Thursday, March 10, 2011
10 Mac - Usul tergempar Dr. Kumar mengenai Ladang Bukit jalil ditolak di Parlimen
USUL TERGEMPAR SDR. DR. JEYAKUMAR AHLI PARLIMEN SUNGAI SIPUT DI PARLIMEN
Permohonan Menangguhkan Majlis Mesyuarat seperti diperuntukkan di bawah Peraturan 18 (1) dan 14 (10)( h) untuk Merundingkan Isu Pengusiran Bekas Pekerja Ladang Bukit Jalil pada 15hb Mac 2011.
Tuan Yang DiPertua, 41 bekas pekerja Ladang Bukit Jalil telah menerima Notis Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bahawa mereka harus mengosongkan kuarters pekerja mereka sebelum 15hb Mac 2011, kerana rumah-rumah mereka akan dirobohkan pada hari itu.
41 bekas pekerja ini merupakan generasi ke-empat yang telah berkerja di Ladang Bukit Jalil,
Batu 16 ½, Jalan Puchong, 58200 Kuala Lumpur. Pada tahun 1980, Kementerian Wilayah Persekutuan telah mengambil alih pengurusan Ladang Bukit Jalil dan pekerja ladang menyambung pekerjaan di bawah Kontraktor yang dilantik oleh Kerajaan.
Pada tahun 1988, Menteri Wilayah Persekutuan pernah berjanji rumah teres kos rendah akan dibina untuk mereka di kawasan berdekatan dan bahawa pekerja Ladang Bukit Jalil boleh terus menduduki rumah kuarters sehingga rumah gantian disiap bina. Malangnya, rumah teres kos rendah tidak diberi dan sekarang bekas pekerja sedang diusir keluar dengan tawaran wang antara RM 11,986 dan RM 22,852 seorang. Wang ini dikatakan wang ehsan tetapi hakikatnya adalah ia merupakan jumlah caruman KWSP dan Perkeso yang gagal dibayar oleh Kontraktor yang dilantik Kerajaan.
Bekas pekerja Ldg Bukit Jalil memohon
- Janji perumahan gantian dalam bentuk rumah teres ditunaikan ataupun tanah seluas 4
ekar diberi pada mereka untuk tujuan perumahan;
- Pekerja dibenarkan menduduki rumah kuarters mereka sehingga perumahan gantian
disediakan;
- Notis pengusiran ditarik balik; dan
- Ordinan Darurat Pembersihan Setinggan 1969 tidak digunapakai oleh Kerajaan dalam
pengendalian isu pampasan untuk kumpulan bekas pekerja ini.
Isu ini memang perkara tertentu dan berkehendak disegerakan kerana mengikut notis Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, pengusiran akan dilaksanakan pada 15/3/2011. Isu ini juga berkenaan dengan kepentingan orang ramai kerana
a/ Beratus-ratus pekerja ladang di seluruh negara akan menghadapi pengusiran dalam 10 tahun yang akan datang kerana pembangunan di kawasan mereka akan mengakibatkan pemberhentian kerja dan pengusiran daripada rumah-rumah kuarters mereka;
b/ Pampasan dibuang kerja yang dinyatakan dalam Akta Kerja adalah lebih kurang RM 400 se tahun kerja – hanya RM 12,000 sahaja untuk seorang pekerja dengan 30 tahun servis. Ini tidak mencukupi untuk membeli rumah kos rendah, dan merupakan punca utama untuk masalah “setinggan” di bandar-bandar kita;
c/ Pembuangan pekerja ladang dengan pampasan yang tidak mencukupi, pengusiran secara paksa dan peminggiran komuniti bekas pekerja di kampung setinggan ataupun di rumah-rumah pangsa yang sempit dan yang tidak diurus dengan sempurna adalah sebab utama untuk masalah jenayah di kalangan pemuda India.
Perbahasan terhadap isu pampasan yang sempurna dan perumahan gantian untuk bekas pekerja ladang akan membantu menetapkan garis panduan bagi mengendalikan isu pemberhentian pekerja ladang dan akan seterusnya mengurangkan masalah “setinggan”, masalah peminggiran bekas pekerja ladang, dan juga masalah jenayah di kalangan pemuda kita.
