Tuesday, February 15, 2011

14-2 Kad Valentina - Cinta Malaysia Benci FTA






Dipetik dari JERIT

Hari ini seramai 50 wakil dari Gabungan Membantah FTA (GMFTA) telah mengunjungi Dato Najib Tun Razak bagi menghantar kad cinta. Sempena hari kekasih ini, Perdana Menteri Najib Tun Razak diseru untuk cintakan Negara agar hak rakyat tidak digadaikan kepada US dan Kesatuan Eropah melalui perjanjian perdagangan bebas (FTA).
Sementara itu, hari ini merupakan hari pertama Malaysia memulakan rundingan pertama dengan US di negara Chile yang akan berlangsung sepanjang minggu ini. Kami bantah tindakan kerajaan menjalankan rundingan FTA ini secara senyap -senyap dan tidak telus.

Lebih kurang pukul 11.00pagi 50 orang dari GMFTA berhimpun di hadapan pejabat perdana Menteri menunggu PM bagi menyampaikan mesej hari kekasih. Tetapi kad cinta dan memorandum diterima oleh Asrul Apendi bin Abdullah, Setiausaha Sulit Kanan kerana PM tiada di pejabat hari ini.
Satu sidang akhbar diadakan selepas penyerahan memo bersama wakil dari GMFTA yang terdiri daripada beberapa NGO antaranya Parti Sosialis Malaysia (PSM), Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT), Positive Malaysian Treatment Access and Advocacy Group (MTAAG +) , Suaram, dan DEMA.

Selepas menyerahkan memo, saudara A. Sivarajan, Bendahari kehormat Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah menjelaskan kepada pihak media tentang hakikat menandatanggani perjanjian perdagangan bebas dengan US dan juga dengan kesatuan Eropah yang akan mengadakan perundingan pada 28 Februari 2011. Menurut Saudara Sivarajan, industri tempatan terpaksa gulung tikar jika negara kita menandatangani FTA ini. Tambahan pula, para petani dan pekerja yang bergantung kepada industry tempatan akan hilang pekerjaan akibat FTA ini.

Seterusnya, saudara Edward dari kumpulan Mtaag pula mengutarakan isu pemilikan paten ubat untuk jangka masa yang panjang akan menyebabkan harga ubat terus meningkat. Ini mengakibatkan pesakit Aids tidak akan berupaya untuk membeli ubat. Perniagaan harus meningkatkan kekayaan negara bukan membunuh rakyat.

Ahli Parlimen Klang, YB Charles Santiago juga turut hadir memberi solidarity untuk membantah rundingan FTA. Secara keseluruhan, GMFTA menuntut kerajaan menghentikan segala perundingan dengan US dan juga Kesatuan Eropah dan pada masa yang sama kerajaan harus mendapat pendapat dari rakyat sebelum terikat dengan FTA pada mana-mana Negara.

Oleh itu, wahai Perdana Menteri , sayangilah rakyat yang membangunkan Negara ini dengan peluh dan darah sejak turun temurun lagi. Demi cinta kepada rakyat GMFTA akan menentang habis-habisan sekiranya rundingan ini di teruskan tanpa ketelusan dan persetujuan dari rakyat.

FTA membunuh; Hentikan perundingan FTA sekarang!
Ditulis oleh Sivaranjani M

Gambar oleh -PSM Semenyih

No comments:

Post a Comment