Thursday, June 10, 2010

4-6 Jun - KONGRES KE 12 PSM

















RESOLUSI KONGRES PSM KE-12

6 Jun 2010
Kuala Lumpur

1. PSM menolak Model Ekonomi Baru yang berasaskan kepentingan golongan elit kapitalis. PSM menuntut negara kebajikan untuk Malaysia.
2. PSM menuntut supaya hak dan kebajikan pekerja dilindungi melalui:
1. Penggubalan Akta Gaji Minima.
2. Bank Negara lebih aktif dalam menyelesaikan masalah rakyat dalam krisis ekonomi.
3. Hentikan pembuangan kerja yang memangsakan pekerja sewaktu krisis ekonomi.
4. Perlindungan hak pekerja migran.
3. PSM membantah sekeras-kerasnya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), cukai yang memiskinkan rakyat.
4. PSM menuntut pemansuhkan akta-akta zalim ataupun menyekat kebebasan rakyat seperti ISA, AUKU, OSA, PPPA dan sebagainya. PSM menuntut supaya kerajaan menggubal Akta Kebebasan Maklumat dan Akta Kebebasan Media.
5. PSM menentang segala cubaan serangan neo-liberal daripada pihak pemerintah yang mengurangkan perbelanjaan sosial dan memindah beban kewangan kepada rakyat miskin. PSM menuntut:
1. Subsidi ke atas keperluan asas dikekalkan.
2. Batalkan rancangan untuk kenaikan harga minyak.
3. Sumber minyak dan gas di Malaysia dimiliknegarakan
4. Kerajaan menghapuskan tol.
6. PSM membantah sekeras-kerasnya penswastaan perkhidmatan awam seperti air , kesihatan dan sebagainya. PSM juga menuntut pendidikan percuma untuk semua sehingga ke peringkat universiti dan perumahan selesa untuk rakyat.
7. PSM mengutuk PERKASA yang mempermainkan politik perkauman dan memecah-belahkan rakyat.
8. PSM menuntut supaya kerajaan mengambil tindakan konkrit untuk melindungi alam sekitar termasuk:
1. menghentikan semua projek-projek yang membinasakan alam sekitar.
2. Menghentikan rancangan pembinaan reaktor nuklear.
3. Mengalihkan bahan buangan radioaktif dari negeri Perak yang mengancam alam sekitar dan kesihatan rakyat.
4. PSM menyokong perjuangan penduduk Bukit Koman dalam menghentikan keracunan cyanide oleh lombong emas
9. PSM membantah pemberian lesen judi bola yang memberi kesempatan kepada kapitalis kroni untuk menipu wang rakyat.
10. PSM menuntut pentadbiran kerajaan yang bersih, telus dan demokratik:
1. Membantah sekeras-kerasnya kuasa polis yang menembak mati rakyat biasa.
2. Mengutuk pihak yang menghalang perhimpunan aman rakyat.
3. Menghapuskan rasuah, kronyisme dan nepotisme dalam kerajaan di semua peringkat, dari Persekutuan, Negeri, sehingga ke tempatan.
4. Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dijadikan badan yang bebas daripada campurtangan politik.
11. PSM menuntut kerajaan negeri termasuk kerajaan Pakatan Rakyat mengadakan Pilihanraya Kerajaan Tempatan.
12. PSM menuntut undang-undang yang menghalang wakil rakyat daripada melompat parti sesuka hati.
13. PSM menuntut kerajaan untuk mengiktiraf status pelarian dan melindungi hak pelarian.
14. PSM menuntut kerajaan supaya implemen Yogyakarta Principles, satu Undang-undang Hak Asasi Manusia yang berkenaan dengan orientasi seksual dan identiti gender.
15. PSM mengutuk tindakan Israel menyerang kapal-kapal yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza dan menghentikan sekatan (blockade) ke atas Gaza.
16. PSM membantah sekeras-kerasnya cubaan Amerika Syarikat untuk menghancurkan perkembangan sosialisme di Latin Amerika dengan mengintimidasi Venezuela melalui pengkalan tentera di Colombia.
17. PSM mengutuk dengan sekeras-kerasnya tindakan kerajaan Abhisit memukul secara kejam ke atas pergerakan pro-demokrasi Baju Merah di Thailand.
18. PSM menyokong perjuangan rakyat di seluruh dunia dalam menentang serangan kerajaan-kerajaan kapitalis ke atas perlindungan sosial dan kebajikan rakyat biasa dalam krisis ekonomi dunia.