Memorandum Penduduk Ladang Bukit Jalil kepada PM Najib Tun Razak
Thursday, 10 March 2011
BERIKAN KAMI TANAH DAN HENTIKAN
PENGUSIRAN PAKSA YANG HARAM!
Yang Amat Berhormat Perdana Menteri,
Kami 41 keluarga bekas pekerja ladang Bukit Jalil yang merupakan warisan yang tinggal di ladang ini sejak 1940 dan kini dalam generasi keempat menuntut campurtangan YAB Perdana Menteri sebagai Ketua Negara campurtangan untuk menyelesaikan masalah salah satu Ladang tertua di Lembah Klang, iaitu Ladang Bukit Jalil.
Tuntutan kami adalah ringkas, munasabah dan dapat diselesaikan jika ada komitmen dari YAB. Kami telah pada asalnya menuntut untuk tanah untuk membina rumah, sekolah, kuil dan tanah perkuburan. Kini semua isu ini selesai kecuali isu pokok kami iaitu memberikan kami empat ekar tanah untuk membina rumah di tanah tempat lahir kami.
Tuntutan kami:
1. KAMI MENUNTUT 4 EKAR TANAH UNTUK DIBERIKAN DIKAWASAN YANG KAMI DUDUKI.
Rasional Tuntutan kami
1. YAB Perdana Menteri, pada asalnya, keluasan Ladang Bukit Jalil adalah 1,800 ekar tetapi hari ini hanya tinggal 26 ekar setelah dibina Kompleks Stadium Bukit Jalil, Stesen LRT dan tempat tahanan reman. Sekarang penduduk hanya menuntut 4 ekar dari 26 ekar yang tinggal untuk membina rumah. Mengapa tanah ini yang telah diguna untuk pelbagai pembangunan dan diberikan kepada pelbagai pihak swasta, kini tidak dapat diberikan kepada orang yang paling lama duduk disini yang diminta hanya empat ekar tanah dariapda 26 ekar tanah yang tinggal?
2. Pada tahun 1973 Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak telah memperkenalkan Skim Perumahan Sendiri. Di bawah skim ini, majikan sesuatu perladangan harus menyediakan perumahan sendiri untuk pekerja-pekerja mereka yang rata-ratanya hidup dalam kemiskinan. Tetapi dalam soal kami, ianya tidak dilakukan oleh pemilik terdahulu iaitu Bukit Jalil Estate Agencies walaupun pekerja ladang telah meminta pada tahun 1976. Jika skim itu dilaksanakan masa itu, maka masalah ini tidak timbul hari ini.
3. Tuan ladang asal kami menjadi Tuan Tanah kepada dua buah ladang iaitu Ladang Kinrara dan Ladang Bukit Jalil. Pekerja Ladang Kinrara sudah mendapat rumah kos rendah teres di tanah mereka tetapi bagi ladang kami, Kerajaan telah menggunakan Akta Pengambilan Tanah untuk mengambil alih tanah tetapi mereka tidak membina rumah teres. Malah kontraktor kerajaan telah mengunakan khidmat pekerja untuk 15 tahun lagi untuk menoreh getah dan wang pemotongan EPF/SOCSO tidak dimasukkan. Wang inilah yang kini diberikan sebagai pampasan dan dikatakan sebagai wang ehsan. Mungkin jika ladang kami tidak diambilalih oleh Kerajaan, kemungkinan besar kami akan mendapat rumah teres di tanah ini.
4. DBKL kini melayan kami sebagai setinggan dan menawarkan perumahan flat. Ingin kami mengatakan bahawa 4 buah ladang yang telah dipindahkan ke Dengkil kerana projek Putrajaya, kini hidup dalam kesengaraan dan baru-baru ini, pangsapuri mereka didapati tidak layak untuk diduduki. Kami telah menduduki ladang tersebut sejak tahun 1940. Kami telah berkorban untuk pembangunan dan kesejahteraan Negara. Kami hanya meminta 4 ekar tanah untuk kami kerana kami percaya dan yakin bahawa kami mempunyai hak keatas tanah ini.
