Tuesday, January 11, 2011

Kenyataan Rasmi 7 Januari 2011 - Tiada Jejantas di Semenyih

KENYATAAN AKHBAR : 7 JANUARI 2011

KELUHAN RAKYAT SEMENYIH

Tiada Jejantas di Semenyih

MENGAPA MENTERI KERJA RAYA MELENGAHKAN MASA

Jangan Gadai Nyawa Pengguna Jalan Raya


Masalah ketiadaan jejantas di hadapan Sekolah SK Semenyih dan Masjid Semenyih telah lama diungkitkan oleh penduduk Semenyih. Ramai murid sekolah dan orang ramai terpaksa menggadai nyawa mereka apabila menyeberang jalan. Keadaan menjadi lebih rumit ketika waktu kesibukan (pick hours). Ada beberapa kemalangan juga pernah berlaku di kawasan ini.

Jejantas ini perlu dibina diatas jalan persekutuan dan pihak bertanggungjawab adalah Jabatan kerjaraya(JKR). JKR pada awalnya memberitahu bahawa walaupun ada keperluan untuk membina jejantas tetapi ia tidak dapat dilaksanakan kerana tiada bajet. Masalah kewangan digunakan sebagai alasan jejantas itu tidak dapat dibina semasa isu ini dingkitkan pada tahun 2008.

Kemudian atas usaha YB Dr. Che Rosli- Ahli Parlimen Hulu Langat , beliau berjaya mendapat sumbangan untuk membolehkan jejantas itu dibina oleh pihak swasta. Kini isu kewangan tidak lagi menjadi factor menghalang.

Malah pihak JKR Tempatan, MPKJ dan penyumbang dan kontrakter semuanya sudah bersedia untuk membina tetapi semuanya terhalang kerana pembinaan jejantas ini menurut JKR memerlukan kelulusan Menteri Kerja Raya.

Persoalan adalah mengapa pembinaan jejantas ini dilengah-lengahkan masa? Adakah ada unsur sabotaj oleh Pihak kerajaan Pusat untuk melengah-lengahkan pembinaan ini memandangkan ia diusahakan oleh Pakatan Rakyat dan PSM.

Isu pembinaan jejantas ini juga diungkitkan dalam setiap mesyuarat Jawatankuasa Infrastruktur pada setiap bulan oleh Ahli-ahli Majlis DUN Semenyih dan setiap kali jawapan adalah masih menanti lampu hijau pihak kementerian.

Adakah ini maksudnya rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan. Dalam isu ini, pembinaan jejantas tidak didahulukan manakala pencapaiannya hanyalah peningkatan dalam kemalangan jalanraya.

Jadi hari ini, tiga Majlis Perwakilan Penduduk di DUN Semenyih iaitu ZON 18, ZON 17 dan ZON 15 serta PSM Semenyih dan MTD PAS turun bersama membuat bantahan serta mengutarakan keluhan rakyat Semenyih berhubung isu ketiadaan jejantas ini.

Kami berharap pihak JKR dan Kerajaan Persekutuan tidak terus memberi alasan dan melengahkan masa. Setiap detik kelewatan adalah satu ancaman kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat di Semenyih dan kawasan sekitarnya.

Kami menuntut Menteri Kerja Raya dengan serta merta memberikan lampu hijau untuk membina jejantas ini demi keselamatan kanak-kanak sekolah dan masyarakat setempat yang biasa menggunakan jalan ini.

Jangan tunggu sampai ada trajedi, untuk melaksanakan pembinaan jejantas ini !
Bertindak Sekarang

Jurucakap

S.Arutchelvan
Pengerusi MPP zon 18

No comments:

Post a Comment