Sunday, February 16, 2014
Retreat PSM Semenyih
Hari ini, 16/2/2014, PSM Semenyih telah membuat "Retreat" tahunan. Ianya diadakan untuk mengimbas kembali kerja-kerja yang telah dilakukan selama setahun yang lepas serta untuk membincangkan aktiviti dan starategi PSM Semenyih bagi tahun yang akan datang.
Kaunter Aduan Gaji Minima di Pasar Pagi, Semenyih
Hari ini 16/2/2014, PSM Semenyih telah membuka kaunter aduan Gaji Minima di Pasar Pagi, Semenyih. Tujuan utama kaunter aduan ini adalah untuk merekod sebarang aduan berhubung majikan yang enggan membayar gaji minima RM900 kepada para pekerjanya. Kerajaan telah mengumumkan bahawa mulai January 2014, pihak majikan dikehendaki membayar pekerjanya RM900 sebagai gaji minima. Majikan yang gagal melaksanakan perintah ini akan berhadapan denda sebanyak RM10,000.
Di samping, PSM Semenyih turut mengambil kesempatan untuk menjual Akhbar Sosialis kepada orang awam yang mengunjung Pasar tersebut. Sdr. Arul turut berada di Pasar dan bertemu bual dengan para pengunjung.
Sunday, February 9, 2014
ROADSHOW PSM JELAJAH SELANGOR & KL (7,8 & 9 Februari 2014)
PSM DISAMBUT BAIK
DI SEMUA PEKAN DAN BANDAR YANG DIKUNJUNGI
Kempen Jelajah PSM “Berjuang Bersama Rakyat” selama 3 hari (7 hingga 9hb)di Selangor dan Kuala Lumpur berakhir dengan penuh semangat di Brickfields, KL semalam. Selangor, destinasi kedua dalam jelajah yang telah dilancarkan pada 24hb Januari di Setiawan, Perak dan akan diteruskan lagi ke 11 buah negeri lagi. Jelajah di Selangor dan Kuala Lumpur bermula pada (7hb) dan berakhir pada 9hb Februari 2014.
Rombongan PSM seramai 40 orang ahli dan pimpinan bertolak dari utara Selangor Sabak Bernam sebagai permulaan perjalanan menjelajah di Selangor. Jelajah kali ini diteruskan dalam keadaan di mana pilihanraya kecil Kajang yang diumumkan dalam keadaan yang kontroversi oleh PKR, di mana Datuk Seri Anwar akan bertanding di Kajang. PSM yang selama ini berkhidmat di Kajang telah diminta oleh ramai penyokong untuk turut bertanding dalam pilihan raya kecil yang mana membuatkan kaum aktivis dan sesetengah rakyat marah kerana PKR menggunakan PRK Kajang ini untuk menyelesaikan masalah dalaman. Justeru, kami meneruskan jelajah ini dengan sedikit tekanan daripada keadaan politik semasa. Walaupun dalam keadaan begini, segala persiapan untuk jelajah hari pertama di Selangor diteruskan dengan penuh semangat dan dengan penuh effisien. Tujuan asal PSM menjalankan roadshow ini adalah untuk memperkenalkan parti kepada rakyat Malaysia dan mempertengahkan isu-isu sebenar yang dirasakan oleh rakyat dan ia merupakan fokus ahli PSM.
Ketibaan kami di Pekan dan Pasar Pagi Sabak Bernam pada hari pertama telah memberikan satu motivasi dan senyuman lebar di muka semua ahli PSM apabila kedatangan kami disambut dengan penuh mesra oleh penduduk tempatan di Sabak Bernam. Kami tidak sangka bahawa makcik-makcik dan Pakcik-pakcik yang mengunjungi dan berniaga di pasar pagi mengenali PSM serta memberikan sambutan yang cukup bagus dengan memberitahu kami bahawa mereka amat menghormati perjuangan PSM dan mereka kata mereka sentiasa menyokong PSM. Terdapat juga seorang Pakcik yang menderma RM 50 dan berkata anda sedang membuat kerja yang berfaedah.
Sambutan yang sama juga diberikan di kesemua pasar pagi yang dikunjungi seperti di Sungai Besar, Kapar, Klang dan Subang Jaya pada hari kedua dan ketiga. Apa yang kami dapat lihat dikalangan rakyat adalah kemarahan kerana kenaikan harga barang yang drastik serta cadangan kerajaan untuk laksanakan Cukai GST. Rakyat amat marah dan kehadiran kami pada waktu ini telah membantu rakyat untuk memahami lebih lanjut tentang cukai GST dan segala macam isu di Malaysia. Kami turut mengajak kesemua yang telah memberikan sokongan untuk menyertai bantahan membantah GST pada 1hb Mei nanti.
Kami juga meneruskan edaran risalah di beberapa Bandar besar dan pekan-pekan kecil untuk popularkan PSM dan juga mendekati dan memberikan kesedaran kepada rakyat berkenaan cukai GST, perjanjian TPPA, Aduan Akta Gaji Minima dan menjual akhbar Berita Sosialis. Kami turut dikunjungi oleh rakan-rakan dari Pakatan Rakyat dan daripada Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM). Pada masa yang sama, beberapa pegawai polis khas juga tidak ketinggalan dan turut mengikuti rombongan kami namun tidak banyak gangguan daripada mereka.
