sokongan kepada mereka yang ditahan. Kemudian, semua aktivis yang ditahan dibawa ke Balai Polis Tun H. S. Lee,yang juga memudahkan kami untuk ke satu lokasi untuk memberikan sokongan solidariti.

Setelah berjam-jam menunggu, akhirnya sekitar jam 5 petang kami dimaklumkan semua yang ditahan telah direkodkan statement mereka dan akan dibebaskan dengan jamin polis. Kami bersedia dengan para penjamin dan menunggu ‘pembebasan’ mereka. Tiba-tiba kami mendapat tahu semua yang ditahan akan dibebaskan kecuali seorang – Sdr Arul. Pihak polis yang barangkali mahu membalas dendam telah menuduh Arul terlibat dalam satu kes pecah rumah di Kedah pada tahun 1995. Sesiapa yang kenal Sdr. Arul mesti geli hati dan akan gelak dengan tuduhan yang langsung tak masuk akal ini.

Mendengar berita ini, rakan-rakan kami semuannya naik marah dan berkumpul berhampiran pagar balai polis. Bukan sahaja kami, malah cuaca juga amat marah…hujan mula turun dengan lebatnya. Nampaknya hujan dan kemarahan ini telah menaikkan semangat kami. Dalam hujan lebat tersebut, kami melaungan slogan – Bebas..bebas, Bebas Arul; Kejam-Kejam …Polis Kejam. Semakin lama semakin kuat tanpa henti. Ini memaksa pihak polis membatalkan rancangan mereka untuk terus menahan Sdr. Arul dan membawa beliau ke Kedah untuk siasatan.

Akhirnya, kesemua 21 tahanan dibebaskan sekitar jam 7 petang semasa hujan masih lagi lebat. Mereka disambut dengan tepukan gemuruh dan laungan hidup rakyat hidup perjuangan. Pihak polis mungkin berjaya menggagalkan Perarakan Mei 1 pada tahun ini. Tetapi mereka juga telah gagal…. Gagal memberhentikan program Mei 1 di Maju Junction, mereka gagal memberhentikan laungan rakyat menuntut keadilan di bangunan berhampiran SUHAKAM, mereka gagal menghalang rakyat berkumpul di hadapan balai polis, mereka gagal dari terus menahan Sdr. Arul dan mereka gagal mematahkan semangat perjuangan kami….

No comments:

Post a Comment