Wednesday, July 16, 2008
Polis Kunjung ke rumah Arul
Saya kemudian telepon Insp Saiful dan beliau memberitahu bahawa polis hendak ambil kenyataan saya mengenai PROTES yang berjalan di Stadium Kelana Jaya. Saya tanya ini arahan siapa dan beliau menjawab bahawa ini adalah arahan ketua Polis Selangor dan beliau menolong polis disana untuk ambil kenyataan. Saya memberitahu saya sibuk pada hari isnin tetapi meminta polis samada mereka hendak berikan saya sapina 111. Beliau cakap jika saya mahu datang , tak perlu beliau berikan saya notis 111.
Pada hari Isnin, saya mendapat satu sms dari beliau yang suruh saya datang ke IPD Kajang pada 9.30pagi Selasa. Saya cakap dan suruh polis keluarkan notis 111 untuk membolehkan saya hadir untuk beri keterangan.
Saya masih menunggu notis 111 atau waran tangkap. Untuk pengetahuan semua, jika polis minta kita beri keterangan, kita ada hak untuk meminta polis notis 111 dibawah kanun Acara jenayah (KAJ). Hanya setelah kita mendapat notis 111, baru kita dapat pastikan samada apakah laporan yang disiasat oleh polis dan sebagainya.
Angkat sumpah and attire pakaian
Pada 8 Julai 2008, saya telah mengambil sumpah sebagai Ahli Majlis Kajang di Bangunan MPKj yang baru. Sebelum hari-hari tersebut, saya sungguh tertekan kerana pakaian formal untuk angkat sumpah adalah "lounge suit". Saya keberatan kerana saya memang tidak mempunyai lounge suit dan saya memang tak selesa memakai satu.
Pada 5hb. Julai 2008, semasa kami disuruh memakai baju batik untuk mengambil watikah pelantikan ahli majlis dari Menteri besar Selangor. Hanya dua orang yang tidak memakai baju batik iaitu baju rasmi untuk upacara tersebut. Dua orang tersebut adalah sdr. Selvam - Ahli JK Pusat PSM dan saya yang memakai baju t-shirt anti ISA. Maka semua mata memandang kepada kami.
Pada 8hb. Julai, setelah banyak berbincang dengan kawan-kawan lain, akhirnya saya berkompromi dan memakai baju kemeja lenggan pendek. Pakai baju kemeja lenggan pendek pun dapat reaksi dari ramai orang, " Woh ! smartlah arul hari ini " dan sebagainya. Pada hari tersebut hujan lebat. Apabila saya sampai ke MPKj dengan kereta kelisa Letchimi, pengawal MPKj cukup genbira. Dia bercakap, "patutlah hujan hari ini, Ahli Majlis Arul datang dengan kereta dan bukan motorsikal". Nampaknya itulah imej saya dikalangan pekerja biasa di MPKj.
Namun dalam upacara formal tersebut. Hanya saya seorang sahaja yang tidak memakai lounge suit sehingga YDP MPKj semasa ucapannya sering meminta Ahli Majlis mengikuti etika pakaian kerana ia adalah undang-undang. Selepas upacara itu, seorang juru-ukur pakaian pula mengambil ukuran setiap Ahli Majlis untuk memastikan kita memakai pakaian rasmi semasa Majlis pertama pada 30hb. Julai 2008.
Semasa dalam lobby, seorang Pegawai MPKj bertanya kepada saya, " Mengapa Encik Arul tidak mahu pakai lounge suit?". Saya menjawab bahawa semasa taklimat yang saya hadiri di SUK tempoh hari, saya diberitahu bahawa tugas Ahli Majlis adalah - S L R L J iaitu sampah, longkang, rumput, lampu dan jalan. Itulah skop tugas kita dan saya tidak lihat ada apa yang kena mengena dengan lounge suit.
Namun pada hari tersebut, sayalah ahli Majlis yang dihadiri oleh ramai kawan walaupun saya tidak menghebohkan kepada sesiapa. Ada yang membawa bunga.