Pada hari pertama kami telah edarkan ribuan risalah dalam pelbagai bahasa di tempat-tempat seperti Pekan Sungai Besar, 2 buah Masjid di Sungai besar, Bandar Sekinchan, Bandar Tanjung Karang dan Pasir Penumpang. Kami mendapat sambutan menggalakkan dikesemua tempat ini khususnya di Bandar Sekinchan dan Pasir Penumpang dimana kami dapat berinteraksi bersama ramai penduduk tempatan dan telah memberikan kesedaran tentang Cukai GST khasnya.
Pada hari kedua, kami telah berkunjung ke Bandar-bandar seperti Bandar Bukit Tinggi, Bandar Pandamaran, dan Shah Alam. Semasa kami edar risalah di bangunan PKNS Shah Alam, kami menghadapi sedikit gangguan daripada pegawai keselamatan disana tetapi selepas menerangkan tujuan PSM membuat edaran risalah ini maka kami telah mendapat kebenaran untuk teruskan pengedaran risalah. Apabila kami membuat edaran risalah dikawasan dimana kebanyakan orang Cina seperti Sekinchan dan Bukit Tinggi ramai yang mengenali PSM melalui perjuangan PSM dalam isu Kg Hakka. Kami diterima baik oleh penduduk-penduduk tempatan yang kami percaya amat peka kepada isu dan politik semasa.
Pada hari ketiga pula kami telah berkunjung ke Pasar pagi Subang Jaya, kemudian ke Petaling Jaya Old Town dan kemudian edar risalah di Chow Kit, Sogo, Jalan Tunku Abdul Rahman, Lebuh Ampang dan akhirnya di Brickfields. Selain edaran risalah, anak-anak muda PSM turut mempelbagaikan roadshow ini dengan membuat persembahan di hadapan Sogo. Lagu-lagu rakyat dinyanyi di hadapan orang awam yang berehat dan berlepak di sekitar Sogo.
Dalam 3 hari ini, ahli- ahli PSM berjaya mengedarkan sekurang-kurangya 40,000 risalah di kesemua tempat yang dikunjungi. Ini adalah melebihi jangkaan kami dan kami gembira kerana kami dapat edarkan risalah kepada orang ramai.
Dua ceramah telah adakan dalam 3 hari roadshow ini. Pada hari pertama ceramah diadakan dihadapan Pusat Perkhidmatan Saudara Manikavasagam. Ia merupakan satu ceramah yang cukup bersemangat dengan sokongan dan laungan daripada penduduk tempatan yang berterusan sehingga akhir ceramah. Antara penceramah-penceramah yang hadir selain MP Sungai Siput dan AJK Pusat PSM Dr Kumar, Setiausaha Agung PSM Saudara Arul adalah Saudara Manikavasagam, Ketua Pemuda Sosialis Bawani, Saudara Chon Kai, AJK Pusat PSM dan Ahli Majlis Kuala Selangor Puan Marina dan Encik Trimurti. Kehadiran lebih daripada 150 orang penduduk tempatan dan mesej untuk membantah GST dan kesemua penceramah dan memohon agar semua rakyat turut serta PSM dan rakan-rakan dan parti politik yang lain pada 1hb Mei, hari Turun Bantah GST di Kuala Lumpur. Pada hari kedua, ceramah telah diadakan Seksyen 7 UITM Shah Alam. Saudara Mat Sabu, hadir untuk beri solidariti kepada PSM . Selain Saudara Sabu, Saudara Adam Adli aktivis mahasiswa turut hadir untuk berikan sokongan.
Roadshow yang bermula di Sabak Bernam telah tamat di Brickfields dengan penuh semangat ini amat bermakna dan memberikan motivasi untuk meneruskan roadshow ini untuk hari kedua yang akan bermula di Negeri Sembilan dan Melaka. Komitmen ahli-ahli PSM yang sentiasa tepati masa, dan membuat edaran risalah tanpa mengira cuaca panas dan terik telah membuahkan hasil. Koordinator Parames yang sentiasa mengingatkan program akan datang dan koordinasi setiap perkara dengan bagus juga antara faktor yang menjayakan roadshow kali ini.
Suasana dimana kami berkonvoi dengan lebih kurang 15 buah kereta dan 2 buah Hilux dengan memasang lagu-lagu rakyat, serta dengan kibarkan bendera PSM sepanjang jalan. Kami dapat melihat ada reaksi daripada orang ramai dengan ada yang akan mengangkat tangan Kiri sebaik sahaja melihat kami di pekan mereka atau ada yang akan hon tanda sokong.
Apa yang pasti, PSM tidak asing lagi untuk penduduk di Sabak Bernam, Sekinchan , Subang Jaya, Pandamaran, Klang, Kuala Selangor dan kesemua tempat yang kami kunjungi.
Untuk segala maklumat lanjut sila layari laman web kami iaiti www.partisosialis.org atau Facebook: https://www.facebook.com/partisosialis atau twitter: @partisosialis
Salam Perjuangan.
PSM BERJUANG BERSAMA RAKYAT
Dikeluarkan Oleh,
Nalini E
Penyelaras Media Kempen
PSM Berjuang Bersama Rakyat
Sunday, February 2, 2014
Mesyuarat Bersama Jawatankuasa Ladang Bangi
Hari ini, 2/2/2014, satu mesyuarat telah diadakan bersama Jawatankuasa Ladang Bangi untuk membincangkan isu perumahan. Pada keesokkan hari, satu menyuarat akan diadakan bersama EXCO Perumahan Kerajaan Negeri Selangor YB Ganapathy Rao untuk membincangkan isu perumahan Ladang Bangi yang masih berlarutan sekian lama.