Dikeluarkan oleh
S. Arutchelvan
Setiausaha Agung

30-5 – Kuil Nading bakal menimbul kontroversi






Saya dijemput ke program Mesra Rakyat dimana mereka telah memacak satu papantanda tapak kuil untuk kawasan Nading. Program ini mendapat sambutan elbih 500 orang penduduk dari kawasan sekitar. Namun ada segelintir penduduk di kawasan itu yang membantah pembinaan kuil ini ia adalah kawasan majoriti Melayu.

Dulu tempat ibadat dilihat sebagai satu tempat suci, aman dan harmoni. Hari ini, tempat ibadat dilihat sebagai satu kacauganggu kepada penduduk setempat. Pihak mana yang benar dan pihak mana yang salah. Di Pulau Pinang, kuil , masjid, gereja dapat hidup bersama dengan harmoni untuk berdekad-dekad...apa sudah jadi kepada negaraku ini.

Beberapa persoalan wujud?

1. Hak beragama?
2. LA 21 – penduduk setempat mesti dibincang dahulu sebelum projek pembangunan ?
3. Kacauganggu?
4. Tanah sudah dicadangkan semasa Kerajaan terdahulu dan kerajaan sekarang sudah memberikan tanah tersebut?

Hanya sikap toleransi bersama manusia dapat menyelesaikan konflik berunsur perkauman ini.

29 Mei 10 - Tong misteri di Taman Manikavasagam



Beberapa tong telah diletakkan tersadai di tanah lapang berhampiran perumahan penduduk di Taman Manikavasagam,. Penduduk mengadu bahawa mereka khuatir ia mengandungi bahan kimia merbahaya. Mereka dikatakan membuat satu projek di tanah lapang dan kemudian berpindah keluar. Saya melawat tempat itu dan akan mengadu kepada jabatan Khidmat masyarakat dan Alam Sekitar untuk tindakan mereka.

29-5 Lampu berapi di Broga




Lawatan saya ke Broga memperlihatkan dua masalah berkaitan dengan lampu. Satu adalah ada lampu yang disebabkan litar-pintas, kelihatan api keluar manakala isu kedua adalah lampu-lampu baru yang dibekalkan MPKJ masih belum dimaklumkan kepada TNB Nilai yang membekalkan bekalan. Aneh, kami naik tiang lampu di Selangor tetapi ia dikawal dari negeri Sembilan...maklumlah Broga- pekan sempadan Selangor- Negeri Sembilan.

29 Mei 2010 - SEMENYIH ZON 18– MPP PERTAMA NAIK BANER PEMANTAUAN ADUAN







Zon 18, MPP merupakan zon pertama dimana kami telah menaikan baner pemantauan aduan mengenai sampah, rumput dan longkang. Baner pemantauan rakyat ini mempunyai nombar handphone Kontrakter sampah, nombor Pengawas MPKJ dan Pengawas Alam Flora.

Dengan adanya baner kenyataan ini, diharap rakyat dapat memantau kawasan masing-masing dan membuat aduan. Ini sedikit sebanyak memperkasakan rakyat sebagai agen menuntut perubahan.

Petugas PSM berserta dengan Pemimpin Persatuan Penduduk bersetuju mengambil tanggugnjawab menjaga baner ini

28 Mei - Roadshow PSM di Kedah






Hari ini, PSM telah mengadakan Road show di Kedah. Aktivis PSM mengedarkan risalah mengenai PSM dan bahaya GST. Kami telah berkunjung ke Sg. Petani, Kulim dan Padang Serai. Komrad Saras sempat berucap selepas sembahyang Jumaat membantah judi bola. Kami turut berjumpa dengan beberapa bekas tahanan dan kawan kiri lama. Selain itu, kami bertemu dengan pekerja Ladang Victoria, Padang Serai yang mengalami masalah perumahan. Saya dan Dr. Nasir juga berceramah di Kulim mengenai kepincangan ekonomi Najib. Bendera PSM turut dikibarkan dalam ceramah ini. Semasa kami balik ke KL, kereta Dr. Nasir mengalami satu puncture tetapi ia dapat dibaiki. Program di kedah boleh dikatakan berjaya memperkenalkan PSM di Kedah.

26m Mei - Makan malam bersama kalai dan Ganga



Kalai Jothi, Komrad kita dari Penang telah berkhawin dengan Sdr. Gangatheran pada 2 Mei. Kami semua dari PSM dan CDC Kajang tidak dapat hadir dan telah mempelawa jodoh ini untuk satu makan malam di lotus PJ, Jalan Gasing. Mesra dan ceria pertemuan ini dimana beberapa ucapan ringkas diberi.