Maka itulah kisah saya mengambil sumpah. Taklimat untuk hari Majlis adalah pada 22hb. Julai 2008 manakala Mesyuarat Ahli Majlis pertama adalah pada 30hb. Julai 2008.
PROTES JALANRAYA DAN PROTES STADIUM
PROTES JALANRAYA DAN PROTES STADIUM
Pada 6hb. Julai 2008, sejarah tidak dapat dicipta. Perhimpunan rakyat tidak dapat memobilisasi 1 juta rakyat mahupun tidak dapat mengatasi angka yang dicapai semasa perhimpunan BERSIH pada 10hb. November 2008 mahupun perhimpunan HINDRAF pada 25hb. November 2007. Malah dua-dua perhimpunan tadi tidak diadakan dalam stadium malah kedua perhimpunan tersebut digertak lebih teruk daripada perhimpunan PROTES malah sekatan jalan pun lebih banyak, lebih menyusahkan orang dan tindakan polis pula lebih zalim dan lebih keras.
Namun perhimpunan PROTES berjaya memobilisasi lebihkurang 35 ribu orang pada waktu malam dan ini tidak termasuk lebihkurang 10 hingga 15 ribu disebelah pagi. Jika dijumlahkan, maka ia mungkin dapat mencapai angka 50 ribu. Iaitu kurang 950 ribu untuk mencapai angka satu juta. Memang angka satu juta adalah sesuatu yang mustahil. Di bandaraya Bangkok dan Jakarta yang mempunyai populasi yang jauh lebih besar dari Kuala Lumpur pun, mereka tidak mampu memobilisasi 1 juta orang apatah lagi Bandaraya Kuala Lumpur yang populasinya sekitar 1.5juta orang. Oleh yang demikian, angka satu juta yang diperli oleh Najib sememangnya satu angka yang tidak realistik dan sesuatu yang tidak dapat dicapai.
Ini mungkin pengajaran kepada beberapa pihak yang suka kepada permainan nombor padahal mereka sendiri tidak mempunyai kemampuan untuk memobilisasi orang sejumlah itu. Saya pernah mengatakan sebelum ini dalam satu wawancara dengan majalah Greenleft bahawa jika kita mencapai angka 100,000, itu sudah cukup hebat dan angka satu juta adalah sesuatu yang tidak realistik malah andaikata kita dapat memobilisasi satu juta rakyat maka pada hakikatnya ia adalah suatu kuasa yang cukup besar untuk memperlihatkan kejatuhan mana-mana kerajaan. Kita dapat melihat angka-angka sedemikian semasa Revolusi Iran, People Power di Philippines dan semasa kejatuhan Blok-blok Kiri pada tahun 1989-90.
Penganjur PROTES telah menerima kecaman pelbagai pihak kerana menukar tempat perhimpunan iaitu dari KLCC ke Padang Timur, kemudian dari padang Timur ke Stadium Kelana Jaya. Rata-rata sms dan pelbagai reaksi rakyat pada 6hb. Julai 2008 memperlihatkan mereka tidak puas hati dengan keputusan ini. Ada yang berpendapat, polis berjaya mengertak kita, ada yang berpendapat setelah menang 5 negeri, kita sudah jadi takut malah kritikan yang paling tajam adalah kuasa sudah naik di kepala pemimpin-pemimpin kita, sehingga mereka tidak lagi mempercayai kuasa rakyat. Mereka lebih sedia akur kepda kemahuan polis.
Pertukaran tempat dari Padang Timur ke Stadium diambil oleh kepimpinan Pakatan Rakyat dua hari sebelum tarikh perhimpunan. Keputusan ini diambil dalam satu mesyauarat yang dipengerusikan oleh Anwar Ibrahim sendiri. Mesyuarat tersebut yang turut disertai oleh kepimpinan PAS dan pimpinan DAP , Lim Kit Siang mengambil keputusan untuk menukar tempat kerana terdapat ancaman bahawa jika ia diteruskan, maka alasan pemerintah untuk menggunakan darurat memang "real". Tedapat juga pandangan bahawa perhimpunan itu akan disabotaj dan kesannya darurat akan diistiharkan. Selain daripada itu, Ketua Polis negeri juga ada mengadakan perjumpaan dengan MB Selangor meminta tempat ditukar.