2. HENTIKAN NOTIS PENGUSIRAN PAKSA DENGAN SEGERA!
Rasional Tuntutan kami
1) Pada 23 Feb 2011, pertemuan penduduk bersama Menteri Wilayah Persekutuan YB Raja Nong Chik, Menteri Sumber Manusia Datuk S. Subramaniam dan Timbalan Menteri Datuk Saravanan telah diadakan. Namun dalam pertemuan itu, tidak ada satu kata putus atau penyelesaian kerana pihak kerajaan tidak mahu berunding lagi! Kerajaan paksa ambil pampasan yang diberi dan kosongkan rumah. TETAPI Penduduk tidak setuju dengan pampasan yang ditawarkan oleh pihak kerajaan dan menuntut tanah untuk membina rumah.
2) Selepas pertemuan itu, 1 Mac 2011, penduduk telah menerima satu “Notis Pemberitahuan Supaya Berpindah dan Mengosongkan Tapak Terhadap Penduduk Kampong Ladang Bukit Jalil, Kuala Lumpur” (LAMPIRAN 1) yang meminta penduduk bekas pekerja ladang yang masih menetap di ladang Bukit Jalil untuk berpindah ke rumah PPR Muhibah yang disediakan oleh DBKL sebelum 14 March 2011 dan operasi perobohan akan berlaku pada 15hb Mac 2011. Ini adalah satu ugutan kerana Notis yang dihantar tidak mengatakan sebarang akta atau undang-undang yang digunapakai untuk mengusir kami dan justeru itu, notis yang diserahkan kepada penduduk adalah CACAT dan tidak sah disisi undang-undang. Ini telahpun dimaklumkan kepada pihak DBKL menerusi surat dari peguam kami dari Kesavan Advocate and Asociaste (LAMPIRAN 2)
3) Notis yang digunakan sebelum ini pula adalah notis ordinan darurat pembersihan Setinggan 1969 dan ia telah digunakan keatas pekerja ladang. Ini adalah satu penghinaan dan satu salahguna kuasa yang amat dashyat.
4) Pengusiran paksa yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia dengan meggunakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) adalah BERTENTANGAN dengan Deklarasi Habitat Agenda 1992, Agenda 21 dan United Nations Resolution on Forced Evictions 1993, yang ditandatangani oleh kerajaan sendiri kerana Kerajaan tidak melibatkan penduduk ladang Bukit Jalil dalam apa jua proses konsultasi mengenai pembangunan tanah yang mereka duduki manakala Hak ekuiti penduduk ladang atas tanah tersebut dinafikan langsung. Bekas pekerja ladang tidak ditawarkan tanah tersebut. Persoalannya mengapakah rakyat miskin ini diusir keluar dengan kejam tanpa menjalankan rundingan atau dialog seperti yang dipersetujui dalam agenda 21 sehingga masalah diselesaikan secara aman?
5) Tiada inisiatif langsung untuk mengadakan satu perundingan yang sebenar dengan bekas pekerja ladang. Malah penduduk diarah berpindah tanpa persetujuan mereka. Jika mereka enggan, kekerasan digunakan, rumah diroboh, barangan dicampak keluar, penduduk ditahan polis.
3. KESIMPULAN
Kebanyakan isu ini hampir selesai. tanah seluas 1,800 ekar ini pula kini hanya ada 26 ekar sahaja dan apa yang diminta oleh penduduk hanyalah 4 ekar sahja untuk membina rumah. Tuntutan ini amat munasabah.
Kami berharap pihak YAB Perdana Menteri akan hentikan pengusiran paksa yang akan berlaku pada 15 Mac nanti. Kami mahukan masalah kami didengar dan diselesaikan sebelum sebarang langkah pengusiran dilakukan.
JANGAN USIR DAN ROBOHKAN RUMAH KAMI. SELESAIKAN TUNTUTAN KAMI YANG ADIL!
No comments:
Post a Comment