berbincang dengan pekerja di taman terbuka |
Menurut penduduk berkenaan, pihak peguam negara harus berpihak kepada
kehendak rakyat tetapi setelah melihat pendakwaan oleh pihak timbalan
pendakwaraya seolah memberikan laluan kepada pemaju untuk terus
menjalankan aktiviti tanpa menghindar keselamatan penduduk.
Tuduhan pertama melibatkan dua orang penduduk Green Cow yang didakwa di bawah seksyen 341KK kerana menghalang lori pemaju.
Manakala tuduhan kedua melibatkan seorang aktivis PSM dan dua
penduduk Green Cow sebelum ini dibebaskan oleh Mahkamah Majistret
Cameron kerana tiada kes bagaimanapun pendakwaraya membuat rayuan di
Mahkamah Tinggi Temerloh. Kes ini akan disebut semula pada 2 Oktober
ini.
Mewakili rombongan menyerahkan memorandum kepada Peguam Negara di
sini Suresh Kumar berkata, mereka bertindak menghalang pemaju kerana
nyawa penduduk Green Cow terancam dengan kerja-kerja pemaju.
Malah beliau percaya, polis Cameron Highland dari awal lagi berpihak
kepada pemaju dan ingin membalas dendam kerana kalah dalam kes pertama.
Buktinya, kata beliau, polis menahan penduduk dan aktivis PSM di atas
tanah milik persendirian tanpa perintah mahkamah pada 13 Oktober 2011.
Malah tambahnya, polis tidak mengambil apa-apa tindakan ke atas
pemaju walaupun penduduk ada membuat banyak laporan polis, selain tidak
mengambil sebarang tindakan ke atas pemaju yang menggunakan gangster dan
pistol untuk pecah kandang kambing penduduk.
Beliau menyifatkan dakwaan ini 'mala fide' apabila pihak berkuasa
menggunakan seksyen 341KK yang mana ia digunakan untuk salahlaku
mengurung atau menghalang seseorang, malangnya dalam kes ini polis
Cameron Highlands mentafsirkan seksyen ke atas mereka yang cuma
menghalang pemaju bekerja.
Suresh turut mempersoalkan, mengapa pihak polis hendak
mengklasifikasikan kes ini sebagai jenayah walhal pihak pemaju sudah pun
mengambil kes sivil di mahkamah?
"Apakah niat untuk mendakwa mereka dalam tuduhan jenayah apabila
isu-isu cukup jelas ia adalah isu kes sivil?" katanya yang turut
ditemani Setiausaha Agung PSM S.Arutchelavan.
Memorandum tersebut diserahkan kepada wakil Peguam Negara, iaitu Pegawai Perhubungan Awam Nasrudin Mahmud.
Sebelum ini, Majistret Cameron Highlands Nik Habri Muhamad telah
membebaskan kesemua tiga orang pada 30 Julai 2012 kerana ada isu
keselamatan rumah penduduk Green Cow, pemandu jentolak tiada lesen
memandu jentolak dan permit menolak tanah pemaju meragukan.
Bukan itu sahaja, baru-baru ini Pesuruhjaya Suhakam Muhammad Shaani
Abdullah dalam lawatannya ke kawasan berkenaan pada 16 September 2012
mendapati isu keselamatan penduduk adalah sahih.
Green Cow adalah kawasan berbukit yang terletak di persimpangan jalan
Sungai Palas, ia termasuk di dalam kawasan Kea Farm, Cameron Highlands.
Majlis Daerah Cameron Highlands telah meluluskan projek membina enam
blok kedai pejabat empat tingkat berjumlah 65 unit dan 256 unit tempat
letak kereta dengan nilai projek RM20 juta.
Dengan pembinaan struktur besar ini, rumah penduduk Green Cow yang
terletak di bawah kaki bukit terdedah kepada batu dan tanah runtuh,
ianya mengancam nyawa penduduk dan pengguna jalan raya.
-harakahdaily