24 hingga 26 Mei - KES PROTES kenaikan harga minyak




Untuk tiga hari berturut-turut, kes Protes kenaikan harga berlangsung di mahkamah session KL. Saya turut dituduh atas tuduhan perhimpunan haram. Selain saya, ramai VIP yang kena tahan termasuk Dr. Nasir, Muhammad sabu, Dr. Hatta, Tian Chua, Dr. Dzulkifli, Badrul Amin, Saraswathy, V.Selvam, Kohila dan sebagainya. Selain itu anggota Unit Amal turut tertangkap. selain itu, ramai aktivis PSM dan JERIT turut ditahan.

Kes sungguh lucu apabila setiap pegawai polis yang hadir akan cuba menghalalkan tindaan mereka walaupun pada hari tersebut, tidak ada pun perhimpunan haram. Bagi kami, kes ini sungguh membosankan dan meletihkan.

23-5 Dialog isu CF di Sri Tanjung






Hari ini satu dialog diadakan oleh Persatuan Penduduk Taman Sri Tanjung dibawah Encik Karim untuk membincangkan isu mengenai CF di taman tersebut. Dalam dialog yang dihadiri ramai penduduk di taman tersebut. Isu utama adalah isu dimana CF didakwa penduduk diberi lambat. Ramai diantara mereka sudah membuat ubahsuai rumah kerana tidak lagi dapat menanti CF diberi. Kini mereka tidak mendapat CF kerana rumah mereka sudah diubahsuai dan ini juga adalah satu kesalahan dibawah MPKJ. Saya hari ini berkata jika pemaju yang salah, maka kita akan meminta pemaju membayar pampasan dan menanggung kos denda lewat summit pelan tetapi jika penduduk yang bersalah, maka mereka akan mengambil pelan secara kolektif dan membuat permohonan bersama. Saya juga berjanji akan mendesak bahagian bangunan MPKJ meminta pemaju mengemukan bukti penyerahan Borang E. Selain itu, mesyuarat juga berbincang beberapa isu seperti isu pengutipan sampah dan sebagainya.

23 Mei - Srikandi Suraini dikenang dibumi Semenyih












Pertandingan Bola Baling Wanita Piala Srikandi Suriani, julung kali diadakan di bumi Semenyih pada hari ini Sebenarnya, niat untuk mengadakan satu pertandingan untuk kaum wanita bagi mempopularkan Srikandi Suriani sudah lama wujud. Namun, pertandingan ini tidak dapat dijalankan akibat kesibukan dalam program masyarakat yang lain. Akhirnya perkara ini menjadi kenyataan pada minggu lalu. Pertandingan ini merupakan anjuran bersama Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT), PSM Semenyih dan Sdr. Arul selaku Ahli Majlis MPKj Zon 18.

Seramai lima pasukan yang berbilang kaum telah mengambil bahagian dalam pertandingan ini. Para pemain pula, yang terdiri daripada pelajar sekolah, ibu tunggal, suri rumah, dan para pekerja yang berusia melebihi 20 tahun turut mengambil bahagian dalam pertandingan ini. dri Irene Xavier, seorang aktivis wanita, selaku tetamu khas telah merasmikan pertandingan ini. Beliau telah berkongsi mengenai perjuangan Srikandi Suriani menentang pihak Jepun dan penjajah British. Beliau berharap para pemain yang berwajah comel seperti Suriani dapat berjuang dalam hidup menentang penindasan.

Pertandingan diadakan secara liga. Juara pertandingan Piala Srikandi Suriani adalah pasukan RV dari Taman Sri Tanjung, Semenyih. Namun, agak lucu, pertandingan yang sengit berlaku di antara pasukan Black Roses dan PSM Semenyih untuk menentukan tempat yang keempat dan kelima. Akhirnya, PSM Semenyih telah memenangi tempat keempat dengan balingan penalti “sudden death”.

Sdr. Arul ketika menyampaikan hadiah telah mengucapkan syabas kepada kaum wanita yang mengambil bahagian dalam pertandingan bola baling Piala Srikandi Suriani dan semangat kesukanan yang terdapat pada diri mereka.

Kaum wanita sering digambarkan sebagai lemah lembut, lemah dan suka menangis, tetapi jangan lupa “Tangan yang Menghayun Buaian itu Boleh Menggoncang Dunia” . Ini telah dibuktikan oleh Sri Kandi Suriani melalui jasa, sumbangan, pergorbanan dan perjuangannya. Piala Sri Kandi Suriani ini juga diadakan sebagai menghargai hak kaum wanita pada masa kini.