Maka keputusan berpindah telah diambil oleh kepimpinan Pakatan Rakyat dan keputusan ini telah disampaikan kepada penganjur Protes. Protes pula telah mengadakan mesyuarat dan setelah panjang lebar setuju untuk menukar ke Stadium. Walaupun ada pihak yang membangkang terutamanya JERIT, Pemuda PAS, SUARAM dan PSM tetapi majoritinya bersetuju dan keputusan consensus adalah berpindah ke Stadium.
Dua isu pokok yang diambil kira adalah tidak mahu perhimpunan ini dikambinghitamkan sebagai penyebab untuk darurat dan isu mobilisasi. Tidak boleh dinafikan bahawa Pakatan rakyat adalah pihak dan kuasa yang mempunyai machinery jentera memobilisasi rakyat. Orang-orang seperti Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang adalah nama-nama yang boleh memobilisasi massa. Selain daripada itu, nampaknya juga Kerajaan negeri Selangor pun lebih setuju untuk program diadakan di Stadium daripada Padang Timur. Ini merupakan faktor-faktor yang dipertimbangkan oleh JK Protes untuk akur kepada Keputusan Pakatan Rakyat walaupun ada juga pihak membidas bahawa Gabungan PROTES sebenarnya lebih besar daripada Pakatan Rakyat dan tidak perlu mengikut arahan PR. Walauapapun debat, hakikat adalah kuasa memoboilisasi massa terletak di tangan PR terutamnaya PAS yang mempunyai jentera untuk memobiliasai massa.
Namun apa yang gagal difahami oleh kita ialah mood dan perasaan rakyat. Rata-rata mereka yang datang ke Stadium Kelana Jaya merasa bosan dan mahukan aksi massa. Apabila Kohila dari JERIT dalam ucapannya mengatakan bahawa ini adalah kali pertama dan terakhir kita akan protes dalam stadium, beliau mendapat sambutan yang begitu hangat sekali. Mesej yang sama setiap kali mendapat sambutan yang hangat apabila Athirah –Dewan Muslimat PAS, Mat Sabu dan saya mengatakan bahawa protes selepas ini mesti buat di luar.
Mungkinkah kita semua gagal membaca mood rakyat atau tidak meletakkan harapan kepada kuasa rakyat. Memang dalam pilihanraya yang lalu pun, pembangkang tidak pernah menduga akan menang besar sehingga dapat mengondol lima negeri. Malah konsep pakatan rakyat adalah satu desakan dari rakyat agar pembangkang bersatu dibawah satu pakatan kuat untuk melawan BN.
Kebelakangan ini, kita dihantui oleh cerita mengenai darurat, ISA dan penangkapan Anwar dan sebagainya. Bagaimana kita hendak mengatasi isu-isu ini. Adakah kita akan terus mengharapkan mahkamah untuk memberikan kita keadilan, polis untuk membuat siasatan rapi dan pihak BPR dan KDN untuk bertindak. Apakah masa depan negara kita terletak ditangan institusi –institusi ini atau adakah kuasa dan harapan kita terletak ditangan rakyat.
Rakyat Korea dan Phippinnes berjaya berdepan denagan darurat sehingga kerajaaan zalim dinegara mereka dapat ditukar. Adakah di Malaysia, kepimpinan Pakatan Raktyat percaya kepada kuasa rakyat atau percaya kepada seorang dua individu untuk membuat keputusan untuk semua.
Kalau kita percaya kepada kuasa rakyat maka adalah amat penting untuk kita menyediakan rakyat untuk berjuang dan berdepan dengan cabaran-cabaran yang mungkin timbul seperti darurat. Kalau kita percaya kepada kuasa rakyat , maka rakyat mesti menjadi senjata paling penting untuk membawa perubahan. Kuasa Rakyat tidak boleh sekali-kali dikompromi. Rakyat harus menjadi agen perubahan utama dan bukan hanya sekadar penonton di Stadium.
Arul
PSM
1.20am 8 Julai 2008