SURAINI (1924- )

Kita sering mendengar tokoh-tokoh dan pejuang kemerdekaan yang terdiri dari kaum lelaki. Dalam sejarah yang dipelajari, kita jarang mendengar mengenai tokoh wanita yang gagah berani dan memperjuangkan kemerdekaan. Sebenarnya ramai wanita yang terlibat dalam gerakan kemerdekaan dan Sri Kandi Suriani merupakan salah seorang tokoh yang banyak membuat pergorbanan demi perjuangan!

Sri Kandi Suriani Abdullah lahir pada 23 Januari 1924 di Sitiawan, Perak. Pejuang progresif ini lahir dalam zaman kesedaran nasional rakyat tanah jajahan. Tanah Melayu pada masa itu dijajah oleh British dan sedang bergelora dengan kebangkitan rakyat. Kebangkitan ini telah menempa beliau dari seorang gadis ”bagaikan mutiara di tapak tangan” berubah menjadi seorang pejuang wanita yang unggul dan bercita-cita tinggi demi keadilan masyarakat dan kemerdekaan negara.

Di zaman mudanya, Suriani (Eng Ming Ching pada masa itu) aktif dalam pendidikan, kesenian dan sukan. Beliau juga gemar membaca sejak sekolah rendah lagi. Semasa bersekolah di Nan Hwa High School, beliau terpengaruh dengan pandangan progresif seorang gurunya. Guru tersebut mendidik Suriani menjadi seorang manusia yang berguna kepada masyarakat.

Setelah Perang Anti-Jepun meletus, Suraini terpengaruh dengan gerakan pelajar anti-Jepun. Beliau yang merupakan satu-satunya anak perempuan yang disayangi mengambil keputusan untuk meninggalkan keluarganya. Suriani tidak sampai hati untuk berpisah dari keluarganya tetapi beliau terpaksa memilih garis pemisah yang jelas, antara ikatan keluarga dan perjuangan.

Pada masa itu, terdapat dua parti politik yang aktif menentang penjajahan; KKM (Kesatuan Melayu Muda) dan PKM (Parti Komunis Malaya). Suriani menyertai Tentera Pembebasan Tanahair iaitu Rejimen Ke-10.

Suraini pernah melalui masa sejarah dan peringkat perjuangan yang penting sehingga merdeka dicatatkan di sebelah:
1. Perjuangan Anti-Jepun (1941-1945)
2. Perjuangan Secara Berperlembagaan Selepas Jepun Kalah (1945-1948)
3. Perang Pembebasan Nasional Anti-British (1948-1957)

Beliau pernah ditangkap oleh tentera Jepun dan dipenjarakan. Namun, semangatnya yang gagah dan berani menyebabkan Suriani tidak pernah tunduk kepada kekejaman penjajah. Semangat dan penampilan pejuang wanita ini diberi pengiktirafan dan diberi gelaran ”SRIKANDI ANTI-JEPUN”.

Setelah itu, Suriani banyak terlibat dalam pertempuran gagah berani melawan penjajah British. Beliau pernah menghadapi serangan udara dan darat. Selepas itu, Suriani meneruskan perjuangan revolusioner dalam negara.

Semasa perjuangannya Suriani pernah berkhidmat di Perak, Singapura dan Kuala Lumpur. Beliau banyak memegang jawatan dan peranan yang penting. Beliau banyak memberi sumbangan kepada Rejimen Ke-10 dan berjuang bersama-sama tokoh seperti Abdullah CD dan Rashid Maidin sehinggalah termeterai Perjanjian Damai Haadyai di antara Kerajaan Malaysia dan PKM. Suriani telah berumahtangga dengan Abdullah CD dan kini menetap di Selatan Thailand.Pada tahun 1999, Suriani dan Abdullah CD mengerjakan Haji di Mekah.

Selepas termeterainya perjanjian damai itu pada tahun 1989, Suriani dan suaminya balik ke Malaysia sebanyak dua kali. Sultan Perak, Sultan Azlan Shah juga memperkenan mereka menghadap baginda pada 1 Disember 1998.

Sejarah mungkin tidak menghargai tokoh wanita seperti Suriani. Malah, banyak sejarah sebenar PKM menuntut kemerdekaan juga banyak diputarbelitkan. Semasa perjuangan Suriani dan rakan-rakannya dalam PKM, mereka banyak mendapat sokongan rakyat dan pernah diberi sambutan wira masyarakat.

Oleh itu, Piala Sri Kandi Suriani ini diadakan bagi memperingati jasa wira-wira negara yang banyak melakukan pergorbanan demi kepentingan masyarakat.

DIPETIK DARI - BLOG jerit.org